Search

Diganggu Barang Peliharaan Si Mati!

Salam sejahtera KC,


Saya Mike dari Sarawak, Malaysia. Kisah ini terjadi pada sekitar tahun 1999. Kejadian ini berlaku ketika saya masih berada di bangku sekolah rendah dan ketika itu saya baru berumur 11 tahun (Darjah 5). Sekolah rendah saya ini terletak di sebuah perkampungan di pedalaman Sarawak. Kebiasaannya sekolah di pedalaman ini adalah sekolah yang mempunyai asrama jadi kami akan tinggal di asrama sepanjang minggu dan balik ke rumah pada hujung minggu (masuk ke asrama pada hari Ahad dan pulang pada tengah hari Jumaat). Bangunan asrama kami ini di kiri dan kanannya ada bilik yang bersambung dengan bangunan asrama yang disediakan untuk guru / warden. Bangunan asrama kami ini dibina daripada kayu.


Kisah seram ini bermula selepas kematian salah seorang tukang masak di sekolah kami. Seminggu sebelum kematian tukang masak ini, dia telah memohon cuti untuk balik ke kampung untuk berkahwin. Beliau merupakan orang dari luar daerah yang bertugas di kampung saya ketika itu. Ketika beliau sampai ke kampung rupanya tunangannya sudahpun berkahwin dengan orang lain. Kerana kecewa beliau telah membunuh diri. Khabar kematian beliau tersebut amat mengejutkan kami semua di sekolah.


Kisah seram yang pertama timbul selepas kematian beliau ialah daripada pekerja di dewan makan sekolah sendiri. Mereka seringkali mendengar / melihat seolah-olah suara / kelibat si mati ini berada di dalam kawasan dapur. Pada satu hari ada beberapa kawan saya sendiri mengalami peristiwa seram juga. Mereka ke sekolah pada hujung minggu tersebut untuk bermain bola di padang sekolah dan ketika itu suasana agak sunyi kerana semua pelajar pulang ke rumah. Ketika mereka melalui kawasan belakang dewan makan iaitu bahagian dapur, mereka mendengar bunyi yang seakan-akan seperti orang mecurahkan air (seperti orang cuci pinggan) jadi mereka pun pergilah melihat.


Kerana dewan makan tersebut juga dibina daripada kayu jadi terdapat juga beberapa lubang yang terdapat di dinding dapur dewan tersebut. Jadi apabila mereka melihat melalui lubang tersebut dan mereka dapat melihat hampir keseluruhan bahagian di dalam dapur dewan makan tersebut (sebenarnya tiada dinding jadi boleh nampak semua kawasan dapur), apabila dilihat dan diamati mereka langsung tidak melihat sesiapa pun di dalam dapur dan menurut kawan saya, mereka telihat seolah-olah ada air yang ditadah di dalam baldi yang besar berkocak seperti ada sesuatu yang mengocak air tersebut, jadi kerana ketakutan mereka pun berlari pulang.


Kisah seram kedua ini pulah dialami oleh saya sendiri. Semasa beliau hidup, beliau tinggal seorang diri di salah sebuah bilik di rumah sebelah asrama (rumah guru/warden). Selepas seminggu kematian beliau, pada satu malam saya terjaga daripada tidur sebab terdengar suatu bunyi seperti sesuatu sedang mencakar dinding dan bunyi cakaran tersebut datang dari dalam rumah si mati ini. Pada mulanya saya beranggapan bahawa itu mungkin bunyi kucing yang mencakar dinding, tetapi setahu saya si mati ini tiada pun memelihara kucing atau binatang peliharaan lain. Jadi timbul sedikit perasaan pelik dan seram ketika itu, dan yang amat pelik dan seram lagi, bunyi cakaran ini berlaku dengan agak lama.


