Search

Dipeluk & Digigit Kak Pon!

Assalammu'alaikum KC,


Saya bernama Zainal Bin Haji Ebin berusia enam puluh tiga tahun dan menetap di Marsiling Drive. Saya ada beberapa peristiwa seram yang saya ingin kongsikan dengan KC dan pembaca blog Malam Seram. Pengalaman dan peristiwa seram ini terjadi beberapa tahun yang lalu. Sehingga kini masih segar di dalam ingatan saya. Namun di sini saya cuma ingin berkongsi satu peristiwa saja kerana tempat yang ingin saya berkongsi adalah kawasan larangan yang tidak mungkin orang awam boleh masuk dan kunjungi lagi kerana telah dipagar.


Kejadian pertama terjadi sekitar tahun 1977 sewaktu saya menjalani perkhidmatan negara bersama pasukan polis Singapura. Saya ditugaskan menjaga tempat yang dipanggil "Micro Wave" di atas puncak bukit Fort Canning. Ini merupakan pusat penyiaran saluran televisyen dari Perbadanan Penyiaran Singapura atau dikenali sebagai SBC ketika itu, sebelum ia dikenali dengan nama Mediacorp kini. Bersama saya ada dua orang lagi pegawai iaitu ketua yang kumpulan rondaan kami dan lagi seorang merupakan pegawai dari Cisco, seorang pakcik yang saya sudah terlupa namanya.


Keadaan di atas bukit Fort Canning dikelilingi dengan hutan semak-samun tetapi dipasang kamera litar dan dipagari dengan pagar besi yang berbentuk seperti berduri untuk mencegah daripada pencerobohan. Laluan menuju ke puncak Fort Canning pula berliku-liku dan harus melalui satu makam kalau tidak silap, Makam Sultan Muzaffar Shah atau dikenali dalam sejarah sebagai Parameswara. Makam itu sentiasa dikunjungi orang awam, baik siang dan malam. Namun biasanya pada tengah malam tiada pengunjung.

Bangunan "Micro Wave" itu merupakan bangunan setinggi empat tingkat dan kesemua pekerja di situ adalah jurutera dan teknisyen dari syarikat Singapore Telecoms, yang kini dikenali dengan nama singkatannya SingTel. Orang luar memang tidak dibenarkan masuk kerana ia sebuah kawasan larangan. Pos atau pondok kami terletak di aras satu, siap dengan kemudahan seperti tandas, bilik mandi dan pantri. Kami dikehendaki membuat rondaan di sekeliling kawasan itu pada setiap jam.


Pada satu malam yang dingin, saya bersama seorang rakan setugas, naik ke tingkap empat di sebelah tangga untuk berehat dan tidur seketika kerana waktu itu memang waktu rehat yang diperuntukkan buat kami. Teman setugas saya dah berdengkur tidur tidak sampai lima minit. Saya pula tidak boleh tidur walaupun mata sudah rasa mengantuk. Cuaca memang dingin dan enak untuk tidur tetapi saya tidak boleh pejamkan mata pula. Puas pusing ke sana dan ke sini tapi mata tetap tidak mahu tutup. Mungkin sebab tidak biasa atau tidak kerasan dengan tempat yang kami berehat itu.


Tiba-tiba saya terdengar bunyi tapak kaki seperti adanya seseorang yang naik ke tingkat di mana kami berada. Saya pun perhatikan dan menghendap daripada celah jeriji besi tangga hendak melihat siapa yang naik sementara teman saya masih tidur dengan begitu nyenyak. Saya pula tidak mahu mengganggu dan mengejutnya. Tup tup saya terdengar bunyi tapak kaki itu naik dengan perlahan-lahan. Dengan tidak disangka-sangka muncul di depan mata saya seorang wanita Melayu berbaju kurung cerah naik ke atas dan terus menuju ke arah saya. Saya tergamam dan terkedu seperti terpahat di situ, tidak boleh buat apa-apa. Saya masih ingat wajahnya cantik, kulitnya cerah kuning langsat, bibir merah sambil memakai bunga kemboja di telinga sebelah kanan.


