Assalamualaikum KC,
Saya Reezuan dari Batu Pahat, Johor Darul Takzim. Saya mempunyai sebuah kisah yang agak ringkas yang hendak saya kongsikan kepada semua peminat Malam Seram. Umur saya kini tiga puluh empat tahun. Kisah ini terjadi semasa saya berumur dua puluh satu tahun. Ketika itu, saya mempunyai seorang kekasih yang belajar di sebuah universiti di Melaka.
Semasa saya sedang kemaruk bercinta dengan gadis itu, saya kerap ke Melaka untuk berjumpa dengannya untuk lepaskan rasa rindu. Pada waktu itu, saya bekerja di salah sebuah pasaraya di kawasan Batu Pahat sebagai penjaga tempat parkir kenderaan. Selalunya jam 10 malam saya akan tamat bertugas dan saya akan terus ke Melaka untuk berjumpa kekasih saya dengan menaiki motosikal.
Pada satu malam, saya kurang ingat jam berapa saya pulang dari bertemu kekasih saya. Biasanya saya pulang dari bertemu dengannya sekitar dalam jam 3 pagi. Hendak dijadikan cerita, dari Melaka saya bergerak pulang ke Batu Pahat dan tiba di kawasan Parit Jawa. Tiba-tiba kawasan yang saya lalui menjadi tebal dek berkabus. Jarak penglihatan saya pun terbantut dan saya hanya dapat melihat lebih kurang 50 meter sahaja di hadapan saya dengan jelas. Selebih itu dah tidak jelas dan samar-samar.
Saya turunkan kelajuan motosikal yang saya bawa. Selang lima hingga sepuluh minit saya terperasan di cermin sisi bahagian kiri saya seperti ada benda putih melekat. Lantas saya pun cubalah bersihkan. Bila dah dibersihkan, saya kembali fokus menunggang motor. Beberapa minit kemudian, saya terperasan ada lagi benda putih itu macam melekat di cermin sisi bahagian kiri saya. Kali ini saya perhatikan betul-betul rupanya, bukan di cermin sisi saya tetapi di belakang saya!
Saya pun toleh ke belakang. Nak tahu apa yang saya nampak? Ada makhluk berbungkus sedang mengekori saya dari atas tiang lampu jalanraya sambil terbang tegak, bukan terbang ala-ala watak kartun adiwira dan tidak melompat sedang mengejar saya. Saya pun apa lagi terus pulas habis dan pecut terus sambil membaca ayat-ayat suci Al-Qur'an yang saya ingat. Alhamdulillah setelah lebih kurang satu atau dua kilometer saya berjaya memecut, kemudian barulah kabus itu hilang dan makhluk itu pun hilang bersama-sama kabus tersebut.
Sekian Assalamualaikum dan selamat Malam Seram kepada semua peminat Malam Seram!
Comments