top of page
Search

Batu Puaka Ulu Yam

Writer: Peminat Malam SeramPeminat Malam Seram

Salam KC,


Saya Ain dari Selangor. Saya ingin berkongsi kisah pengalaman saya tentang batu puaka yang saya terjumpa. Pada tahun 2011, saya dan keluarga berkelah di Air Terjun Ulu Yam. Kawasan situ memang 'keras' sebab keadaan yang sunyi dan suasana yang agak seram. Dipendekkan cerita, selepas kami berkemas-kemas untuk pulang, saya terpandang satu batu kecil di celah pokok besar. Saya tak tahu kenapa saya tertarik sangat melihat batu itu, sehinggakan saya mengambil dan membawanya pulang.


Saya duduk rumah apartmen di tingkat paling bawah. Sampai di rumah, saya letak batu tersebut di belakang pintu. Setelah beberapa minggu, kejadian aneh mula berlaku. Saya tidur seorang diri. Bila saya tidur, memang saya suka tidur dalam keadaan gelap dan akan menghadap muka ke dinding. Semasa saya tidur, saya hendak berpusing menghadap pintu tetapi bila saya pusing, saya terasa ada sesuatu baring di belakang saya!


Saya cuba bersuara tetapi suara saya seakan-akan tersekat. Dalam hati saya membaca surah-surah suci Al-Quran yang saya ingat. Selang beberapa minit kemudian, saya cuba untuk pusing semula, benda itu sudah tidak ada. Saya pun buka mata perlahan-lahan. Bila saya buka, Ya Allah! Di depan cermin saya ternampak sosok Pocong dengan jelas! Mukanya hitam, berkain kafan yang masih ada tanah dan berbau sangat busuk!


Saya tutup mata semula dan cuba untuk menjerit tetapi tidak boleh. Pada malam itu saya tidak tahu hendak buat apa dalam keadaan gelap. Saya membaca surah-surah suci lagi dalam hati, kemudian saya pusing perlahan-lahan menghadap pintu. Saya cuba untuk tenangkan diri saya, saya buka mata perlahan-lahan dengan niat dan harapan agar benda itu dah hilang dan saya boleh bangun hidupkan lampu tetapi ternyata saya salah.


Bila saya membuka mata, nak tahu apa yang saya nampak? Alangkah terkejutnya saya muka Pocong tadi betul-betul berada di hadapan muka saya dengan mata merah dan sedang tersenyum. Saya terus bangun terloncat dan menghidupkan lampu. Malam itu saya rasa saya mandi peluh. Sumpah malam itu merupakan malam yang sangat seram bagi saya. Dalam keadaan seram dan bila difikirkan semula, hairan juga saya tidak menjerit ketakutan seperti biasa yang kebanyakan kita akan lakukan bila terperanjat.

Keesokan harinya, saya ambil batu tersebut dan letak di bawah satu pokok betik jauh dari kawasan perumahan saya. Saya cuba bercakap dengan batu tersebut, "Aku boleh hantar kau sampai di sini saja. Kau pergi balik tempat asal kau. Jangan ganggu aku lagi..." Lalu saya pun pulang dan tinggalkan batu tersebut. Sejak dari kejadian itu, saya seolah-olah terbuka hijab dan dapat melihat kelibat makhluk-makhluk ghaib, dan ini merupakan satu pengajaran buat saya dan semua yang membaca kisah saya. Jika kita berada di satu tempat, janganlah kita mengambil barang yang berada di situ sesuka hati.


Sekian dari saya. Terima kasih!

 
 
 

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
  • White Facebook Icon
  • White Instagram Icon
  • White YouTube Icon

© 2019 by Malam Seram.

bottom of page