Assalamualaikum KC,
Nama saya Nur, peminat dari Punggol East. Saya ada kisah yang agak ringkas yang saya ingin kongsikan yang berlaku pada satu hari Khamis, malam Jumaat kira-kira tiga tahun lalu. Saya dan keluarga berada di chalet yang terletak di Pasir Ris. Ibu saya menganjurkan acara hari jadi adik lelaki saya yang ke 21 dan kami mengambil unit chalet yang bertingkat.
Waktu itu, dalam pukul 11 malam, acara sudah habis dan tetamu-tetamu yang dijemput pun telah pulang kecuali anggota keluarga saya yang tinggal. Kami tempah chalet tersebut selama dua hari satu malam, bererti keesokan harinya baru kami pulang ke rumah. Saya dan adik perumpuan saya waktu jam 11 lebih malam telah turun ke bawah untuk membeli air di kedai serbaneka Cheers yang terletak tidak jauh dari situ. Dalam perjalanan ke kedai, saya terdengar bunyi seperti suara perempuan mengerang. Saya terperanjat bila terdengar bunyi itu. Saya boleh rasa bulu roma saya berdiri hingga ke tengkuk.
Seperti ramai yang tahu, keadaan kebanyakan chalet di Singapura, apabila tiba waktu malam agak sunyi. Bunyi cengkerik pun boleh terdengar oleh kerana keadaan yang amat sunyi. Bila terdengarbunyi itu, saya terus pusing memandang adik saya yang juga kelihatan terperanjat. Kami hanya memandang antara satu dengan lain dan memberi isyarat mata yang kami saling terdengar. Bunyi itu kedengaran lagi, dan kali ini ia agak kuat dari yang sebelumnya. Saya dan adik terus menggenggam tangan dan lari balik ke arah unit chalet kami. Kami terpaksa batalkan niat untuk beli air di kedai Cheers. Ya Allah, seram sangat!
Bila sampai di bilik kami, kami tidak memberitahu sesiapa pun tentang perkara ini. Kami tidak mahu menakutkan semua orang memandangkan kami akan bermalam di situ. Malam itu, sekitar pukul 2 pagi, saya berada di tingkat atas baring di atas katil bersama ibu dan adik saya. Mereka berdua sudah memasuki alam mimpi sementara saya masih bermain dengan telefon bimbit.
Tiba-tiba, saya terdengar bunyi seperti orang ulang-alik di balkoni yang berada di sebelah katil yang saya baring. Perasaan takut mula menyelubungi saya. Siapa yang berjalan di balkoni memandangkan ia terletak di tingkat dua dan hanya boleh masuk melalui bilik kami? Saya tidak berani untuk melihat ke arah balkoni. Nasib baik ada langsir menutupi pemandangan ke arah balkoni tersebut. Saya memejam mata serapat-rapatnya dan mulut saya kumat-kamit membaca surah-surah suci sehingga saya tertidur. Itu merupakan malam paling mengerikan dalam hidup saya. Bila pulang ke rumah pada hari esoknya baru saya memberitahu keluarga saya tentang perkara yang dialami oleh saya dan adik saya. Sebenarnya, ayah dan salah seorang saudara saya terdengar bunyi seperti wanita mengerang sewaktu mereka merokok di luar bilik chalet apabila acara majlis menyambut ulang tahun adik lelaki saya masih berjalan. Cuma niat mereka pun sama, tidak mahu menakutkan semua. Adakah chalet di Singapura benar-benar berhantu? Terima kasih...
Salam,
Nur
Commentaires