Assalammu’alaikum KC,
Saya Wati, ingin berkongsi dua kejadian seram yang menimpa kami sekeluarga beberapa tahun yang lalu.
Kisah Pertama Masa itu kami suka sangat menghabiskan masa menangkap udang di sebuah kolam berbayar di kawasan Lim Chu Kang. Dah banyak kali kami ke sana lewat malam hingga awal pagi tapi Alhamdulillah tidak pernah mengalami sebarang gangguan, lagipun kami tak terfikir akan perkara-perkara begitu. Pada suatu malam, kami ke sana sekitar jam 10 malam dan memancing selama tiga jam. Kami habis memancing dan berkemas sekitar 1 lebih pagi. Tempat meletak kenderaan di situ memang gelap gelita. Anak-anak saya menggunakan fungsi lampu suluh di telefon bimbit mereka sepanjang perjalanan balik ke kereta. Bila menghampiri kereta kami, anak saya yang berusia 4 tahun ketika itu menegur kerana ternampak seekor kucing hitam yang entah dari mana muncul dengan tiba-tiba. Memang mereka semua sukakan kucing dan pantang nampak kucing, mereka pasti ingin bermain. Setelah menaiki kereta dan keluar dari tempat meletak kenderaan, kami terpaksa melepasi jalan yang sunyi dan gelap-gelita untuk menuju ke jalan utama. Tiba-tiba anak saya yang berumur 4 tahun tadi bertanya pada abangnya, "Kenapa ada budak yang berpakaian seragam sekolah kat luar dengan ibunya? Malam-malam pun kena pegi sekolah ke?" Abang dan kakaknya terus terdiam dan mengalihkan perhatian adiknya dengan memberinya telefon bimbit untuk bermain dengan permainan video di dalamnya. Bila sampai di tempat meletak kereta rumah kami di Bukit Panjang, suami meletakkan kereta agak jauh, maklumlah bila balik lambat, dah tentu lot parkir sudah penuh terutama di tiga tingkat pertama. Keluar dari kereta, saya terhidu bau kemenyan yang agak kuat tapi tidak memberitahu siapa-siapa. Bila berjalan menuju ke lif, anak perempuan saya yang ketika itu berumur 9 tahun, tergesa-gesa menyelit di antara ayah dan abangnya dan tertoleh-toleh ke belakang. Mukanya nampak cemas. Bila dah sampai di rumah, dia bertanya pada kami semua samada kami ada ternampak lembaga hitam yang tinggi, besar di belakang kami di tempat meletak kereta tadi. Saya pun beritahu tentang bau kemenyan yang kuat tadi. Keesokan harinya, anak saya yang kecil itu demam panas untuk beberapa hari. Semenjak hari itu kami sekeluarga sudah tidak berani nak ke sana lagi pada waktu malam. ********************************************************************************************
Kisah 2 Kisah ini berlaku semasa cuti sekolah bulan Jun sembilan tahun lalu semasa kami berlibur di Pulau Langkawi. Kami tiba di sebuah resort tepi laut sekitar jam 9 malam. Bilik kami di tingkat tiada dan bangunan resort itu tiada lif. Selepas solat, kami keluar mencari restoran yang berdekatan. Selesai makan malam, kami pulang semula ke resort kerana banyak kedai-kedai yang sudah tutup. Lampu di sekitaran agak malap dan banyak pokok-pokok di situ. Ada sebuah taman permainan kanak-kanak juga di situ.
Bila melepasi kawasan itu untuk menaiki tangga ke bilik, saya terhidu bau bunga melur yang kuat dan anak saya ternampak buaian bergoyang. Untuk tidak menakutkannya, saya berkata kepadanya mungkin angin kuat sangat sebab itu ia bergoyang. Bila nak naik tangga, ada seekor kucing hitam yang besar mengiau ke arah kami dan mengikut kami naik tangga. Bila suami cuba menghalaunya, dia seperti melawan. Garang juga kucing itu. Takut tengok mukanya yang bengis. Meremang bulu roma dan terkumat-kamit suami membaca Ayat Kursi. Kucing itu lantas menurun anak tangga sambil ia terus menenung ke arah kami.
Bila kucing itu beredar, ingatkan dah bolehlah masuk ke dalam bilik. Ya Allah, seorang pun tidak membawa kad bilik semasa hendak keluar tadi. Nak ke kaunter resepsi jauh, agak-agak dalam sepuluh minit untuk berjalan ke sana. Entah macam mana, tiba-tiba pintu bilik yang paling hujung terbuka. Suami jenguk ke dalam tapi tiada orang. Setelah memberi salam, dia masuk dan menggunakan telefon untuk meminta bantuan dari kaunter resepsi. Kami diberitahu pegawainya akan datang membawa kunci pengganti. Hampir setengah jam kami menunggu dan akhirnya dapat masuk ke dalam bilik. Pada sebelah malam itu apabila semua sedang lena tidur, anak saya yang kecil menangis. Selepas diberikan susu masih tetap menangis sampaikan termuntah. Dengan matanya masih tertutup seperti sedang tidur, dia menunjuk ke arah balkoni yang telah ditutup dengan langsir. Meremang bulu roma kami. Kami membaca segala surah-surah suci yang terlintas dalam fikiran kami. Alhamdulillah gangguan itu setakat di situ saja. Terimakasih KC. Maaf jika kisah-kisah saya tidak begitu menyeramkan...
Comments