top of page
Search

Bilik Paling Hujung Di Wad Hospital

Assalamu'alaikum,


Saya Ali, ingin berkongsi kisah seram yang saya dan keluarga saya alami ketika berada di wad perseorangan di salah sebuah hospital di bahagian barat Singapura. Kisah ini berlaku pada bulan Disember tahun 2018.


Saya telah disahkan oleh doktor menghidap sejenis penyakit dan harus menjalani pembedahan. Sebelum pembedahan, saya akan dimasukkan ke wad sehingga tiba masa saya dibedah. Pada waktu tu saya ditemani isteri saya. Saya memberitahu jururawat agar saya dimasukkan ke wad yang lebih rendah kelasnya kerana tidak mampu untuk membayar wad yang lebih tinggi kelasnya.


Dipendekkan cerita jururawat yang bertugas memberitahu saya buat wad yang lebih rendah kelasnya sudah penuh, jadi buat sementara saya akan ditempatkan di wad perseorangan tapi bayaran tetap sama seperti kelas yang lebih rendah. Saya hanya akur saja, maklum ibarat rezeki yang datang melimpah, terima sajalah dengan hati terbuka. Tiba di wad tersebut hati saya begitu gembira sekali. Apa taknya, dahlah saya seorang sahaja dalam bilik itu, ada televisyen, sofa dan bilik air yang besar seperti bilik hotel. Dalam hati memang bersyukur sangat kerana rezeki datang tanpa diduga.


Namun apabila tiba sebelah malam, lain pula ceritanya. Di situ begitu sunyi sekali. Kira-kira pukul 10 malam isteri saya minta diri hendak pulang dan akan datang dengan anak-anak pada keesokan paginya. Sebelum pulang, isteri bertanya saya sama ada saya ok atau tidak. Saya hanya berkata ok tetapi di dalam hati terasa takut juga menetap di bilik itu seorang diri. Bilik ini paling hujung sekali dan agak jauh dari tempat jururawat berpangkalan di wad tersebut.


Untuk menghilangkan rasa bosan, saya menonton televisyen sehingga pukul 12 lebih malam. Malam itu saya hidupkan lampu di lampu katil dan bilik air agar terang sedikit. Di bahagian lain bilik itu hanya kelihatan samar-samar sahaja. Tak tahu pukul berapa saya terbangun dari tidur, saya ternampak ada seorang jururawat masuk. Dari atas katil saya hanya memerhatikan saja jururawat itu yang agak tinggi dan kurus orangnya.


Dalam keadaan setengah mengantuk dan bilik yang agak samar-samar gelap, saya perasan bahawa jururawat ini agak pelik sedikit. Baju seragam yang dipakainya bukan seperti yang dipakai oleh jururawat yang sedang bertugas di luar. Pakaian seragamnya seperti jururawat di zaman yang lampau. Yang ketara adalah kain yang dipakai di kepalanya seperti jururawat tahun-tahun yang sudah. Jururawar ini hanya mundar-mandir di hadapan saya dan tiba-tiba hilang dari pandangan saya!


Keesokan harinya isteri dan tiga orang anak saya yang berumur 16, 13 dan 9 tahun datang menziarahi saya. Saya menceritakan kisah yang saya alami. Malam kedua di situ saya gembira sebab mereka semua menemani saya bermalam di bilik itu. Malam itu isteri saya mendengar radio dengan menggunakan telefon bimbit. Anak-anak saya yang lain hanya berbaring sambil tunggu mata mengantuk. Namun ada perkara misteri yang terjadi yang disampaikan isteri dan anak saya yang berumur 16 tahun pada keesokan paginya.


Menurut isteri saya semasa lagu sedang berkumandang dia terdengar suara perempuan menyanyi mengikut rentak lagu di dalam radio. Hal ini dirahsiakan oleh isteri saya kerana jika dia memberitahu, nanti anak-anak saya akan takut. Tak mungkin anak-anak saya yang menyanyi kerana isteri saya mendengar stesen radio Inggeris yang memutarkan lagu-lagu malar segar lama zaman kami muda-muda dahulu.


Rupa-rupanya anak saya yang berusia 16 tahun juga ada mendengarnya. Isteri dan anak saya juga mendakwa ternampak kepala menjenguk dari pintu bilik tersebut. Pintu bilik tersebut ada cermin untuk melihat ke dalam. Mereka juga ternampak seperti kelibat orang yang sedang mundar-mandir di luar bilik saya, pada hal bilik itu yang penghabisan sekali. Di penghujung wad tersebut cuma tembok saja!


Itulah kisah saya dan keluarga alami ketika berada di bilik perseorangan di sebuah hospital di bahagian barat di Singapura. Terima kasih!

460 views0 comments

Recent Posts

See All

Commentaires

Noté 0 étoile sur 5.
Pas encore de note

Ajouter une note
bottom of page