top of page
Search

Sawan Mayat

Kiriman emel oleh Laila Sari

Asal Batu Pahat, Johor Malaysia.


Di sini saya ingin berkongsi pengalaman dimana saya pernah mengalami sawan mayat atau badi mayat. Kemungkinan kisah ini tidak begitu seram tetapi ini merupakan pengalaman paling menakutkan yang pernah saya alami sepanjang 25 tahun saya hidup. Di sini kisahnya bermula.


Pengalaman ini terjadi pada tahun lepas iaitu tahun 2019 iaitu pada hari Selasa 10/09/2019 dimana abang angkat saya meninggal dunia.


Part 1: Seminggu sebelum arwah meninggal dunia, arwah dimasukkan ke hospital disebabkan darah tinggi. Seingat saya, arwah sendiri pergi ke hospital memandu kereta dengan keadaan sakit.


Arwah ditahan wad di hospital kluang selama 3 atau 4 hari. Pada hari Jumaat 06/09/2019 arwah dibenarkan keluar dari hospital dan justeru itu, saya mengajak keluarga saya untuk menjenguk arwah di rumahnya di kluang. Usai solat jumaat & makan tengahari, kami sekeluarga bertolak ke rumah arwah dan memujuknya untuk duduk di rumah kami di parit raja, batu pahat johor. Saya dapat lihat air muka arwah amat berat hati untuk tinggalkan rumahnya kerana arwah sedang menyiapkan bunga-bunga gubahan yang akan dihantar ke singapura pada hari Selasa. Akhirnya, arwah mengikut kami pulang ke parit raja.



Part 2: Sepanjang arwah tinggal di rumah kami, setiap malam beliau ajak kami satu keluarga untuk keluar makan di luar. 2 hari sebelum arwah meninggal, beliau ajak kami adik beradik keluar tapi adik saya menolak keran sudah setiap hari keluar tapi kata-kata arwah amat menyentuh hati apabila dia mengatakan ("lepas ni takde dah korang nak keluar dengan abang, nanti abang dah takde").


Part 3: Malam terakhir iaitu pada hari Isnin 09/09/2019, petang isnin kami satu keluarga menghantar adik saya ke stesen bas untuk pulang ke Nilai untuk bekerja. Petang itu kami bergurau senda, gelak tawa tanpa diketahui itu adalah hari terakhir arwah bersama kami. Kami berhenti solat maghrib yang merupakan solat terakhir untuk arwah. Sampai di parit raja dalam pukul 9 malam dan arwah mengajak kami untuk makan Sate dan tanpa diketahui itulah makanan terakhir. Usai makan dan minum, kami pulang ke rumah, membersihkan diri, solat isyak dan sedia untuk tidur.




Part 4: Jam 2.30 pagi, saya dikejutkan dengan suara adik saya yang mengejut saya untuk lihat keadaan abang angkat saya di dalam bilik adik saya. Lantas saya bangun dari tempat tidur dan terus menuju ke bilik adik saya dimana ketika itu ayah dan ibu saya berada di sisi abang angkat saya. Wajahnya pucat, seluruh badannya sejuk seperti ais batu. Ketika itu, badan saya kaku, pemikiran saya kosong. Adik saya menelefon ambulans. Jam 3 pagi, pihak perubatan mengesahkan bahawa arwah telah meninggal dunia.


Part 5: Arwah meninggal pada hari Selasa 10/09/2019 dimana hari yang sepatutnya arwah pulang ke rumahnya di Kluang untuk membawa bunga-bunga yang akan dijual di Singapura tetapi beliau telah meninggalkan dunia buat selama-lamanya. Dan ketika itu, bermulalah pengalaman saya diserang sawan mayat.


Part 6: Sesungguhnya saya tidak pernah mengalami situasi dimana orang terdekat meninggal dunia dengan secara mengejut. Saya menjadi takut + sedih + risau. Arwah meninggal di rumah kami di parit raja di dalam bilik adik saya. Malam arwah meninggal dunia, bilik adik saya diterangi lampu selama 2 minggu berturut-turut. Saya masih teringat wajah arwah yang pucat, sejuk, menggigil, dan ia amat menakutkan saya dimana setiap malam saya akan tidur di dalam bilik ayah dan ibu saya. Saya tidak pernah mengalami perasaan sebegini. Ia amat memenatkan fizikal dan mental saya. Lagi menakutkan apabila tiba waktu senja, saya mengalami perasaan gemuruh, risau, sedih dan takut untuk masuk ke dalam rumah. Bilik saya berhadapan dengan bilik adik dimana arwah menghembuskan nafas terakhir, dan setiap kali saya memijak tangga untuk melangkah ke ruang atas pasti mata saya akan melihat ke dalam bilik adik. Perasaan ini amat membimbangkan saya sehinggalah suatu hari saya menangis dan memohon pertolongan dari ayah saya untuk mendapatkan air yassin untuk menghilangkan perasaan ini. Alhamdulillah ayah saya mendapatkan pertolongan dari seorang Ustaz dan Ustaz itu memberikan air yassin. Agak lama untuk pulih, seingat saya sebulan baru fizikal dan mental saya benar-benar pulih. Perasaan yang saya alami ini amat sukar untuk dihuraikan.


Sekian itu sahaja dari saya. Minta maaf KC kerana terlalu panjang.


4,798 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page