top of page
Search

Bunyi Seretan Di Tingkat 3 Asrama Kolej

Assalammu'alaikum,


Nama panggilan saya Amat. Kisah saya ini terjadi ketika saya berada di asrama di salah sebuah kolej di Rompin beberapa tahun yang lalu. Pada mulanya keadaan di sini baik-baik sahaja. Tiada gangguan makhluk halus dan gangguan lain. Tetapi setelah dua bulan menetap di asrama ini, saya dan kawan kawan saya mula diganggu oleh sesuatu. Kami kerap mendengar rancangan radio kendalian KC suatu waktu dahulu secara beramai-ramai sebelum masuk tidur. Perkara ini terjadi sejurus selepas rancangan radio itu berakhir.


Pada mulanya, kawan saya memberitahu agar jangan mendengar rancangan itu lagi buat beberapa hari. Ini kerana katanya, "Kita seperti mengundang makhluk itu..." Kami cuma elakkan sahaja dan berkata, "Ini cuma sekadar hiburan, lagipun mana ada hantu di sini?" Kawan kami yang seorang ni memberi amaran pada kami, "Jangan berlagak, nanti dah kena baru tahu. Benda-benda macam ni tak boleh buat main, takut nanti menyesal..." Kami pun bertanya samada dia mahu mendengar ataupun tidak dan dia cakap tak mahu. Kemudian kami menyuruh agar dia tidur di bilik yang lain kerana kami masih mahu mendengar.


Sedang kami mendengar rancangan tersebut dan ketika itu KC sedang bercerita tentang kisah pendek di Amber Court, kami dikejutkan dengan bunyi seretan di tingkat 3 bangunan asrama kami. Oh ya, saya terlupa untuk beritahu yang bangunan kami mempunyai 3 tingkat dan tingkat ketiga tidak mempunyai penduduk. Selepas bunyi seretan dari perabot, kami dikejutkan dengan bunyi seperti orang berlari di tingkat 3. Saya dan kawan-kawan pun cuba mencari siapa yang berlari di tingkat 3.


Kami naik ke tingkat 3 dan membuka pintu setiap bilik. Pintu pertama, kosong. Kedua, kosong. Ketiga juga kosong. Tetapi pintu keempat, kami nampak di sebelah tingkap ada susuk tubuh perempuan berambut panjang sedang senyum melihat ke arah kami semua. Kami pun lari ke bawah. Semasa kami lari di tangga, salah seorang kawan saya sempat memandang di celah-celah tangga. Nak tahu dia nampak apa? Dia nampak perempuan yang rambutnya panjang tadi sedang senyum memandang tepat ke mata kawan saya.


Kami terus ke bilik warden dan memberitahu hal sebenar dan warden memarahi kami kerana menjejakkan kaki ke tingkat 3 bangunan asrama kami. Kata warden tingkat 3 itu sudah lama tak didiami pelajar, mungkin benda itu duduk di situ. Jika terdengar bunyi seretan atau orang berlari, jangan tegur. Selepas itu, setiap kali bunyi seretan di tingkat 3 asrama kami, kami tidak buat apa-apa dan anggap seperti biasa saja perkara itu.


Sekian Assalammu'alaikum...

113 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page