top of page
Search

Anak Melihat Benda Yang Ghaib!

Assalamulaikum KC & pembaca blog Malam Seram,


Saya berasal dari Johor Bahru. Kisah saya ringkas sahaja. Saya sebenarnya tidak pernah pun nampak atau terjumpa hantu. Tapi kisah yang ingin saya kongsi merupakan kisah yang saya alami bersama anak perempuan saya. Anak perempuan saya, ketika itu umurnya 18 bulan (atau setahun setengah), mempunyai kebolehan istimewa di mana dia boleh melihat makhluk halus dan ketika itu, dia juga baru belajar bercakap walaupun tidak banyak dan masih kedengaran pelat. Ada satu waktu, ketika saya sedang menunggu suami di dalam kereta bersama anak perempuan saya, di mana suami ketika itu ingin berjumpa sahabatnya di kediamannya, suami memberitahu saya, "I nak jumpa Sopi kejap. Awak tunggu dalam kereta..." Saya pun tak kisah, lagipun waktu dah lewat malam, jadi tak mahu mengganggu keluarga sahabat suami.

Sewaktu saya dan anak perempuan saya berada di dalam kereta, di mana suami meletakkan kereta di kawasan luar rumah sahabatnya, tiba-tiba anak saya berkata sambil jarinya menunjukkan sesuatu di luar tingkap, "Ibu, Aiyla nampak ada nenek!" Anak saya akan menyebut panggilan "Nenek" apabila ternampak makcik yang tua atau pun perempuan berambut panjang. Anak saya waktu itu mungkin masih terlalu kecil untuk faham apa yang dia nampak, jadi setiap kali dia akan memberitahu apa yang dia nampak, cuma dia tidak menunjukkan perasaan takut.

Apabila dia memberitahu apa yang dia nampak di luar tingkap kereta, saya pun lihat ke luar. Memang tidak ada orang. Suami dan sahabatnya berada di dalam rumah. Saya pula yang tiba-tiba rasa seram, tapi cuba bertenang sambil di dalam hati membaca surah-surah suci dan memberitahu anak saya, "Aiyla beritahu nenek, pergi jauh-jauh. Jangan kacau saya...". Begitulah, setiap kali dia ternampak sesuatu yang pelik, dia akan memberitahu saya. Kejadian lain yang berlaku, yang saya rasa lebih menyeramkan dari kisah awalnya, terjadi kerana ianya berlaku di dalam rumah. Satu hari, ketika itu hanya saya berada di rumah bersama anak perempuan saya kerana suami keluar bekerja. Ketika itu saya berada di dapur, anak saya juga menemankan saya di situ. Anak perempuan saya sedang duduk di satu sudut menghadap betul-betul pintu bilik tengah di mana bilik itu saya khaskan menjadi tempat untuk saya menyimpan permainan-permainan anak saya. Anak-anak saya suka menonton filem kartun. Jadi mereka kenal dengan watak-watak dalam filem yang mereka tonton. Waktu itu, filem yang sedang hangat di panggung ialah "Monster University". Seperti biasa saya ada belikan mereka permainan dari filem itu. Saya ada membelikan mereka satu set anak patung untuk setiap watak dari filem itu. Tiba-tiba anak perempuan saya yang sedang duduk betul-betul menghadap pintu bilik tengah / mainan itu, jarinya menunjuk ke arah pintu bilik itu sambil berkata, "Ibu, ada 'MIKE'!". Mulanya saya fikir dia ingin bermain dengan anak patung bernama "Mike", salah satu watak dalam filem tersebut. Watak itu bermata satu dan berbadan pendek serta berwarna hijau. Saya pun beritahu anak saya, "Aiyla nak main dengan anak patung Mike ke? Pergilah ambil anak patung itu...". Tapi dia berkata, "Tak... Aiyla nampak ada Mike!" sambil jarinya menunjukkan ke arah pintu bilik tadi. Saya pun rasa meremang bulu roma, tidak berani hendak menjengah ke dalam bilik itu. Yelah ketika itu hanya saya dan anak saja di rumah. Saya pun beritahu anak saya, "Aiyla cakaplah dengan Mike, pergi keluar. Jangan kacau Aiyla..." Apa yang menjadi tanda tanya, apa yang anak saya nampak? Adakah "benda" itu berbadan pendek dan hijau atau bermata satu? Alhamdulillah anak saya kini pun dah bersekolah dan tidak lagi nampak benda yang pelik-pelik seperti ketika dia masih kecil dahulu. Maaf kiranya cerita saya tidak seram... Terima kasih kerana sudi ketengahkan kisah saya ini dan selamat tengah malam... Yg benar, Neyza

166 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page