Kalau ikut logik, jika itu bunyian dihasilkan oleh binatang, bunyi cakaran itu akan berlaku mungkin dalam beberapa minit sahaja dan mungkin akan disertai oleh bunyi binatang tersebut contohnya seperti kucing. Ini tidak, sudahlah bunyi cakaran itu lama dan konsisten, bunyi cakaran itu sama saja seperti ada sesuatu atau orang yang melakukan bunyi itu dengan sengaja. Sepanjang malam itu saya rasakan seperti saya seorang saja yang mendengar bunyi tersebut (saya tidur paling hampir dengan dinding tersebut). Saya rasa malam itu berlalu sangat perlahan. Saya berharap hari cepatlah siang. Sebab mungkin terlalu takut sangat, saya pun akhirnya terlelap.


Pada malam berikutnya sepertinya benda itu mahu supaya ia didengari. Sekali lagi pada malam kedua, saya terbangun lagi oleh bunyi benda yang sama dan ini membuat saya benar-benar takut kerana mana mungkin kalau binatang yang buat bunyi cakaran tersebut datang pada tempat yang sama untuk mencakar pada masa dan tempat sama? Saya pada kali ini benar-benar dalam ketakutan. Seperti malam sebelumnya juga, waktu berlalu amat perlahan dan saya mendengar bunyian itu sampai terlelap.


Pada keesokannya iaitu hari yang ketiga, mula sudah beberapa pelajar lain juga bercerita tentang bunyi itu. Baru saya tahu bahawa bunyi cakaran itu bukanlah saya seorang sahaja yang terdengar, bukan mimpi saya ataupun saya berhalusinasi, bunyi itu benar-benar wujud. Untuk malam seterusnya saya berpindah tempat tidur dan saya tidak berani tidur dekat dengan dinding lagi pada malam berikutnya.


Dipendekkan cerita beberapa minggu kemudian, selepas kejadian bunyi cakaran tersebut, ada beberapa orang paderi daripada gereja di kampung saya (kampung saya ini majoriti hampir semua orang kampung beragama Kristian) ke rumah si mati ini dan pada mulanya kami tidak tahulah kenapa tetapi selalunya jika sudah melibatkan orang yang dari gereja ini (sama juga seperti agama Islam jika melibat benda-benda mistik ini akan dipanggil Ustaz atau pakar) mesti berkaitan dengan amalan orang tersebut.


Kami dapat melihat mereka membawa keluar sebuah tin biskut yang berbentuk segi empat dan dalam tin itu terdapat beberapa barangan yang pelik-pelik, seperti kain yang terikat dan kami pun tidak tahu sangatlah apa semua benda itu. Ketua paderi itu dan beberapa orang yang ikut dengannya mengelilingi barangan tersebut. Mereka berdoa dan kemudian barang tersebut dibakar. Selepas itu tiada lagilah sudah gangguan yang kami dengar dan bunyi cakaran itu pun tidak kedengaran lagi.


Setelah mengenangkan peristiwa tersebut saya terfikir mungkin yang bunyi cakaran itu sebenarnya datang daripada “barang” yang terdapat di dalam tin tersebut (Jin Peliharaan). Kerana penjaga yang mati secara mengejut, maka peliharaannya tidak diberi "makan", jadi keluarlah mengganggu orang lain.


Sekian perkongsian saya. Terima Kasih...

130 views0 comments

Recent Posts

See All

Apa Yang Saya Lalui

Assalammualaikum KC, Nama Saya Ella. Saya telah berumahtangga dengan bekas suami sekitar lima tahun yang lalu. Semuanya baik belaka sehingga dua minggu selepas kami bernikah. Rumahtangga saya hanya ba

Hantu Ngesot

Selamat tengah malam KC dan para pembaca blog Malam Seram, Nama kakak, Saadiah, tapi bolehlah panggil kakak dengan panggilan Kak Diah. Kakak berasal dari daerah West Coast, Singapura. Kisah kakak ini

Lampu Tandas Mati Ketika Mandi

Assalamualaikum KC, Saya Wind dari Malaysia. Hari ini saya ingin berkongsi kisah seram dengan mengenai asrama lama yang pernah saya diami di Johor yang namanya akan saya rahsiakan. Kejadian ini berlak