top of page
Search

Bilik Dorm Yang Dibiarkan Kosong...


Assalammu'alaikum, Nama saya Irwan. Saya bertugas sebagai pegawai keselamatan selama 20 tahun lamanya. Selama saya bertugas, ada beberapa kali saya terdengar atau mengalami peristiwa seram. Kisah yang akan saya ceritakan ini berlaku pada tahun 2014. Pada masa itu, saya bekerja di sebuah dormitori di kawasan barat Singapura. Ada sekitar 5000 orang yang tinggal di situ. Saya baru sahaja mengambil alih tugas dari kawan-kawan yang bertugas sebelah malam pada jam 8 pagi. Baru masuk 5 minit, saya didatangi seorang pekerja dari India yang tinggal di situ. Dengan penuh panik dan ketakutan, dia memberitahu saya, teman sebiliknya telah bunuh diri. Saya pun terus bergegas ke biliknya dan mengesahkan apa yang beliau katakan. Temannya telah gantung diri dengan menggunakan kain sarung yang dililitkan di kipas dinding. Di bawah beliau ada satu kerusi yang sudah terbalik. Kemungkinan besar, dia menggunakan kerusi itu untuk memanjat dan membunuh diri. Mereka tinggal di tingkat 4. Selepas siasatan polis, semua yang tinggal di dalam bilik itu, disuruh pindah. Bilik itu dikosongkan dan dibersihkan. Bekalan elektrik juga dimatikan. Tiga atau empat bulan berlalu, cerita hangat itu pun sudah dilupakan. Pada salah satu syif bekerja sebelah malam, saya didatangi seorang pekerja Myanmar yang tinggal di tingkat 3, sekitar 11.30 malam. Beliau membuat aduan bahawa jiran beliau di tingkat atas membuat bising seolah-olah menarik kerusi meja dan menghempas kerusi meja ke lantai. Saya pun pergi ke bilik tersebut untuk memeriksa keadaan tersebut bersama pekerja itu. Sampai saja di situ, dapat terdengar seperti ada orang di dalam bilik itu sedang menarik kerusi seakan sedang "mengemas" atau menyusun semula kerusi meja dalam bilik.


Saya ketuk pintu bilik tersebut tapi pintu tak dibuka tetapi bunyi tarikan kerusi terus terhenti. Saya dan pekerja Myanmar itu tunggu tapi pintu tak dibuka. Kami tunggu dalam tiga minit tetapi masih juga pintu itu tidak dibuka. Untuk mengelakkan dari membuat bising, saya menggunakan “master key” dan membuka pintu bilik tersebut. Bilik itu gelap! Tidak ada satu lampu pun yang menyala. Saya cuba hidupkan lampu tapi tak menyala seperti tiada bekalan elektrik. Dari muka pintu, saya menggunakan lampu suluh untuk melihat sekitar bilik itu. Bilik itu kemas dan bersih. Kecuali satu kerusi yang kelihatan terbaring di bawah kipas dinding. Pada mulanya, saya tak teringat apa-apa pun. Mungkin bekalan elektrik yang terputus. Jadi saya mencapai alat walkie-talkie untuk memanggil teknisyen. Teknisyen pula meminta nombor pintu bilik tersebut. Saya menoleh untuk melihat nombor pintu bilik. Ya Allah alangkah terperanjatnya saya melihat nombor unit di mana kejadian bunuh diri itu berlaku! Untuk tidak merumitkan keadaan, saya cuma memberitahu kepada teknisyen bahawa kami sudah dapat menyelesaikan keadaan dan meminta maaf kerana mengganggunya pada waktu itu.


Sampai ke hari yang saya ke bilik itu, ia masih kosong dan tidak didiami oleh pekerja asing di situ. Saya tutup pintu bilik itu dan terus membawa pekerja Myanmar itu turun dari tingkat tersebut. Itulah pengalaman saya. Sekian, terima kasih...

190 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page