Assalamualaikum KC dan pembaca blog Malam Seram,
Panggil saya Sya sahaja. Saya berasal dari Johor Bahru. Kisah ini berlaku tiga tahun yang lalu. Waktu itu saya, emak bersama-sama kakak dan anak-anaknya pergi bercuti di Melaka. Adik saya tidak dapat pergi kerana bekerja. Saya masih belum berkahwin lagi. Kakak dan adik saya telah berkahwin dan mempunyai anak. Kakak dan emak merancang untuk pergi ke sana pada hari Jumaat pagi. Tapi saya tak dapat pergi sebelah pagi kerana bekerja pada hari itu.
Jadi saya putuskan untuk bergerak ke sana setelah saya selesaikan kerja-kerja saya. Saya telefon emak untuk beritahu padanya yang saya akan bergerak setelah saya habis bekerja. Saya tak tinggal bersama-sama emak. Saya tinggal bersendirian dan menyewa. Emak sering berpesan pada saya, "Jangan sampai lewat sangat, kau tu anak dara. Tak elok memandu malam-malam seorang diri..." Saya cuma katakan, "Insya Allah mak..."
Tiba hari Jumaat yang dimaksudkan. Hari itu saya terlalu sebuk. Banyak kerja yang perlu saya selesaikan. Sehingga saya siap kerja-kerja pada jam sepuluh lebih malam. Saya terus telefon emak untuk beritahu yang saya baru nak bergerak. Emak saya bising, "Kan mak dah cakap jangan lewat sangat. Pandu sorang-sorang malam-malam ini..." Saya kata pada emak, "Adik dah biasalah mak. Mak tak payahlah risau..." Saya memang dah terbiasa memandu ke mana-mana sendirian. Saya juga selalu ke KL sendirian atas urusan kerja, selalunya saya akan bergerak dari JB ke KL pada jam 3 atau 4 pagi dan pulang ke JB semula pada malam hari yang sama. Barang-barang telah saya siapkan dan dah berada di dalam kereta. Saya terus memandu ke destinasi.
Pada sebelah petang esoknya, saya, kakak dan anak-anaknya turun untuk mandi di kolam renang. Sehingga hampir senja. Kakak memanggil anak-anaknya suruh naik, "Dah, dah, naik semua dah nak Maghrib ni. Nanti Opah bising tak naik-naik lagi..." "Opah" itu gelaran nama yang dipanggil anak-anak buah saya kepada emak. Anak-anak kakak semua sudah naik ke atas. Tinggal saya seorang sahaja yang masih lagi berada di dalam kolam renang. Kakak kuatkan suaranya memanggil saya, "Adik naiklah nak Maghrib dah ni. Kau tengok dah tak ada orang. Semua dah naik..." Memang benar, bila saya tengok sekeliling kawasan tersebut, di dalam kolam renang hanya tinggal saya seorang sahaja. Saya pun naik ke atas. Kakak memberitahu saya kolam renang dibuka sehingga jam 7 malam sahaja.
Semasa berjalan menuju ke lif, saya seorang sahaja yang tidak memakai selipar kerana tak mahu selipar saya basah. Saya hanya bawa satu pasang selipar sahaja. Saya tak nak malam nanti bila saya keluar bersama mereka, selipar saya basah. Memang saya tak selesa. Bukan itu saja, nanti busuk dan berkepam baunya. Kami berlima jalan di kolong bangunan untuk menuju ke lif. Saya memimpin anak kakak yang bongsu berusia 4 tahun. Tiba-tiba sedang saya berjalan di kolong bangunan tersebut, saya rasakan seperti buku lali kaki saya seperti ditarik sesuatu dan saya terjatuh.
Kaki saya sebelah kiri melunjur ke depan dan kaki saya sebelah kanan terlipat ke belakang. Anak saudara saya yang berpimpin tangan dengan saya tadi memanggil emaknya, "Mama! Mama! Angah jatuh" Anak-anak saudara memanggil saya dengan panggilan "Angah". Kakak yang berjalan di hadapan, pusing ke belakang sambil berjalan ke arah saya untuk menolong saya bangun, dengan muka yang sedang menahan ketawa, lalu berkata, "Macamana boleh jatuh? Tulah selipar tu pakainya di kaki bukan di tangan..." Saya hanya terdiam kerana menahan sakit.
