top of page
Search

Akibat Tidak Tutup Tingkap

Salam KC,


Saya Jalia dan kejadian yang akan saya ceritakan ini terjadi apabila saya berada di dalam menengah empat.


Pada hari itu, saya mengemas bilik, turunkan langsir dan ubah posisi katil, almari dan perabot dalam bilik. Saya meletakkan katil dekat dengan tingkap dan almari solek saya ditempatkan di tengah-tengah bahagian tingkap bersebelahan dengan katil.


Selepas habis mengemas, saya melaburkan badan ke atas katil untuk berehat. Terus saya terlelap. Pada masa itu kaki saya menghadap ke arah tingkap dan ketika itu tingkap pun saya terlupa hendak saya tutup sebab penat mengemas dan tiba-tiba terlelap.


Saya tidak ingat pukul berapa saya terjaga tapi apabila saya terbangun sudah larut malam. Sedang mata ini kelat dan dalam keadaan mamai, saya baru terperasan tingkap saya tidak ditutup. Saya juga terperasan ada jari berkuku panjang bermain dengan rambut saya. Waktu itu rambut saya panjang. Memang saya ternampak kukunya panjang bermain dengan rambut saya.


Selepas itu saya terpandang cermin almari solek saya yang saya letak di tengah-tengah. Ya Allah! Saya ternampak sosok tubuh seorang perempuan sedang duduk di tepi katil dan berambut panjang menutup muka. Dia sedang bermain dengan rambut saya! Memang meremang bulu roma saya!


Saya tidak mampu hendak buat apa-apa pada ketika itu, cuma pusing dan mereng ke sebelah kiri sambil memandang tembok. Sambil mata saya pejam, tangan kanan saya menarik selimut dan menutup hingga leher. Saya tidak berani hendak selubung kerana takut dengan reaksi hantu itu. Saya cuma boleh beristighfar dan membaca surah Al-Fateha dalam hati.


Keesokan harinya saya demam panas untuk beberapa hari. Itulah cerita saya walaupun mungkin tidak seram pada tatapan mata pembaca blog Malam Seram. Yang benar saya telah melalui pengalaman saya yang tidak boleh saya lupakan hingga ke hari ini.


Sekian, terima kasih!

315 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page