Search

Bilik 657

Assalamualaikum KC dan pembaca blog Malam Seram,


Saya adalah peminat setia rancangan Malam Seram. Setiap malam saya tidak akan ketinggalan mendengar rancangan Malam Seram. Nama saya Rina, saya ingin berkongsi kisah seram saya ketika saya bermalam di hospital swasta di ibu negara Kuala Lumpur kerana anak saya berumur enam bulan ditahan kerana demam berpanjangan.


Bermulanya anak saya ditahan untuk dimasukkan dalam wad pada hari Jumaat 6/7/2018 dan ditempatkan di bilik bernombor 657 yang mempunyai empat buah katil. Ketika itu hanya saya dan anak saya yang berumur enam bulan itu saja menginap di dalam bilik tersebut. Bilik yang saya duduk itu adalah bilik yang paling hujung dan paling jauh dari kaunter jururawat. Ketika hendak menuju ke bilik itu suasana amatlah sunyi dan malap.


Pada malam pertama, saya berasa selesa dan berehat sambil menjaga anak saya sehingga saya tertidur esok pagi. Pada hari Sabtu pula, saya seperti biasa memberi anak saya sarapan bubur dan menyusukannya. Ketika menjelang petang, saya menunggu suami saya tiba di dalam wad sambil membuka aplikasi Facebook di dalam telefon bimbit saya. Sambil-sambil saya sibuk melayari Facebook dan anak pun baru lepas menyusu, tiba-tiba saya terdengar ada bunyi seperti seseorang membuka paip di dalam tandas di bilik saya.


Saya sangka pada masa itu mungkin paip di dalam tandas bilik sebelah yang berbunyi itu. Kemudian saya terdengar pula ada bunyi jamban dipam di dalam tandas bilik saya. Saya pun jadi kehairanan. Sebab pintu bilik saya sentiasa tertutup dan jika ada jururawat hendak masuk ke dalam, mereka akan ketuk dahulu. Tidak lama kemudian saya pun keluar dari bilik saya dan saya mengintai di bilik sebelah dan saya dapati bilik sebelah tiada orang. Di selang bilik saya pun tiada orang. Habis tu siapa yang berada di dalam tandas bilik saya tadi?


Saya pun mula rasa seram dan terus membaca surah Al-Fatihah dan Ayat Kursi. Perkara itu berulang-ulang kali saya dengar ketika menjelang senja. Suami saya belum sampai-sampai lagi. Selesai solat Isyak pada malam itu, saya terus baring dan pastikan anak saya tidur selepas menyusu. Jika saya hendak baring saya suka tarik tirai katil saya agar lebih privasi. Saya pun baring tanpa menghidupkan televisyen dan hanya satu lampu sahaja dipasang.


Selang beberapa minit, saya terdengar pula ada bunyi tapak kaki berjalan di depan katil saya dan meletakkan gelas di meja katil depan dengan kuat. Saya terkejut! Siapa yang masuk ke dalam bilik saya waktu malam begini dan kenapa tiada bunyi orang ketuk dan membuka pintu kalau hendak masuk ke dalam bilik? Saya terus menggigil. Anak saya mula meragam dan tidak boleh tidur.


Setengah jam kemudian, barulah suami saya sampai ke bilik saya. Suami saya berada di dalam bilik saya sehingga jam pukul 12 malam saja kerana dia terpaksa bekerja pada keesokan harinya. Selepas dia beredar, anak saya masih tidak boleh tidur sehinggalah dia penat menangis dan terus tidur pada pukul 1 pagi. Saya terus tidur pada waktu itu kerana terlalu kepenatan.


Setelah beberapa jam saya tidur, saya membuka mata saya dan saya dapati saya seperti ditindih. Saya amat terkejut apabila ternampak seorang budak perempuan sedang berdiri di depan katil saya dengan rambut yang panjang dan berwarna hitam pada keseluruhan badan. Budak itu siap bertanya pada saya, "Sedap tak makan kat sini?" Lidah saya kelu untuk membaca surah apabila saya melihat budak perempuan itu muncul di depan mata saya.


Dengan usaha saya untuk bangun, saya menggerakkan ibu jari kaki saya sehingga seluruh badan saya mampu bergerak. Saya terus bangun dari katil, nyalakan semua lampu di bilik saya dan memasang televisyen untuk mengurangkan rasa takut. Patutlah anak saya tidak boleh tidur sebelum ini. Keesokan paginya saya terus memberitahu jururawat untuk pindahkan saya ke bilik yang lain. Jururawat itu pun bertanya kenapa mahu pindah bilik? Saya hanya bagi tahu "Adalah...".


Jururawat itu pun berkata, "Ok takpe jangan cerita, saya dah tahu..." Rupa-rupanya jururawat-jururawat di situ memang dah tahu bilik saya memang ada benda yang duduk. Ada seorang lagi jururawat di situ juga ada memberitahu saya yang pesakit sebelum kami masuk juga ada memberitahu yang dia turut ternampak apa yang saya nampak. Selepas ini memang saya tak akan masuk ke bilik 657 lagi jika anak saya ditahan lagi.


Itu sahaja kisah seram saya. Terima kasih!

362 views0 comments

Recent Posts

See All

Assalamualaikum Abang KC, Nama saya Qamarina. Saya merupakan peminat tegar Malam Seram yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan. Saya ada kisah yang ingin dikongsikan bersama dengan pembaca blog Malam S

Assalamualaikum KC, Saya Khairul dari Kajang, Selangor. Pengalaman ini berlaku semasa sama belajar di Penang. Saya tinggal di rumah sewa bersama rakan-rakan. Pernah satu hari saya tertidur pada waktu

Assalamualaikum KC, Saya Izam daripada Brunei Darussalam. Cerita misteri ini mengenai pengalaman ibu dan bapa saya sendiri sewaktu kelahiran saya. Kejadian ini berlaku dekat Hospital Ripas. Ibu member