top of page
Search

Bertugas Di Pusat Imigresen Woodlands

Assalammualaikum dan selamat malam!

Nama saya Fir. Saya pernah bekerja sebagai pegawai imigresen di Pusat Imigresen Woodlands selama enam tahun tapi sekarang sudah tidak lagi. Jadi cerita saya berlaku di pusat imigresen itu sendiri, maklumlah sebelum ini banyak orang mengadu tentang kesesakan di sana. Saya harap dengan penyampaian cerita saya ini, sedikit sebanyak umum akan kasihankan pegawai-pegawai yang bertugas. Ada di antara mereka yang terpaksa kerja tambahan masa terutama sekali yang bekerja pada sebelah malam, macam-macam dugaan yang harus dilalui, rasa mengantuk lain, tahan hendak pergi ke tandas lain, termasuklah pengalaman misteri di dalam kaunter bertugas.

Pada mula-mula saya masuk memang banyak kisah misteri yang pegawai lain berkongsi, ada terlebih orang di dalam kereta, ada tambahan pegawai dalam kaunter yang dinampak oleh pemandu. Banyak juga kisah yang terjadi pada teman-teman sekerja saya, namun ini yang saya alami sendiri semasa bertugas pada syif malam.​

Malam itu seperti biasa selepas mendapat jadual, saya pergi ke kaunter. Untuk syif malam kami mempunyai dua waktu rehat, di mana kumpulan pertama akan berehat dalam pukul 1 sampai 2:30 pagi dan kumpulan kedua pada pukul 2:30 sampai 4:30 pagi. Malam itu saya dijadualkan untuk berehat mengikut jadual kumpulan kedua, jadi pada pukul 1 pagi boleh nampak setengah daripada pegawai-pegawai pergi berehat dan jalan di tengah-tengah. Jadi macam biasa kalau ada yang saya kenal, saya suka menyakat seperti, “Oi, mana nak ajak?" atau "Eh dah boleh balik ke?”​

Jadi selepas pukul 1 pagi gitu kira dah sunyi sedikit sebab setengah kaunter tidak dibuka dan selalunya laluan trafik kurang sedikit berbanding dengan hujung minggu. Jadi kalau setengah kaunter tutup, bermakna saya seorang di dalam kaunter dan sebelah tidak ada orang, gelap tapi masih boleh nampak kaunter sebelah sebab ada ruang di tengah-tengah untuk kami berbual-bual ataupun kadang-kadang untuk bertanya itu dan ini kalau tidak pasti sekiranya ada surat-surat atau pasport yang pelik.

Semasa saya menunggu kereta masuk ke laluan kaunter, saya terdengar tingkap kecil kaunter sebelah yang selalu digunakan untuk pemandu memberi pasport untuk ditandakan seperti ada orang mengetuk. Sangkaan pertama saya ini mesti teman pegawai yang hendak menyakat atau kacau. Nak takut-takutkan sebab belakang kaunter kami cermin gelas boleh nampak luar. Kalau ada teman yang suka menakal, selalunya mereka akan suka terperanjatkan. Jadi bila saya terdengar orang ketuk di tingkap sebelah, saya hanya senyum saja. Kereta masuk laluan kaunter, saya buat kerja seperti biasa.


Selepas itu terdengar lagi orang mengetuk di sebelah, saya tengok kiri kanan tidak ada kereta jadi saya pun bangun dan jalan perlahan ke kaunter sebelah, niat hendak kenakan balik orang yang mengetuk tingkap itu.​ Saya cadang kalau dia ketuk lagi sekali, saya hendak terperanjatkan dia pula, Dia ketuk lagi, saya tunggu dalam tiga saat dan sejurus itu, saya tunjukkan muka tapi tidak ada orang! Saya periksa atas bawah, depan belakang, kiri kanan, mana tahu dia atau mereka bersembunyi tapi tidak ada. Jadi saya pun balik ke tempat duduk. Beberapa saat lagi, kedengaran bunyi ketukan lagi. Kali ini saya tidak tunggu, terus keluar kaunter tengok di luar tapi masih tidak ada orang. Saya pun hairan.


