top of page
Search

Bunyi Cakaran Di Tingkap

Selamat Malam Seram KC,

Saya Jadel, berasal dari negeri di bawah bayu (Sabah). Saya ingin berkongsi cerita yang tidak berapa seram tetapi telah menimbulkan satu rasa yang agak misteri. Terpulang kepada sesiapa yang membaca kisah saya ini samada ingin percaya atau tidak.


Kisah ini berlaku semasa saya masih di bangku sekolah, ketika itu saya mendapat berita yang datuk saya telah pun meninggal dunia. Untuk pengetahuan semua, bagi suku kaum Kadazan Dusun di Sabah terutamanya penganut agama Kristian, bila seseorang telah meninggal dunia, mayat berserta keranda akan disimpan di dalam rumah dan harus dijaga selama tiga hari. Selepas tiga hari barulah mayat tersebut akan dikebumikan. Ini adalah adat yang masih lagi dipraktikkan sehingga kini.

Pada malam kedua, mayat mendiang datuk saya dijaga di rumah salah seorang pakcik saya (jarak antara rumah pakcik saya ini dan rumah saya tidak jauh). Saya berada di bilik abang saya sebabnya saya takut tidur bersendirian, apalagi bila berlakunya kematian, adik-adik saya yang lain tidur di bilik ibu bapa saya. Malam itu saya tidak dapat tidur, pusing kiri, pusing kanan, masih lagi tidak dapat tidur.


Jam pada waktu itu telah melepasi 12 tengah malam. Abang saya sudahpun masuk ke alam mimpi, atau selalu KC suka katakan "alam bunian". Abang saya kedengaran berdengkur begitu kuat. Sedang saya cuba untuk melelapkan mata, tiba-tiba saya terdengar bunyi seakan-akan bunyi cakaran di tingkap bilik abang saya, sperti ada binatang yang sedang mencakar tingkap.


Masalahnya, tingkap bilik abang saya dipasangkan jeriji dan amat sukar kalau binatang seperti kucing untuk mencakar tingkap. Lagi satu perkara, tempat saya tinggal merupakan kawasan kampung dan kalaupun kucing yang mencakar, tidak mungkin sebab jarang dapat jumpa kucing di kawasan kampung saya. Agak kuat bunyi cakaran di tingkap dan bunyi itu kedengaran dalam dua hingga tiga minit.


Saya memang dah rasa takut untuk pergi melihat siapa atau apa yang sedang mencakar tingkap tersebut. Hendak kejutkan abang saya pun saya takut untuk bersuara, kerana khuatir nanti benda di luar terdengar. Hendak dikatakan pencuri, tidak mungkin sebab di luar masih ada orang yang sedang berjaga sambil bercerita. Persoalannya sekarang siapa atau apa yang mencakar tingkap bilik abang saya?


Untuk pengetahuan semua juga, rumah saya terletak berdekatan dengan kawasan perkuburan orang kampung. Adakah itu roh mendiang datuk saya atau benda lain yang mengganggu? Hingga kini kejadian ini masih saya tertanya-tanya.


Itu sahaja, sekian terima kasih!

366 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page