Assalamualaikum KC,
Saya Aisyah kini berusia 20 tahun dan duduk di Sentul. Dahulu saya pernah bersekolah di salah sebuah sekolah menengah di kawasan Sentul. Di sekolah itu terdapat bilik muzik yang mempunyai alat-alat muzik tradisional seperti gamelan, angklung, cak lempong dan alat-alat muzik yang digunakan zaman dulu.
Sekolah lama saya mempunyai dua buah bilik muzik iaitu yang pertama namanya Bilik Gamelan. Bilik ini terletak di tingkat bawah dan yang kedua namanya Bilik Cak Lempong yang berada di tingkat atas sekali dan sangat misteri. Kami banyak menggunakan Bilik Gamelan sebab mudah dikunjungi kerana terletak di tingkat bawah, senang untuk turun ke bawah dan bilik itu sejuk kerana berhawa dingin.
Pada salah satu hari Sabtu, kami ditugaskan untuk bermain gamelan di kenduri kahwin anak saudara salah seorang cikgu kami. Kalau nak buat persembahan mesti kena pakai baju tradisi. Baju kami semua diletakkan di dalam Bilik Cak Lempong. Sebelum hari Sabtu tersebut, kami berlatih bermain gamelan selepas waktu Maghrib, iaitu sekitar pukul 8 sehingga pukul 10 malam. Setelah berlatih, kami pun naik ke tingkat atas untuk mengambil baju di bilik Cak Lempong.
Bila sebut saja nama Bilik Cak Lempong semua berbisik-bisik dan saya seorang yang tidak tahu-menahu apa-apa tentang bilik itu. Yang hanya saya dengar dari mereka, bilik itu berhantu! Sebelum ini saya tidak penah nampak hantu dan tak pernah kena kacau pun. Dah nama pun tak pernah dikacau, mesti berani dan tak percaya akan kewujudan hantu. Jadi saya pun berani naik dengan kawan saya seramai enam orang. Yelah baju yang hendak diambil memang banyak, takkan saya seorang yang nak ambil dan angkut ke bawah?
Semasa naik tangga untuk naik ke atas, saya macam dapat merasakan ada sesuatu sedang memerhatikan saya daripada atas tangga atas sekali. Masa itu juga saya fikir yang bukan-bukan. Saya fikir ada makhluk yang sedang menunggu di atas tangga dan terus akan hadap dekat muka saya. Sampai di bilik tersebut, saya terus buka pintu bilik dan cari suis lampu untuk hidupkan lampu. Nasib baik salah seorang kawan saya tahu di mana letaknya suis lampu dan tolong hidupkan lampu bilik itu.
Sewaktu di dalam bilik itu, kami semua diam kerana tidak mahu menegur. Bila semua diam, jadinya makin sunyilah bilik itu. Untuk hilangkan rasa bosan dan cuba untuk memecahkan keheningan, saya pun mula bermain dengan alat muzik cak lempong di bilik itu. Lama juga kawan-kawan yang lain memilih dan mengambil baju kerana hendak membuat anggaran siapa memakai baju saiz apa.
Tiba-tiba salah seorang kawan saya pula hendak menyampaikan cerita tentang Bilik Cak Lempong ketika kami masih di dalam bilik itu juga. Sebab saya tidak pernah mengalami apa-apa perkara yang pelik , saya pun hendak juga mendengar apa yang ingin disampaikan. Lagipun ketika itu kami bolehlah dikatakan ramai juga di dalam bilik itu, jadi kurang sikit rasa takut.
Kawan saya menceritakan di dalam bilik tersebut ada sebuah anak patung berhantu. Apabila saya bertanya di mana, sebab saya tak nampak pun, dia berkata, "Cuba kau tengok atas almari tu?" sambil mulutnya muncung membuat isyarat agar saya tengok ke sebelah kanan saya. Ternyata di atas almari itu ada anak patung berbentuk seekor arnab. Tapi pada mata kasar saya, anak patung itu tidaklah seseram mana. Kerana tak sedap hati, yang lain pun memberitahu kawan saya tadi supaya tukar topik perbualan.
Selepas keluar dari bilik itu, saya rasa seperti ada yang tidak kena, rasa macam nak nangis pun ada, rasa nak marah pun ada, nak duduk seorang diri pun ada. Kami bersurai sekitar pukul 12 malam. Pulang saja dari rumah terus saya masuk tidur sebab kepenatan. Namun sewaktu tidur, saya ada mimpi dikejar jin yang menyerupai seekor arnab seperti yang saya lihat tadi. Entah macamana saya terbangun dan rasakan lengan saya bisa sangat. Apabila saya lihat lengan saya, ada bekas lebam dan seperti ada tiga titik di tempat yang saya rasakan bisa itu.
Ada benda yang mengikut saya pulang dan mengganggu saya sewaktu saya tidur ke? Wallahu'alam. Mujur saya tidak diganggu lagi selepas itu.
Assalamualaikum dan terima kasih kerana ketengahkan kisah saya yang mungkin tak berapa seram ini...
댓글