top of page
Search

Dengusan Garau Jiran Sebelah

Assalamualaikum KC,


Saya Hassan dari Negeri Sembilan. Saya hendak kongsi kisah jiran saya yang agak menyedihkan. Saya tinggal di kawasan perumahan yang berbentuk semi-D. Keluarga saya agak rapat dengan jiran-jiran yang tinggal di depan, kiri dan kanan rumah kami. Dari saya berumur enam tahun, kami sangat kenal antara satu dengan yang lain. Mak dan nenek saya pun selalu siram pokok bunga pada waktu petang dan akan ada jiran-jiran yang lain turut sama siram pokok-pokok bunga mereka.


Dari situlah selalu mereka sembang tentang tanaman, isu semasa, tentang keluarga masing-masing, malah siap minum teh bersama kadang-kadang di rumah saya, kadang-kadang mak atau nenek saya yang bertandang di laman jiran-jiran. Sekarang umur saya dah masuk 25 tahun dan kerja berjauhan, agak lama berjauhan dari rumah. Bila dah selalu jauh, jarang saya dengar khabar jiran-jiran di kawasan perumahan. Cuma bila projek habis barulah dapat bercuti berehat di rumah keluarga saya di Negeri Sembilan.

Apa yang hendak saya ceritakan tentang jiran yang tinggal di sebelah kiri rumah keluarga saya. Nama jiran saya Kak Siti, tapi kami saya mesra memanggilnya dengan panggilan Kak Ti. Beliau seorang guru dan sangat peramah dan pemurah, umurnya pun dalam lingkungan 30an, kira masih muda lagi. Setiap petang apabila beliau pulang dari mengajar, sebelum masuk ke dalam rumah mesti singgah di tepi pagar untuk ber sembang dengan mak atau nenek saya. Kadangkala dia bawakan kuih-muih sambil duduk borak dalam laman rumah kami.


Sewaktu saya bercuti pada akhir tahun 2018, saya lihat rumah Kak Ti berkunci dan bermangga seperti tidak ada orang. Nenek saya memberitahu dah dekat dua minggu tidak nampak Kak Ti. Mungkin dia dah mula bercuti, barangkali balik ke kampungnya di Perak. Yelah sewaktu saya bercuti ketika itu merupakan penghujung tahun dan musim cuti sekolah akhir tahun.


Pada satu hari dalam pukul 9 pagi, saya sedang membelek-belek motor sambil memasang aksesori pada motor saya, ada sekumpulan guru-guru perempuan tiba dalam satu kereta, datang memberi salam dan memanggil Kak Ti dari luar rumah. Saya sempat menjenguk kerana ingin tahu siapa yang berada di luar. Kemudian saya pergi menyapa mereka sambil berkata, "Dah dekat dua minggu mak dan nenek saya tak nampak Cikgu Ti..."


Salah seorang guru itu berkata, "Cikgu Ti sedang sakit, dia ada di dalam. Dah dekat dua minggu dia tidak datang bekerja sebab dia mengajar sekolah menengah, masih lagi ada kelas untuk ulangkaji bagi pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan SPM. Kami cuba telefon tak angkat, tidak ada khabar berita, jadi kami semua risau, sebab itu kami datang hendak ziarah..." Saya pun jawablah, "Oh sakit ke? Takpelah saya tolong tengokkan sekali, cuba ketuk pintu kayunya, mana tahu dia berada di dalam..."

Jadi saya panjat pagar rumah Kak Ti dan berjalan menuju ke pintu kayu. Saya ketuk beberapa kali sambilmem beri salam, "Assalamualaikum Kak Ti... Oh Kak Ti! Ni ada cikgu-cikgu sekolah datang nak melawat ni..." Tiba-tiba ada bunyi dengusan garau yang kuat sangat datang dari bilik tidur Kak Ti. Tingkap biliknya bersebelahan dengan pintu kayu yang saya ketuk. Jadi kalau nak intai siapa yang berada di depan pintu kayu dari tingkap bilik memang tidak boleh nampak.


Bila dah mendengar dengusan, saya terkaku seketika. Selepas saya diam hendak mendengar balik dengan betul-betul, ada bunyi dengusan garau lagi sekali. Kali ini tidak kuat tapi panjang bunyinya. Adalah dalam dua puluh hingga tiga puluh saat. Tiba-tiba salah seorang cikgu menjerit dari luar pagar, "Haaa tu Cikgu Ti intai dari langsir. Ti... Ti... Ni akak datang. Keluarlah, kita nak tengok keadaan awak ni..." Saya diam lagi tidak berani hendak tengok, takut hendak bertentang mata. Sebab saya seorang saja yang mendengar bunyi dengusan itu sebanyak dua kali.


Tiba-tiba kedengaran suara salah seorang cikgu, "Eh, lamanya dia tenung kita? Ti awak okay tak tu?" Dengan tidak semena-mena suara garau KakTi berkata, "PERGI! JANGAN GANGGU! PERGI!" Meremang terus bulu roma saya! Kak Ti yang saya kenal selama ini dah menjadi lain. Masa itu baru saya faham maksud sakit Kak Ti yang salah seorang cikgu memberitahu pada saya, "Dah Dik keluar cepat!"


Saya pusing dan tidak pandang belakang langsung, terus pergi ke arah pagar dan panjat keluar. Sedih saya tengok keadaan Kak Ti sebegitu. Beliau sangat baik dan peramah. Kemudian salah seorang cikgu memberitahu, "Ada orang yang dengki dengannya atas kebaikan dan sikap peramahnya itu, kita doalah yang terbaik untuknya..." Sedih saya mendengarnya. Beliau sangat baik dengan keluarga kami.


Mak dan nenek ketika itu belum tahu keadaannya. Tapi saya memberitahu mereka sehari dua kemudian kerana rasa bersalah tidak dapat membantu sebagai seorang jiran. Memang tidak seram mana pun kisah saya, tapi bila saya mendengar bunyi dengusan garau dan kuat itu datang dari seorang wanita yang saya kenal berbadan kecil, manis dan sopan, meremang bulu roma saya bila teringat semula.


Sekian terima kasih. Assalamualaikum...

727 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page