top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Beberapa Kisah Seram dari Lee (Miri, Sarawak)



Assalamua'laikum pembaca blog Malam Seram,


Saya Lee dari Miri, Sarawak. Saya nak kongsikan kisah seram saya ketika saya di bangku sekolah. Pada tahun 2006, saya masih di Tingkatan 3. Ketika itu nak dekat hari peperiksaan Penilaian Menengah Rendah atau PMR. Saya dikejutkan dengan berita yang sangat menyedihkan iaitu mak saya meninggal dunia. Sewaktu mak saya meninggal, saya dah tak dapat nak fokus untuk PMR hinggakan saya gagal peperiksaan tersebut. Nak dijadikan cerita, seminggu selepas arwah mak saya meninggal, banyak perkara seram yang berlaku. Perkara seram tersebut berlaku pada pakcik saya yang tinggal dengan kami. Ketika itu yang tinggal di rumah cuma saya, arwah ayah dan pakcik saya.


Pada satu malam, pakcik saya pulang dari kerja kira-kira dalam pukul 2:30 pagi. Semasa pakcik saya pulang, saya nampak mukanya dalam ketakutan. Saya bertanya, "Kenapa Uncle?" Pakcik saya pun bagitahu yang dia ada ternampak kelibat arwah mak berdiri dekat pokok kuini di luar kawasan dapur. Pakcik masuk rumah ikut pintu depan dan kerana ketakutan, dia terus masuk bilik dan tidur. Saya pun rasa takut, terus masuk bilik, dan sambung tidur semula.


Selepas kejadian itu berlaku, dalam beberapa bulan kemudian, kami dikejutkan lagi dengan berita yang menyedihkan iaitu arwah nenek saya pula meninggal dunia. Semasa arwah nenek saya meninggal, tiada ada apa-apa yang terjadi lagi. Selepas sekitar 100 hari arwah nenek saya meninggal, barulah mula terjadi hal-hal yang seram. Perkara seram yang saya alami adalah bunyi tapak kaki orang berjalan dalam rumah. Saya pun tertanya-tanya pada diri sendiri, "Siapa pula yang jalan dalam rumah tengah-tengah malam macam ni? Dahlah rumah bergegar bila berjalan..." Biasalah rumah diperbuat daripada kayu... Saya pun keluar dari bilik dan masuk bilik arwah bapak saya. Saya masih ingat lagi, arwah bapak sedang nyenyak tidur. Saya pun masuk tidur balik dan tiada apa-apa yang berlaku lagi pada malam itu.


Selang beberapa hari, saya diganggu lagi dengan bunyi orang mengetuk lantai bilik dari bawah pada jam 2 lebih pagi. Saya pun terbangun dengan perasaan marah, saya ambil parang dan berteriak, "Apahal main ketuk-ketuk bawah lantai aku ni??? Kau nak mati ke???" Saya cakap begitu dengan perasaan yang cukup marah. Yang peliknya, apabila saya kata begitu keadaan kembali senyap seperti tiada apa-apa yang berlaku.


Beberapa bulan kemudian, saya diganggu lagi dengan penampakan lembaga hitam depan mata saya! Ketika itu saya dengan arwah bapak saya baru pulang dari jamuan makan malam kerana dijemput untuk hadiri sebuah acara. Ketika sampai di depan rumah, saya dengan arwah bapak ternampak ada seekor anjing hitam yang besar berada di pintu pagar rumah kami. Saya pun keluar dari kereta dan marah pada anjing itu, "Kau dah kenapa duduk kat pagar rumah ni??? Kau nak mati ke???" Selepas saya marah anjing hitam itu, ia pun menyalak. Saya sempat menghalau anjing itu dan terus buka pintu pagar rumah agar kereta dapat masuk. Setelah saya kunci pintu pagar tersebut, saya sempat pusing ke belakang dan terus terkejut saya dibuatnya! Nak tahu saya nampak apa masa tu? Saya ternampak lembaga hitam berdiri di luar! Nasib baik saya tak pengsan. Saya terus lari masuk ke dalam rumah.


Lepas kejadian lembaga hitam itu, saya terkena lagi. Ketika itu saya dah mula bekerja di pusat membeli-belah. Pada satu malam ketika saya pulang dari kerja, saya ternampak Kak Ponti melintas di depan mata saya di luar tingkap tempat rak kasut. Saya pun terus mencabar Kak Ponti itu dengan berkata, "Kau lintas lagi, kau bawalah teman-teman kau lintas depan aku lagi. Lepas ni aku kerjakan korang!" Tak lama selepas tu, nak dekat tengah malam, tiba-tiba terdengar bunyi hilaian yang kuat. Saya terkejut tetapi dengan pantas, sempat putar radio dan terus pasang siaran radio orang sedang membaca ayat-ayat suci Al-Qur'an. Saya kuatkan suara radio hinggakan satu rumah dapat mendengar.


Keesokan harinya, apabila saya pulang dari kerja dan sampai rumah, sewaktu saya masuk melalui pintu pagar rumah, saya terpaksa melalui stor yang terletak di bawah rumah. Saya ternampak dengan mata kepala saya, si Kak Ponti sedang berdiri di tepi dinding stor sambil menunduk. Saya undur beberapa tapak dan berkata, "Kau jangan kacau aku, aku tak kacau kau. Kau cari makan, aku pun baru balik cari makan. Kau baliklah ke tempat asal kau..." Selepas saya cakap begitu, saya toleh sebelah kiri dan perasan bahawa Kak Ponti dah pun hilang. Selepas kejadian itu barulah kami "memagar" rumah dan Alhamdulillah tidak ada lagi yang menganggu sampai sekarang...


SELAMAT MALAM SERAM 👹😈👹😈👹

1,789 views0 comments

Recent Posts

See All

コメント

5つ星のうち0と評価されています。
まだ評価がありません

評価を追加
bottom of page