top of page
Search

Bunyi Dan Lembaga Hitam

Assalam KC,


Saya Husaini dari Selangor hendak menceritakan tentang pengalaman seram saya semasa saya menjalani latihan di sebuah pusat latihan awam yang terletak di Terengganu. Kisah ini terjadi pada hari pertama saya menjejakkan kaki di pusat latihan tersebut. Pada hari pertama saya datang saya sudah dapat merasakan sesuatu yang aneh di tingkat yang saya diami. Ayah saya mengatakan yang dia dapat merasakan sesuatu yang aneh semasa dia sibuk mengemas bilik saya bersama saya.


Pada mulanya saya buat tidak endah sahaja, maklumlah saya hanya berfikir yang baik-baik sahaja. Nak dipendekkan cerita, saya tinggal bersama-sama lima orang rakan sebilik termasuk saya enam orang. Kami semua kerap diganggu oleh bunyi-bunyian aneh yang datang dari bilik sebelah iaitu bilik yang bernombor "P-2-08". Setiap hari kami mendengar bunyi yang aneh, bunyi itu seakan-akan ada orang yang sedang mengetuk dinding bilik sebelah tersebut, sedangkan bilik tersebut tiada sesiapa pun yang menetap di situ dan ada juga kami mendengar seakan ada orang yang sedang berborak di dalam bilik tersebut dalam bahasa yang tidak kami fahami.


Kami juga kerap diganggu oleh bayang atau lembaga hitam yang sering menjelma di bilik dan koridor. Saya sendiri pernah melihat lembaga tersebut semasa saya sibuk berborak dengan keluarga di telefon bimbit. Ketika itu saya sedang duduk menyandar di tepi koridor. Tiba-tiba saya mendengar bunyi seperti ada seseorang yang sedang berjalan. Saya menoleh dan terus terkejut melihat sosok tubuh yang tinggi dan hitam sedang berjalan di koridor. Saya tidak dapat melihat wajahnya, namun kelihatan wajahnya hitam seperti arang.


Saya terus menoleh ke arah lain dan lembaga tersebut hilang dari pandangan. Teman sebilik saya pula pernah melihat lembaga yang sama berdiri di bahagian tangga. Banyak lagi peristiwa yang berlaku. Saya rasa setakat ini sahaja yang hendak saya ceritakan.


Terima kasih kerana ketengahkan kisah pendek saya...

160 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page