Selepas kejadian itu, kaki saya berbulan-bulan tak baik-baik. Ke hospital saya dah pergi, buat pemeriksaan X-ray. Klinik dah berkali-kali saya pergi. Bukan sahaja sakit tetapi kaki saya sebelah kanan di bahagian lutut membengkak. Sehinggakan saya nak berjalan terasa sakit sangat. Saya ni tinggal sendiri di rumah pangsa. Saya selalu pulang kerja lewat malam. Saya pulang, mandi dan bersiap untuk tidur. Apabila saya nak lelapkan mata, saya terdengar di ruang tamu ada orang berjalan dan terdengar pintu bilik sebelah dibuka dan ditutup. Padahal dalam rumah saya seorang sahaja yang tinggal. Gangguan ini berlaku selepas saya pulang dari bercuti. Sebelum ini memang tidak ada. Saya selalunya akan pulang ke rumah emak pada hari Ahad. Saya kata pada emak, "Mak, jomlah balik kampung berubat cara kampung..." Saya mengajak emak pulang ke kampungnya yang terletak di Pontian.
Rumah di kampung hanya tinggal pakcik dan makcik saya sahaja. Mereka tidak mempunyai anak. Makcik ajak saya dan emak untuk berjumpa sepupu mereka. Kami pun pergi ke rumah yang dikatakan oleh makcik. Sampai di sana, ada seorang perempuan yang sebaya dengan emak saya dalam lingkungan 60-an tahun menjemput kami masuk. Dia menyuruh saya memanggilnya "Nenek". Dia tanya saya kenapa? Saya tunjukkkan kaki sebelah kanan saya dan mula bercerita. Selepas itu, nenek ini memanggil seorang budak di luar rumahnya untuk minta tolong ambilkan daun sirih.
Sambil menunggu daun sireh sampai, Nenek mengusap-usap lutut saya yang bengkak dan sakit sambil mukanya memandang tepat ke muka saya. Nenek memberitahu muka saya nampak terlalu letih dan layu. Saya hanya tersenyum sahaja. Tidak lama kemudian, budak lelaki tadi sampai dengan di tangannya memegang daun sirih. Nenek bangun ambil daun sirih itu dan terus ke sinki untuk membasuhnya. Selepas itu dia membaca surah-surah dan tiup ke daun sirih. Kemudian dia masukkan ke dalam mulutnya dan mengunyah.
Setelah beberapa minit mengunyah, dia memanggil saya ke luar rumah sambil berdiri menghadap ke halaman rumah, sambil kaki saya yang sakit itu ditarik sedikit ke depan. Nenek mencangkung di depan lutut saya. Dengan mulut yang penuh dengan sirih dan terkumat-kamit membaca, dia semburkan daun sirih yang dari dalam mulutnya ke lutut saya dan kemudian dia menyapu sirih itu dari lutut sehingga atas buku lali. Sirih yang disembur berwarna merah terang. Terang sangat warnanya berbeza dengan warna yang selalu dimakan.
Kemudian, nenek memberitahu saya, "Masuk ke dalam rumah, jalan terus, jangan toleh ke belakang..." Saya berjalan masuk ke dalam rumah dan duduk menunggu Nenek masuk. Dalam beberapa minit, Nenek masuk dan duduk menghadap saya. Dia kemudian memberitahu saya, sebenarnya ada makhluk seperti perempuan berpaut di lutut saya. Mungkin saya terlanggar atau tertendang tempatnya. Selepas itu, Alhamdulillah, kaki saya pulih sepenuhnya dan tiada lagi gangguan di rumah.
Terima kasih kerana menyertakan kisah saya di blog Malam Seram. Assalammu'alaikum...
Comments