Selamat Malam Seram DJ KC dan pembaca blog sekelian,
Saya Jessica Chen, salah seorang peminat sejati rancangan Malam Seram. Saya hendak berkongsi kisah yang saya alami lebih kurang sembilan tahun lepas. Peristiwa ini berlaku di kepulauan Bali yang terletak di negara Indonesia. Kisah ini berlaku pada waktu senja sekitar jam 6 lebih petang. Di sana, waktu itu telah pun masuk waktu Maghrib. Saya bertolak daripada tempat penginapan dan hendak pergi bersiar-siar di luar. Sebelum makan malam, saya ambil keputusan untuk pergi membeli-belah di Pusat Membeli-belah Discovery yang berdekatan dengan pantai Kuta. Saya mengajak pembantu rumah saya temankan saya sekali.
Perjalanan menuju ke pusat membeli-belah ini melewati sebuah tapak tanah perkuburan. Apabila kita melewati kawasan perkuburan ini, sememangnya kita tidak akan syak atau tidak akan ketahui bahawa kawasan itu merupakan tanah perkuburan. Ini kerana apabila kita melalui tempat itu, di sebelah kiri ada kedai menjual cenderamata dan di sebelah kanan pula ada hotel. Di seberang jalan pula ada restoran dan arena permainan. Sewaktu berjalan dan bersiar-siar, saya akan baca sepanduk dan segala tulisan yang tercatit di sepanjang jalan itu. Saya rasa terperanjat juga bila saya membaca papan tanda yang menyatakan bahawa kawasan itu merupakan tapak tanah perkuburan.
Semasa saya hendak melalui tepi kawasan tanah perkuburan itu, saya teringat pesanan pembantu rumah saya sekiranya melewati kawasan tanah perkuburan, saya kena mengatakan sesuatu agar penunggu kawasan perkuburan yang ada di sana tidak akan mengganggu kita. Pembantu rumah saya merupakan orang Indonesia, dan dia memberitahu saya apabila kita melewati kawasan tanah perkuburan, kita kena cakap, "Permisi tumpang lewat..." maknanya seperti kita meminta izin untuk tumpang lalu. (Nota dari Penyunting - Amalan "meminta izin" ini tidak sepatutnya dilakukan oleh penganut agama Islam yang membaca kisah ini...)
Jadi saya pun cuba bercakap dalam bahasa Indonesia apa yang diajarkan oleh pembantu rumah saya tapi mungkin saya tersilap cakap. Apa yang saya luahkan dari mulut adalah "Permisi numpang lewat mbah..." sebab sememangnya setakat itu sahaja cara percakapan bahasa Indonesia yang boleh saya tuturkan. Sewaktu saya bercakap, bulu roma saya mula meremang, dan saya rasa seperti terhidu bau busuk yang teramat sangat. Lantas saya berjalan agak laju sehingga saya melepasi kawasan tanah perkuburan itu secepat mungkin.
Yang hairannya setelah melepasi kawasan tanah perkuburan tersebut dan sampai di kawasan pusat membeli-belah khususnya di depan pintu masuk bangunan tersebut, bau busuk yang saya hidu sejak awal tadi tetap ada, malah semakin kuat sekali baunya. Bau busuk itu seakan-akan mengekori kami. Sememangnya semasa kami melalui kawasan tanah perkuburan tadi, saya tersilap kata. Pembantu saya mengatakan tidak perlu untuk saya menambah perkataan "Mbah..." untuk gelaran penunggu di tanah perkuburan.
Untuk pengetahuan semua, di Bali bila sesorang hendak panggil entiti seperti penunggu perkuburan, ataupun mahkluk-makhluk ghaib, mereka akan panggil dengan gelaran yang bagus seperti "Ratu" atau "Dewa". Pendek kata gelaran seperti tanda hormat supaya tidak diganggu. Jadi gelaran "Mbah" yang saya gunakan awal tadi rupanya salah dan mungkin sebab itu bau busuk itu mengekori kami.
Pembantu rumah saya pula mula menegur benda itu. Memang busuk sampai rasa tidak boleh bernafas. Kami menutup hidung sampaikan kami bergegas masuk ke dalam kawasan pusat membeli-belah Discovery. Pembantu saya menyarankan kami pulang semula ke tanah perkuburan itu kerana kami harus meminta maaf kepada penunggu di tanah perkuburan itu, tapi saya membantah dan berkata saya tidak percaya pada benda-benda seperti itu kerana saya hanya percaya kepada Tuhan saya. Justeru itu, saya terus berdoa agar diberi perlindungan. Mujur selepas itu bau itu mula hilang dan kami dapat melakukan aktiviti seperti membeli-belah dan makan malam seperti biasa.
Nasib baik juga tiada apa-apa yang aneh berlaku apabila kami pulang ke bilik hotel. Itulah peristiwa yang saya alami semasa saya bercuti di kepulauan Bali. Memang setiap kali saya pergi bercuti ke Bali, boleh dikatakan selalu juga ada benda yang pelik berlaku, sebab ramai orang berkata, kepulauan Bali ini memang keras tempatnya.
Sekian KC dan terima kasih kerana sudi ketengahkan kisah saya. Selamat Malam Seram!
Comentários