Assalamualaikum KC,
Saya D. dari Kuala Lumpur. Saya ada satu kebolehan iaitu, saya dari kecil lagi boleh melihat atau mendengar benda yang manusia biasa tidak boleh melihat atau mendengar. Erti kata lain, dapat melihat atau mendengar bunyi suara makhluk ghaib atau selalu orang kita dah terbiasa dengan panggilan "hantu". Namun apabila saya membesar, sudah agak berkurangan pengalaman atau kebolehan saya untuk melihat atau mendengar. Kisah yang hendak saya kongsikan ini berlaku pada awal tahun 2019.
Kisahnya bermula pada waktu malam sekitar pukul 11-12 malam. Saya pulang ke rumah setelah melakukan senaman intensif di pusat gimnasium. Setelah sampai di rumah, seperti kebiasaan lelaki bujang yang duduk seorang diri, jejak kaki masuk ke dalam rumah, buka baju semua sebab berpeluh. Apabila saya sedang membuka baju, saya terlihat di sudut ruang menuju ke bilik, satu bentuk seperti asap!
Saya pun berasa pelik tetapi tidak terfikir sangat. Makin lama benda itu masih terapung di bahagian ruang tersebut. Saya menggosok mata sebab saya ingat mata saya yang kabur sebab kepenatan. Namun benda itu bergerak dengan perlahan mendekati saya. Saya seperti terkunci dan tersentak dan tidak dapat bergerak dari tempat saya berada. Apabila benda itu bergerak dan datang lalu ke tubuh saya, saya terasa sejuk yang teramat sangat seperti membuka pintu peti ais tanpa berpakaian. Kerana terlalu penat, saya hanya biarkan saja lalu saya pergi mandi dan bersiap untuk tidur. Namun ceritanya tidak habis di sini.
Ketika saya tidur pada malam itu, saya termimpi sekumpulan lelaki berjubah hitam cuba memberi saya memakan babi. Saya lantas terbangun dari tidur dengan rasa sakit pada seluruh tubuh badan. Tulang belakang saya seperti digenggam dari dalam tubuh. Tulang bahu saya seperti ditarik dari dalam. Pada mulanya saya sangkakan rasa sakitnya berpunca kerana terlebih mengangkat berat ataupun mengangkat berat dengan teknik yang salah sewaktu bersenam di gim. Namun hampir dua minggu saya mengalami kesakitan di tubuh badan saya.
Perkara ini saya mengadu dengan mak. Dia sarankan untuk berjumpa seorang ustaz untuk berubat. Apabila berjumpa dengan seorang ustaz ini, dia memberitahu bahawa ada makhluk ghaib yang melintas dalam rumah saya pada malam tersebut. Mengenai mimpi saya pula, perkara aneh itu satu petanda untuk memberitahu saya bahawa kedai yang sering saya kunjungi untuk makan sebenarnya menggunakan pelaris. Selepas itu saya tidak berani pulang lewat malam mahupun mengunjungi kedai makan yang sering saya kunjungi itu.
Begitulah kisah saya. Terima kasih dan Wassalam!
Comentarios