top of page
Search

Benda Ikut Saya Pulang Hingga Saya Menjadi Dungu...

Salam KC,


Nama saya Amir dan saya hendak menceritakan satu pengalaman seram yang berlaku pada saya pada tahun 2006 di Bukit Cermin, Kuala Kangsar, Perak. Saya berasal dari Ipoh, namun menumpang tinggal di rumah ibu tiri di Kuala Kangsar kerana tuntutan kerja. Oleh kerana bosan selepas waktu kerja, saya sering pergi ke Ipoh untuk melepak dengan kawan-kawan dan pulang semula ke rumah ibu tiri saya.


Pada satu malam, saya seperti biasa pulang dari Ipoh selepas melepak dengan kawan. Sebelum kami bersurai, jam menunjukkan jam 1 pagi. Untuk pulang ke rumah ibu tiri saya di Kuala Kangsar, saya akan menggunakan lebuhraya melalui susur masuk tol Jelapang, lebih cepat. Selepas melalui Terowong Menora lebih kurang 5km ke hadapan, kita akan jumpa RnR Sungai Perak. Di belakang stesen minyak yang ada di RnR tersebut ada lorong khas untuk motosikal keluar masuk lebuhraya. Lorong ini sering saya guna sebagai jalan pintas untuk ke rumah ibu tiri saya. Dari lorong tersebut, saya akan melalui satu tempat yang dikenali dengan nama Bukit Cermin.


Di Bukit Cermin ini tiada apa-apa melainkan hutan dan kebun getah. Lampu jalan pun tiada, gelap sepanjang jalan. Kena berhati-hati takut terlanggar binatang buas yang melintas. Saya tak takut kerana sudah terbiasa. Sedang saya menunggang motosikal saya, saya dapat rasakan kelajuan enjin saya tiba-tiba menurun. Saya tukar dari gear 5 ke gear 4. Namun enjin saya masih kedengaran memberat. Kenapa pula motor aku ni? Dari gear 4 turun ke 3, turun lagi ke gear 2. Akhirnya saya hanya gunakan gear 1, padahal jalanraya di situ tidaklah terlalu curam.


Sedang saya masih lagi kehairanan tiba-tiba motosikal saya sukar dikawal, seolah-olah kalau kita bawa pembonceng yang tak mengerti duduk diam. Bila bulu roma saya meremang, barulah saya tahu saya sedang diganggu. Saya tidak rasa terlalu takut ketika itu tetapi marah sedikit. Saya berkata, "Buat apa kacau aku? Bukannya aku hairan pun..."


Selepas saya bercakap demikian saya dapat rasa tepi peha saya disentuh. Bila saya jeling di peha saya tidak nampak apa-apa, tetapi dapt merasakan sentuhan tetap ada. Ini membuatkan saya sangat tidak selesa dan sangat-sangat takut. Gangguan ini bermula dari Bukit Cermin sehinggalah ke Kampung Bendang Kering. Bila dia pergi, saja enjin motor terus meraung kuat (sebab masih dalam gear 1). Saya terus memecut pulang. Sampai di rumah ibu tiri saya, keadaan saya boleh dikatakan 'macam biasa'. Saya tidak menggeletar atau demam atau meracau. Saya ceritakan apa yang terjadi pada ibu tiri saya, kemudian mandi dan terus masuk tidur.


Keesokan paginya, disangkakan gangguan semalam sudah habis namun di sinilah bermula titik hitam dalam hidup saya. Rupa-rupanya saya tidak cukup kuat untuk berdepan dengan gangguan seperti semalamnya. Semangat saya lemah. Saya jatuh sakit. Saya jadi seperti orang dungu. Disuruh makan, makan. Disuruh mandi, mandi. Kadangkala saya mandi tanpa tanggalkan pakaian. Saya juga sering dilihat tersenyum seorang diri. Saya menjadi sangat pendiam. Akhirnya saya dibuang kerja. Lebih mengeruhkan lagi keadaan, tunang saya minta diputuskan. Bapa saya bersusah payah mencari orang yang boleh pulihkan saya. Saya berkeadaan begitu selama tiga bulan dan saya berjaya dipulihkan oleh seorang hamba Allah dari Sungai Bakap, Pulau Pinang. Syukur Alhamdulillah!


Sekian saja KC. Selamat Malam Seram!

127 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page