Assalamualaikum KC,
Terlebih dahulu saya mohon maaf kerana ada di skrip ini saya sertakan bacaan yang memerlukan Loghat Utara kerana kami berbual dengan orang utara sebegini rupa. Saya Affendi, hendak menceritakan bukan kisah dari pengalaman saya, tetapi kisah dari pelajar senior sekolah saya pada sekitar sebelas tahun dulu. Sekolah ini terletak di utara Malaysia, Kedah; dan merupakan sekolah asrama lelaki dan perempuan. Kisah ini bermula pada satu malam, di bilik muzik sekolah saya.
Memang setiap tahun akan ada jamuan makan malam tahunan setiap kohort di sekolah saya. Dah menjadi satu acara wajib setiap tahun terutamanya untuk tingkatan atas yang bakal menamatkan pengajian di sekolah itu dan juga guru yang menjaga kelas setiap tingkatan tersebut. Di acara tersebut, sudah pastinya akan ada hiburan sama ada muzik, lakonan atau sebagainya mengikut kreativiti pelajar-pelajar sendiri. Untuk tahun tersebut, senior-senior saya memilih untuk membuat persembahan kugiran untuk dipersembahkan kepada guru-guru.
Oleh kerana kesibukan sekolah asrama yang padat dengan aktiviti, mereka memutuskan untuk membuat latihan di bilik muzik sekolah dua minggu sebelum hari acara tersebut diadakan. Bilik muzik terletak di Blok 5 iaitu blok kedua terakhir tetapi binaanya sudah lama kerana Blok 6 di penghujung sekolah baru sahaja dibina sekitar empat tahun sebelumnya. Jadi pada setiap malam, selepas solat Isyak, mereka akan mulakan latihan sehingga jam 10.30 malam (masa ini pelajar-pelajar lain di kelas masing-masing untuk persiapan kelas, membuat kerja sekolah, mengulangkaji pelajaran atau ada masa kosong selalunya kami berborak kosong sahaja), dan bila habis sahaja kelas tersebut, kami dijamu dengan makan malam di dewan makan sekolah.
Pada mulanya, mereka berlatih seperti biasa dan tidak ada apa-apa yang berlaku. Pada satu malam, usai sahaja latihan, bilik muzik tersebut dikunci dan senior-senior saya hendak menuju ke dewan makan untuk makan. Untuk pengetahuan anda yang membaca, kunci bilik muzik itu cuma ada satu pada pelajar dan satu lagi pada guru muzik sekolah. Setelah mereka sampai di sana, seorang senior saya, Haris (bukan nama sebenar) terlupa untuk mengambil kerja sekolahnya di kelas dan di bilik muzik tersebut.
Kelas dan bilik muzik hanya sekitar seratus meter jaraknya dan tidak jauh dari dewan makan itu. Lalu Haris berkata kepada ketua band mereka, Nazri (bukan nama sebenar), ”Woi, bagi kunci sat aku nak pi ambik barang lah, tertinggai dalam bilik muzik pulak...” Nazri membalas,”Takpa kah hang sorang pi ambik tu? Nak aku teman kah?” Haris pula membalas, “Alah relax lah 10 minit nanti aku balik lah, okay?”. Nazri memberikan kunci kepada Haris. Haris pun bergerak untuk mengambil barang-barangnya di sana.
Haris pun berjalan bersendirian untuk mengambil not lagunya untuk dihafal kerana masa sudah tidak mencukupi untuk mengingat not-not. Dia tahu nanti bila di bilik muzik, dia hendak ‘goreng’ gitarnya itu semasa latihan. Dan setibanya di koridor terakhir sebelum sampai di bilik muzik, kelihatan ada kelibat seorang pelajar baru saja berlalu dari situ. Rupa-rupanya Nazri, lalu Haris bertanya kepada Nazri, “Aik, tadi bukan hang ada dekat dewan makan? Hang siap bagi kunci dekat aku lagi...” Nazri pula menjawab, “Mana ada lah? Aku baru balik ni. Okay jalan dulu lapar dah ni...” Dan Nazri menuju ke arah laluan lain, bukan laluan digunakan Haris untuk datang ke bilik muzik.
Lalu Haris pun membuka pintu bilik muzik dan mengambil not muziknya tanpa memikirkan apa yang terjadi sebentar tadi. Sambil menuju ke kelas, Haris membaca not tersebut sambal berjalan dan setibanya di kelas, dia terus simpan not dan kerja sekolah di dalam beg, dan bergerak ke dewan makan. Namun, dia terfikir, ”Macamana Nazri boleh ada dekat koridor tadi? Tapi kunci ada dekat aku...” Haris mula berasa meremang bulu romanya dan terus berlari ke dewan makan. Setibanya di dewan makan, Haris berpeluhan kerana berlari sepantas kilat akibat ketakutan. Nazri kaget dan bertanya, “ Woi okay ke?” Haris pun menjelaskan situasi yang berlaku pada dirinya kepada mereka semua dan mereka terkejut kerana perkara tersebut terjadi pada malam itu.
Keesokan harinya, mereka memberitahu kepada guru muzik yang menjaga bilik tersebut. Guru itu hanya tersenyum dan berkata,”Dulu cikgu pernah simpan CD semua, kemas-kemas sebelum balik dan letak di alat pemain CD tu. Nampak kan? Tapi esoknya CD bertaburan dan ada CD sedang diputarkan di alat pemain CD tu. Biasa lah. Hehehehe...” Cerita tersebut masih segar dalam ingatan saya dan menjadi bualan pelajar-pelajar buat seketika pada masa itu. Saya percaya ceritanya tapi entah benar atau tidak, harus tanya pada Haris sendiri.
Sekian...
Comments