top of page
Search

Bunyi Selipar Basah Mengesot

Assalamualaikum KC,


Nama saya Ifah dan saya ingin berkongsi pengalaman semasa bercuti di Thailand (Koh Lanta) pada bulan September 2018. Koh Lanta merupakan salah sebuah pulau di Krabi yang kami perlu menaiki feri untuk sampai. Resort yang kami memilih agak jauh dan dalam. Ia juga berdekatan dengan pantai. Pantainya sangat cantik dan bersih. Tiba saja di resort tersebut, kami agak terpegun dengan permandangan pantai yang sangat cantik. Resort itu juga dikelilingi pokok-pokok yang agak tinggi dan besar. Untuk sampai ke bilik kami, kami perlu menaiki dataran yang agak tinggi.


Saya berkongsi bilik bersama dua orang lagi sahabat yang akan saya namakan sebagai Jay (sahabat berbangsa Cina) dan Tipah (sahabat berbangsa Melayu). Jadi kami bertiga duduk sebilik. Kami berada di Koh Lanta selama empat hari dan memang gembira dan cukup puas hati berada di sana. Maklumlah kami jarang dapat bercuti kerana sibuk bekerja, jadi memang peluang yang agak sukar diraih untuk berada di luar Singapura. Bila dah dapat, kata orang, joli katak lah kita. Hahahahaha...


Malam terakhir berada di Koh Lanta, maaf cakap, badan saya tidak bersih kerana masalah bulanan wanita. Pada malam terakhir, saya berpesan kepada dua sahabat saya supaya kami jangan balik ke bilik terlalu lewat untuk menghindari sebarang perkara yang tidak diingini. Jam baru saja masuk 7 malam, tapi suasana di Koh Lanta sangat gelap. Kami bercadang untuk ke kedai sebelum kembali ke bilik resort kami. Untuk ke kedai, kami perlu menaiki Tuk Tuk kerana resort agak dalam dan jauh dari kedai-kedai.


Sepanjang perjalanan menaiki Tuk Tuk tersebut, kami dikelilingi kedai yang sudah tutup, rumah-rumah yang terbengkalai, semak-samun, pokok-pokok yang agak besar dan tinggi serta keadaan sekeliling yang sangat gelap dan menyeramkan. Setelah selesai membeli-belah, kami menaiki Tuk Tuk tersebut untuk dihantar semula ke resort kami. Kami bertiga tidur agak siang malam itu dalam jam 10 malam kerana esok paginya hendak bangun siang untuk perjalanan kembali ke Lapangan Terbang Krabi.


Semasa sedang nyenyak tidur, tiba-tiba saya tersentak terjaga dari tidur kerana terdengar bunyi tapak kaki seseorang seperti sedang memakai selipar yang basah berjalan di dalam bilik hotel kami. Saya terjaga dan terus melihat ke kiri dan kanan untuk memastikan sahabat-sahabat saya masih di alam mimpi. Ternyata kedua sahabat saya nyenyak tidur. Jam menunjukkan sudah pukul 2.30 pagi. Saya sangkakan mungkin setakat imaginasi saya saja. Saya cuba untuk tidur semula tetapi sekejap-sekejap terjaga sebab terdengar bunyi-bunyi yang agak pelik seperti ketukan di pintu balkoni kami yang menghadap pokok-pokok yang besar serta laut dan pantai.


Saya mula rasa tidak sedap hati dan mengejutkan Jay. Saya menepuknya bangun dan pura-pura bertanya dalam bahasa Inggeris, "Eh, alat pendingin hawa ni rosak ke? Panaslah bilik ni!" Jay pun terjaga dan dengan suara yang mengantuk berkata yang dia akan betulkan suhu di panel alat pengawal suhu pendingin hawa tersebut. Setelah itu, Jay masuk ke tandas. Saya pun mengambil peluang untuk menyuruhnya tunggu sementara dan jangan tidur semula agar saya pun dapat menggunakan tandas. Sebelum itu hendak bangun pergi ke tandas agak seram setelah terdengar bunyi-bunyian tersebut. Saya mula rasa ngantuk sekali lagi dan akhirnya tertidur dalam pukul 4 pagi.


Keesokan harinya, semasa kami semua sedang siap-siap mengemas untuk kembali semula ke Krabi, tiba-tiba Tipah membuka topik perbualan. Dia memberitahu kami bahawa dia termimpi sesuatu yang pelik. Di dalam mimpi itu dia ternampak ada seorang wanita berjalan di sekeliling bilik kami. Apabila Tipah terbangun, bulu romanya meremang dan dia cepat-cepat tutup mukanya dengan bantal dan tidur semula.

Berderau darah saya semasa mendengar Tipah berkata begitu. Kerana saya terjaga dari tidur sebab terdengar tapak kaki yang menggunakan selipar yang basah berjalan dalam bilik kami. Saya pun berkongsi bersama dua sahabat saya apa yang saya dengari semasa saya tidur. Saya cuma berkongsi yang saya terdengar tapak kaki orang berselipar dan berjalan di dalam bilik. Kami cuba untuk tidak hiraukan lebih lanjut namun berasa agak gembira jikalau betul ada gangguan sekalipun, ia terjadi pada malam terakhir kami di Koh Lanta.


Sedang kami semua memakai sepatu / selipar masing-masing sebelum meninggalkan bilik tersebut, tiba-tiba Tipah berteriak, "Hey selipar aku basah lah!" Terbeliak mata saya! Saya pun berkata padanya, "Semasa aku terdengar bunyi tapak kaki berselipar berjalan, bunyinya seperti selipar itu basah..."


Saya tak pasti kalau gangguan ini disebabkan badan saya yang tidak bersih atau kerana kami berjalan di tempat yang gelap pada malam terakhir itu. Mungkin ada makhluk yang tertarik. Tapi selama tiga malam kami di sana, kami bertiga juga ada bergurau memakai selipar bilik hotel dan mengacau Jay yang selalu jalan seperti mengesot atau mengheret kakinya. Dah banyak kali kami pesan jangan menyeret kaki ketika berjalan tapi dia buat juga. Mungkin ada makhluk yang mengganggu kami pada malam itu. Itu saja, nasib baik tidak ada gangguan lain semasa kami pulang ke Singapura.


Terima kasih kerana sudi ketengahkan kisah saya...

248 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page