top of page
Search

Diganggu Atau Hanya Mimpi Ngeri?

Assalamualaikum KC,

Kak Az hendak berkongsi dengan KC dan pembaca-pembaca yang lain pengalaman kakak semasa kakak berumur 9 tahun (1978). Pengalaman ini bukan pasal jumpa hantu. Tapi kalau untuk kanak-kanak mungkin menyeramkan. Ianya seperti dalam mimpi tetapi kakak tidak pasti. Kakak pula tidak memberitahu ibu bapa kakak hingga ke hari ini. Pernah dua kali kakak jatuh sakit, mendapat demam panas akibat perkara-perkara ini berlaku pada kakak.

Satu petang, kakak yang sedang demam panas berehat di atas sofa di ruang tamu. Masa itu hanya kakak dan abang kakak saja yang berada di rumah tetapi abang sedang tidur di dalam bilik. Ibu bapa keluar bekerja. Lama-kelamaan kakak terlelap. Kakak disedarkan oleh seorang lelaki, besar tinggi tetapi kakak tidak nampak mukanya. Dia berdiri dekat sangat dengan kakak yang sedang terbaring.


Tanpa berkata apa-apa, dia menunjuk dengan jarinya ke arah jam di dinding. Kakak mula duduk dan menoleh ke arah jam di dinding itu juga. Lelaki itu kemudian berkata, “Tik… Tok… Tik… Tok… Tik… Tok… Sikit lagi… Sikit lagi...” sambil tersenyum. Dia seolah-olah memberitahu kakak akan mati. Kakak bangun dan terus ke bilik mandi. Di situ juga, lelaki itu mengganggu kakak dengan kata-kata yang sama diungkapkan pada awalnya. Kakak tidak mempedulikannya.


Selepas mandi dan ganti pakaian, kakak menuju ke sofa semula. Lelaki itu mengikut kakak dan terus mengganggu. Ini berterusan buat beberapa minit lagi sehingga kakak sudah tidak tahan, kakak bangun sambil memekik, “Arghhhhhhh...” dan dengan segala kekuatan yang ada, kakak menolaknya. Terus kakak masuk ke bilik tidur untuk berehat. Gangguan itu berhenti. Nak kata itu mimpi kakak seolah-olah dapat rasa tubuhnya berat bila kakak menolak.

Satu lagi insiden berlaku pada tahun yang sama sewaktu kakak kurang sihat juga. Rumah kakak di kawasan Haig Road, rumah tiga bilik yang ada koridor panjang di mana tangga / lif berada di kedua hujung koridor. Masa dulu, tingkap rumah diperbuat dari aluminium di bahagian bawah dan kaca di bahagian atas tingkap. Selalunya tingkap rumah akan ditutup sebab ibubapa keluar bekerja. Yang tinggal di rumah waktu siang hanya kakak dan abang yang berumur sebelas tahun ketika itu.


Pada satu petang, semasa kakak kurang sihat juga seperti insiden pertama, tingkap rumah bahagian bawah kakak dibuka supaya udara segar masuk. Mungkin kakak sedang demam, oleh itu terasa panas dalam rumah. Sedang kakak terbaring di sofa, tiba-tiba kakak terpandang di luar tingkap ada seorang nenek tua berjalan dengan begitu perlahan. Nenek itu juga sedang memandang ke arah kakak. Kakak tidak rasa takut masa itu.


Entah macamana, kakak tidak tahu apa yang terjadi tetapi terasa kakak seolah-olah sudah berada di tingkap. Yang menakutkan kakak bila kakak terlihat keadaan nenek itu. Badan nenek itu bongkok seperti orang yang sedang merukuk ketika solat dan bahagian punggungnya seolah-olah mencecah lantai! Nenek itu tersenyum saja bila melihat kakak.

Sehingga kini apabila usia kakak dah masuk lima puluh tiga tahun, kakak masih terfikir adakah itu semua mimpi ngeri atau gangguan sewaktu kakak sakit. Masa kecil macam itu manalah kita faham tentang gangguan makhluk halus kan? OK terima kasih KC. Maaf jika cerita kakak tidak begitu seram.

Yang benar,


Kak Az

Sembawang, Singapura

383 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page