Salam KC,
Saya Joe dari Bintulu, Sarawak. Saya hendak berkongsi satu kisah seram yang pernah saya alami. Pengalaman yang saya ingin kongsikan ini terjadi ketika saya masih menuntut ilmu di sebuah politeknik iaitu Politeknik Mukah, yang juga terletak di negeri Sarawak.
Sudah menjadi kebiasaan bagi pelajar yang menetap di asrama, kami akan hanya lelapkan mata di penghujung malam atau di bahagian akhir sepertiga malam. Kadangkala kerana tidak mahu terlajak solat Subuh, kami akan tidur selepas menunaikan kewajipan. Macam itulah kehidupan pelajar yang menetap di asrama terutama sekali pada masa hujung minggu dan kami tidak pulang ke rumah masing-masing.
Malam kejadian ngeri yang saya alami terjadi pada salah satu malam hujung minggu, kalau tidak silap saya, malam Sabtu. Di dalam bilik saya ada lagi tiga orang teman sebilik. Jadi kami seramai empat orang yang berkongsi satu bilik. Bilik kami ini terletak di penghujung bangunan asrama, berdekatan dengan hutan yang penuh dengan semak-samun. Saya masih ingat nombor bilik kami tapi biarlah iadi rahsiakan sahaja.
Jam di dinding menandakan pukul 3:30 pagi. Kami memang belum tidur pada waktu itu. Salah seorang daripada kami sedang asyik menonton tayangan filem menerusi telefon bimbitnya. Saya dengan dua orang teman sebilik yang lain pula bermain permainan video dan berentap antara satu dengan yang lain. Kami cuba untuk tidak membuat bising ketika bermain dengan permainan video, takut-takut kami pula akan disoal oleh guru disiplin atau pengawal keselamatan.
Selepas menghabiskan pusingan permainan video kami, saya keluar bilik kerana hendak pergi ke tandas. Dalam perjalanan ke tandas, saya perlu lalu laluan koridor yang memang gelap. Jadi, apa boleh buat? Terpaksa juga pergi. Memang dah tak tahan hendak buang air kecil. Walaupun koridor itu gelap, tapi masih dapat lihat di mana tandas itu berada kerana lampunya yang dihidupkan. Hanya pancaran lampu dari bilik tandas yang kelihatan dalam perjalanan untuk ke sana.
Dipendekkan cerita, semasa saya sedang membuang air kecil, tiba-tiba saya terhidu bau harum. Ada juga bau seperti kunyit. Saya memang dah dimaklumkan oleh kawan-kawan sebelum ini. Kalau ternampak atau terhidu sesuatu, jangan tegur. Jadi saya menahan diri dari menegur. Tapi di dalam hati memang saya dah mula rasa takut dan bulu roma saya meremang. Dengan pantas, saya keluar tandas tanpa menoleh.
Seperti yang saya dah maklumkan pada awalnya, bilik kami terletak di penghujung, belakangnya hutan yang dipenuhi semak-samun. Dalam perjalanan ke tandas memang tidak nampak hutan, tapi bila dalam perjalanan balik ke bilik terpaksa tengok juga hutan. Di belakang hutan ada sebatang pokok yang besar dan tinggi, memang sudah dililit dengan banyak akar. Di atas pokok itu memang ada tumbuhan bunga yang cantik melilit pokok itu.
Dah lah balik dari tandas perjalanan di koridor memang sangat gelap, bila terpandang pokok itu, bulu roma saya meremang sekali lagi. Saya dah mula rasa seram sangat. Itu baru hidu bau saja sudah seram dah yang saya rasakan. Tapi syukur, tiada apa-apa yang lebih pelik yang berlaku apabila saya sampai ke bilik saya semula. Masuk bilik tutup pintu, saya terus tidur.
Untuk pengetahuan semua, memang pernah pelajar ternampak penampakan sosok tubuh manusia di bawah pokok yang dimaksudkan tadi. Satu lagi perkara, ada sebuah bilik di aras paling bawah yang berdekatan dengan pokok itu, memang lama dah dikosongkan dan tidak pernah terbuka. Dengar cerita dari pelajar senior, dulu bilik itu memang keras. Sampai pernah seorang pelajar cuba menjenguk ke dalam tingkap bilik tersebut pada satu malam Jumaat, dia terkena kerasukan pada malam tersebut.
Sekian saja, terima kasih.
Comments