Wanita itu sambil naik tangga dan menghampiri mula berkata begini, "Abang... Kenapa abang tak tunggu Ani tadi? Naik sorang-sorang, sampai hati tak tunggu Ani. Abang tinggalkan Ani pulak. Marilahlah dekat sini, Ani rindukan Abang..." Dia pun datang menghampiri lalu memeluk dan cium gigit di leher sebelah kanan saya. Yang menghairankan, saya tidak boleh buat apa-apa, kaku dan kejong. Cuma saya ingat dia gigit saya memang terasa sakit dan saya menjerit sambil membaca Ayat Kursi. Entah macamana datang satu macam kekuatan pada diri saya, saya menendangnya dengan kaki terus perasan macam dia terjatuh.


Rakan saya yang sedang tidur tadi pun terjaga dan menggoncang tubuh saya. "Zainal! You ok or not? What happened?" Saya pun macam tersentak dan tersedar, seraya badan saya menggeletar dan menggigil. Saya dah tak nampak kelibat wanita yang menggigit saya pada awalnya tadi, seolah-olah dia ghaib dari pandangan. Lantas saya pegang leher kanan saya dan terasa seperti ada bekas gigitan. Kami berdua pun apa lagi, terus bergegas kelam-kabut lari sambil melompat dua tiga anak tangga turun ke bawah. Pakcik Cisco yang sedang tidur di pos pengawal keselamatan pun terperanjat dan memarahi kami berdua.


Dia tanya apasal terlari-lari dan terjerit-jerit sampai dia pun ikut terkejut. Dia bertanya kenapa muka kami berdua pucat lesi. Saya pun ceritakan apa yang berlaku. Sambil menghisap rokok dia pun tak pasal-pasal ketawa terbahak-bahak. Saya pun hairan kenapa pakcik ketawa terbahak-bahak. Dia pun beritahu kami, "Aku dah agak, satu hari salah seorang dari kamu mesti kena ganggu. Nak tahu? Itulah Kak Pon yang menjaga tempat ini..." sambil pakcik itu terus-menerus ketawakan kami.


Kami berdua pun bertanya padanya kenapa tidak beritahu kami dan kenapa pakcik itu seperti tidak takut dengan kehadiran makhluk itu? Pakcik berkata si Kak Pon itu takkan berani mengganggunya kerana dia ada pendinding. Rupa-rupanya pakcik ini seorang perawat yang boleh mengubatkan orang-orang yang sakit dalaman dan terkena sampukan. Patutlah ramai rakan-rakan Cisco yang setugas dengannya tidak mahu menjaga bangunan itu. Namun pakcik itu tenang dan santai saja dan lama menjaga tempat itu disebabkan ada pendinding.


Salepas peristiwa itu setiap kali kalau kena jaga dan buat rondaan pada waktu malam, saya tidak berani tidur di tingkat atas itu lagi. Saya cuma berehat di tingkat bawah, di mana di situ ada meja dan kerusi panjang. Nak ke luar ke tandas pun saya ajak teman saya temankan kerana pengalaman yang saya lalui membuatkan saya jadi tidak berani. Kadang-kadang pada tengah-tengah malam boleh terdengar bunyi suara bayi menangis. Dalam keadaan sekeliling yang penuh dengan semak-samun, takkanlah ada bayi pula?

Begitulah kisah seram saya yang saya hendak berkongsi dengan KC dan para pembaca blog Malam Seram. Insya Allah di kesempatan yang lain akan saya kongsi pengalaman seram saya di tempat lain pula. Terima kaseh kerana sudi mengetengahkan cerita saya dan memberikan saya perhatian.

Sekian Terima Kaseh.


199 views1 comment

Recent Posts

See All

Apa Yang Saya Lalui

Assalammualaikum KC, Nama Saya Ella. Saya telah berumahtangga dengan bekas suami sekitar lima tahun yang lalu. Semuanya baik belaka sehingga dua minggu selepas kami bernikah. Rumahtangga saya hanya ba

Hantu Ngesot

Selamat tengah malam KC dan para pembaca blog Malam Seram, Nama kakak, Saadiah, tapi bolehlah panggil kakak dengan panggilan Kak Diah. Kakak berasal dari daerah West Coast, Singapura. Kisah kakak ini

Lampu Tandas Mati Ketika Mandi

Assalamualaikum KC, Saya Wind dari Malaysia. Hari ini saya ingin berkongsi kisah seram dengan mengenai asrama lama yang pernah saya diami di Johor yang namanya akan saya rahsiakan. Kejadian ini berlak