top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Akibat Menegur, Mata Menjadi Merah

Assalamualaikum KC,


Saya Ellya Maisarah Najihah dari Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor. Saya ingin kongsi kisah saya di Lebuhraya NPE. Saya menunggang motosikal waktu itu dn baru saja pulang dari i-City Shah Alam dengan dua orang sahabat saya. Kesemuanya tiga orang termasuk saya, yang lagi dua orang kawan saya menunggang satu motosikal dan saya pula seorang sahaja di motosikal yang lagi satu.


Sebelum pulang, saya berpesan dengan kawan saya yang membawa motosikal, "Yana nanti balik tak payah lalu ikut lorong motorsikal eh? Aku seram bawa seorang diri..." Yana pun membalas, "Haaa yelah... Kalau macam tu kena ikut laluan lebuhraya, boleh ke?" Saya pun bersetuju. Dah siap pakai topi keledar, terus hidupkan motosikal dan keluar dari pusat membeli-belah i-City. Entah kenapa saya rasa tidak sedap hati tapi saya diamkan saja.


Sekitar dua puluh minit saya bawa motorsikal saya, tiba-tiba ada bau satu bauan wangi seperti bunga cempaka. Saya diamkan saja. Saya bunyikan hon namun kawan-kawan saya tidak menoleh ke belakang. Bau itu mengikut saya sekitar sepuluh minit. Saya dah rasa seram sejuk terus saya potong kawan saya di hadapan. Mereka terkejut melihat saya. Sebelum sampai rumah, kami berhenti dan singgah di salah sebuah kedai makan.


Semasa menunggu makanan tiba, saya bertanya mereka, "Tadi korang ada bau wangi tak semasa kita berada di lebuhraya?" Yana dan Ain (kawan saya yang lagi seorang) masing-masing pandang saya dengan muka terkejut. Ain berkata, "Kau biar betul Liyaa?" Saya menjawab, "Ya Allah betul aku bau sebab itu aku bunyikan hon tapi korang tak pandang. Terus aku potong korang sebab aku takut. Korang takkan tak bau langsung?" Ain dan Yana diam kerana terkejut. Malam itu kami lepak di kedai makan agak lama. Pukul dua pagi baru pulang.


Keesokan harinya saya bangun dari tidur, mata saya sebelah kiri terasa macam pedih. Saya buka mata cuci muka dan tengok wajah di cermin. Kelihatan mata sebelah kiri dah merah padam. Cepat-cepat saya hantar mesej Whatsapp kepada kawan-kawan saya mengenai mata saya. Salah seorang kawan saya berkata, "Kau dah kena tegur ni Liyaa..." Waktu itu saya memang gelabah, letak ubat mata pun tak hilang juga.


Saya bercakap dengan kakak saya, "Along, mata Liyaa merah sangat ke?" Kakak saya tengok dan berkata, "Ini bukan merah biasa, nanti lepas Maghrib ikut Along..." Saya hanya turutkan saja. Dalam pukul 8 malam, saya ikut kakak saya ke rumah seorang makcik yang bernama Cik Kamariah. Saya masuk ke dalam rumahnya dan salam makcik itu. Lantas makcik itu berkata, "Keluar malam ya?" Saya hanya menganggukkan kepala.


Dia mengambil segelas air dan membaca Ayatul Kursi lalu meniup ke dalam air itu dan menyuruh saya minum. Dia juga ada memberi air mineral sebotol yang telah dibacakan dengan ayat-ayat suci Al-Quran lalu dia menyuruh saya berselawat dan minum untuk dua tiga hari yang mendatang. Sebelum beredar, Cik Kamariah berpesan agar jangan menegur sekiranya ternampak atau terbau sesuatu. Saya diam saja sebab memang salah saya. Alhamdulilah mata saya pulih selepas dua hari kemudian.


Terima kasih!

271 views0 comments

Recent Posts

See All

Commentaires

Noté 0 étoile sur 5.
Pas encore de note

Ajouter une note
bottom of page