Assalamu'alaikum,
Saya Kak Lini dari Perlis. Kisahnya terjadi semasa zaman akak kecil dahulu, lebih kurang tahun 90an. Seperti rutin pada setiap minggu, hari Khamis malam Jumaat, emak saya akan membasuh sayur-sayuran yang dikutip oleh atuk pada siang hari. Sayur-sayur itu atuk tanam sendiri dan akan dijual pada keesokan harinya di pusat pengajian Islam di satu tempat yang tak boleh disebutkan di sini. Sudah menjadi rutin dan kebiasaan mak, dia akan membasuh sayur itu pada lewat malam sekitar pukul 11 dan 12 malam...
Pada suatu malam iaitu malam Jumaat, mak saya meminta tolong untuk temankannya ke telaga di luar rumah untuk membasuh sayur-sayuran itu. Jaraknya kira-kira 10 meter saja dari pintu dapur. Kebetulan pula pada malam itu hujan turun renyai-renyai. Selalunya mak akan selesai basuh sayur lebih kurang pukul 1 atau 2 pagi, tapi malam itu terasa macam lama sangat. Tiba-tiba hati saya rasa lain macam. Saya lihat di sekeliling kawasan tempat itu. Biasalah rumah kampung, mesti ada kawasan hutan dan pokok-pokok yang besar di belakang rumah.
Untuk pengetahuan anda sekalian, belakang rumah saya ada satu pokok belinggai yang besar dan tinggi. Orang dulu-dulu kata pokok belinggai ni selalunya Cik Ponti suka singgah dan bertenggek di atas pokok itu. Pada masa itu juga saya teringat tentang kisah pokok belinggai ini dan saya pun terus memandang ke arah pokok itu. Jarak pokok belinggai kira-kira 20 meter dari telaga tempat kami basuh sayur. Saya pandang pokok itu dari atas, dahan ke dahan, tak ada apa-apa. Selepas itu saya memandang pula bahagian bawah pokok itu. Astaghfirullahal'azim! Saya nampak ada sesuatu di tepi pokok belinggai itu!
Saya nampak ada makhluk berambut panjang berselimut dengan kain putih sedang memandang ke arah kami. Saya perhatikan betul-betul makhluk itu, betulkah Cik Ponti atau sekadar bayang-bayang hasil silauan bulan di celah-celah daun? Saya menggenyeh-genyeh mata saya. Masa itu saya tak beritahu pun pada mak saya. Sekali saya nampak kain putih itu gerbang seperti ditiup angin, padahal tiada angin sedikit pun pada masa itu. Mukanya putih dan sedang tersenyum.
Apalagi, terus saya bangun dan lari masuk ke dalam rumah. Mak saya terpinga-pinga bila tiba-tiba saja saya berlari. Dia pun bangun, bertempik dan bertanya dari luar rumah, "Awat kak? Awat kak?" Saya pun buka tingkap dekat bahagian dapur dan terus berkata kepada emak. Dengan nada perlahan, "Mak... Mak... Mak tengok pokok belinggai tu, ada apa?" Bila dengar saya berkata begitu, mak saya tanpa menoleh dan tengok ke arah pokok itu terus berlari masuk ke dalam rumah tanpa mengambil sayur-sayur yang telah dibasuhnya. Bila saya ceritakan apa yang saya nampak kepada mak, dia memarahi saya, "Awat tak bagitahu mak dulu? Hang tinggai mak pasai apa?"
Selepas kejadian itu, mak dah tak berani nak basuh sayur-sayur di tepi telaga pada malam hari. Hanya sekali saja saya nampak Cik Ponti ada di pokok itu. Mungkin dia hanya singgah melawat kawasan kami agaknya. Itu saja cerita saya...
Comentários