Semasa hendak masuk kaunter semula, kawan di kaunter depan bertanya, "Kenapa Fir?" Saya hanya jawab tidak ada apa-apa, dan hanya terasa bosan dan mengantuk, terus masuk kaunter semula. Masih tertanya lagi betul ke dengar orang ketuk, tak apa saya sedapkan hati dan berkata dalam hati mungkin ada kereta pandu lalu dan tingkap kecil itu bergegar seperti orang mengetuk. Saya pun duduk seperti biasa tetapi dalam berapa saat saya terdengar lagi, kali ini bunyi papan kekunci pula seperti orang sedang menaip sesuatu. Saya lihat kaunter sebelah kosong, takkan ada yang sanggup merangkak masuk dan menaip semata-mata hendak takutkan orang.?

Kemudian ada beberapa kereta masuk kaunter jadi tak terdengar sangat lagi bunyi di kaunter sebelah, namun semasa ada waktu tiada kereta yang pandu lalu, masih boleh terdengar bunyi menaip di papan kekunci di sebelah. Saya nak sedapkan hati sekali lagi saya cuba cari alasan munasabah mungkin ada cicak yang jatuh di atas papan kekunci tersebut. Saya lihat jam sudah pukul 2 pagi tapi tidak mengapa lagi setengah jam waktu rehat saya, tahan saja gangguan di sebelah. Saya terus duduk membelakangkan kaunter sebelah dan duduk menghadap pintu pula.


Lepas itu saya terdengar bunyi kuat sekali seperti ada benda berjalan di atas bumbung kaunter dari arah kaunter sebelah terus berlari sampai betul-betul berada di atas kepala saya. Dalam hati saya terfikir kalau tikus takkan dari tadi senyap, mesti ada bunyi. Saya lihat jam lagi, dah pukul 2 suku pagi. Alhamdullilah sekejap lagi waktu rehat macam tak sabar nak tunggu pegawai seterusnya mengambil alih tugas.

Sekitar pukul 2:25 pagi para pegawai yang telah pergi berehat pada awalnya sudah mula patah balik ke kaunter, saya pun tinjau siapa agaknya yang bernasib malang bertugas di kaunter saya. Ya Allah, saya lihat teman yang sama-sama masuk bertugas di tempat ini menghampiri kaunter saya. Sudahlah dia perempuan, lebih-lebih lagi sikapnya lemah-lembut. Saya serba-salah nak berkongsi dengannya apa yang berlaku, kalau cakap salah kalau tak cakap pun salah. Jadi apabila dia masuk ke dalam kaunter, saya pun bangun mengemas barang dan tergerak hati saya bercakap dengannya,"Iqah, Fir tak ngantuk sangat, Fir lepak sini boleh?" Niat nak menemankannya kalau ada apa-apa yang terjadi.​

Kami pun berbual sekejap dan dalam sejam saya sudah rasa mengantuk dan terus menguap. Iqa menyuruh saya tidur di bilik persalinan sekiranya hendak tidur, saya hanya berkata tidak mengapa, saya duduk di situ saja atas alasan malas hendak berjalan jauh pergi ke bilik persalinan. Kami berdua terdiam sebentar. Saya melihat jam telah menandakan pukul 3:45 pagi. Saya pun ambil keputusan untuk naik ke tandas sekejap untuk cuci muka apabila hampir pukul 4 pagi.


Sejurus setelah saya ambil keputusan dan rancang dalam otak, saya ternampak pintu kaunter sebelah terbuka, terdengar bunyi tapak kaki seperti ada orang yang masuk kaunter sebelah dan terus kedengaran bunyi orang menaip di papan kekunci. Iqah toleh kepala ke kaunter sebelah dan terlihat tidak ada orang, kemudian dia toleh semula pada saya dengan muka yang agak pucat. "Fir dengar tak tu?" Saya dengan selamba menjawab dah nak pagi, sekejap lagi dah sibuk dengan kenderaan yang masuk laluan kaunter dan akan ada pegawai datang bertugas di kaunter sebelah.​

Saya pun ceritakan apa yang berlaku semasa saya seorang diri dan alasan sebenar kenapa saya memilih untuk menemankannya di dalam kaunter tersebut. Iqah hanya mampu ucapkan terima kasih yang tak terhingga sebab sudi temankannyaa. Saya pun menjelaskan tak sampai hati nak tinggalkan dia sorang-sorang, kalau pegawai lelaki yang sepatutnya gantikan tempat saya pada awalnya, pandai-pandailah dia harungi masa bertugas di dalam. Hahaha...


Sekian terima kasih!

275 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page