Assalamu'alaikum KC dan juga para peminat Malam Seram,
Nama saya Nur. Pengalaman saya ini berlaku pada tahun 2013. Saya dan lima orang teman sekerja saya berbasikal dari Pantai East Coast hingga ke Gardens By The Bay di malam hari bermula sekitar pukul 11 malam.
Sedang kami berbasikal menuju ke kawasan Flower Dome, waktu sudah menunjukkan pukul 2 pagi, Tiba-tiba saya mula rasa seperti kami diperhatikan dan pada masa yang sama, salah seorang teman saya, Layla yang mempunyai "Mata Ketiga", juga merasakan sesuatu yang tidak kena pada masa itu, tetapi kami tidak pedulikan. Gangguan kronik bermula apabila Layla ternampak sosok tubuh berbaju putih dan berambut panjang, berhampiran dengan kami. sewaktu dia cuba mengambil gambar persekitaran itu menggunakan kameranya. Namun Layla tidak memberitahu kami apa yang dia ternampak, kerana dia tidak mahu kami rasa takut sepanjang perjalanan. Tetapi kami memang rasa tidak sedap hati pada waktu itu.
Sedang kami ingin keluar dari tempat itu, kami terlajak ke Tasik Dragonfly dan Kingfisher. Sampai di satu sudut, basikal yang saya kayuh terasa semakin berat. Tiba-tiba tangan kiri saya yang sedang memegang bar memegang basikal bagai disepak oleh sesuatu! Saya terus terjerit dan melatah, teman-teman saya yang berada di hadapan semua terhenti dan menoleh. Sedang saya belek-belek tangan saya, terperasan sudahpun masuk pukul 3:30 pagi. Ini petanda tidak baik, perjalanan itu bagaikan tiada berpenghujung.
Semakin kami mengayuh, semakin sesat kami di sana. Cuaca terus menjadi sejuk, sayu dan suram. Tiba-tiba kami terdengar bunyi itik sangat jelas, “Quak Quak Quak” dan diturut serta bunyi sayap berterbagan betul-betul di atas kami. Layla terus menjerit, “Sesiapa yang hisap rokok tolong hidupkan api korang sekarang. Turun basikal dan jalan rapat-rapat. Tolong jangan toleh-toleh...” kata Layla dengan tegas. Tidak seorang pun yang menanyakan kenapa dan hanya buat apa yang disuruh. Kami semua dapat rasakan yang kami diperhatikan dengan dekat sekali, segala bulu tengkuk saya sudah mula berdiri.
Alhamdulillah setelah setengah jam kami berjalan, kami menjumpai jalan asal, jalan yang mula-mula kami masuk. Apabila tiba keesokan paginya, tiba kami di Pantai East Coast untuk bermandi-mandi di tepi pantai. Layla pun menceritakan kisah semalaman yang berlaku. Awalnya dia sudah mendapat amaran yang pertama. Apabila dia ingin memetik gambar mengunakan kamera, dia ternampak sosok tubuh tidak jauh dari belakang kami.
Amaran kedua, dia ternampak benda yang sama sedang berdiri di belakang basikal saya yang membuat saya rasa basikal saya semakin berat. Dan yang terakhir dia ternampak “itik terbang terbalik” di atas kami. Inilah pengalaman seram saya bersama teman-teman sekerja saya. Kalau ada kesempatan lagi, saya akan ceritakan pengalaman di rumah saya pula.
Terima kasih dan selamat tengah malam KC dan pembaca blog Malam Seram!
コメント