top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Diganggu Hantu Papan Ouija...

Assalammu'alaikum dan selamat malam,


Saya Nina Hishiam, peminat setia kisah seram dari Pengkalan Timah, Ipoh, Perak. Saya seorang pelajar, ingin berkongsi cerita tentang pengalaman saya yang dulunya pernah menyewa di sebuah kondominium di Puncak Desa Kepong Sentral yang betul-betul apabila buka saja pintu balkoninya, pemandangan kami hanyalah sebuah jirat Cina yang sangat besar. Saya dahulu adalah penuntut di sebuah kolej di Kuala Lumpur iaitu KLMU dan ditempatkan di kondo tersebut. Rakan rumah saya terdiri daripada dua orang budak Sabah iaitu Lisa dan Lina. Hanya saya seorang saja budak Semenanjung yang berada di dalam rumah itu. Semasa mula kami menetap di sana, tiada apa-apa yang berlaku. Namun setahun kemudian, terjadi satu pengalaman yang menyeramkan yang tidak dapat saya lupakan.


Ceritanya bermula apabila pada satu malam, kami bertiga termasuklah saya, berkumpul di ruang balkoni. Keesokannya kami semua tiada kelas jadi kami pun tidur agak lewat sambil berborak-borak di balkoni yang menghadap jirat Cina tersebut. Tiba-tiba Lisa bersuara, "Bosannya malam ni... Apa kata kita main satu permainan?" Saya tanya padanya, "Kau nak main apa Lisa?" Dia pun menjawab, "Kita main panggil hantu. Kau nak tak?" Saya pun membidas, "Isyh kau ni Lisa, dah malam ni, pukul 1 pagi lebih ni. Tak payahlah. Aku takut lah... Lain kali aje lah kau main dengan orang lain, tapi bukan di rumah ni ya!"

Lina pula mencelah, "Bagus juga rancangan kau ni Lisa... Alah kau ni Nina, itu pun nak takut. Tak ada apa-apa lah. Kalau takut, tak payah main. Biar kami saja yang main..." Saya dah tiga atau empat kali juga berpesan pada mereka jangan main dan jangan cari penyakit, tetapi mereka tetap berdegil. Mereka pun matikan lampu dan menyalakan satu lilin yang kami simpan di rumah sekiranya ada bekalan elektrik yang terputus secara tiba-tiba. Papan yang mereka lukis sendiri yang mempunyai huruf A-Z, nombor 1-9 dan perkataan "YES" dan "NO" mereka letakkan di hadapan mereka.


Sekali lagi mereka bertanya pada saya, "Betul Nina kau tak nak main?" Saya cakap pada mereka, "Takpelah korang main aje, aku duduk tepi sini tengok korang main..." Mereka pun ketawakan saya sambil berkata, "Penakutnya kau Nina..." Lisa mula mengambil duit syiling 10 sen dan diletakkan di tengah-tengah papan tersebut, lalu dia mengambil jarum dan  mencucuk jarinya sehingga luka dan darahnya itu disapu pada duit syiling tersebut. Saya rasa mereka sudah gila kerana saya ingatkan mereka hanya main biasa-biasa saja. Rupanya sampai menggunakan darah.


Mereka mula membaca mentera. Saya tak ingat apa yang dibacakan dan kalau boleh, tak mahu berkongsi dengan semua. Mereka mula bertanya, "Wahai makhluk halus, makhluk jin sekalian, ada sesiapa tak yang nak bersama kami sekarang?" Tiada jawapan. Kali kedua mereka bertanya soalan yang sama. Masih tiada jawapan. Kali ketiga apabila ditanya. saya nampak dengan jelas duit syiling itu bergerak dengan pantas dan diejakan dengan nama James Ching! Ya Allah takut saya dibuatnya!


Mereka mula bertanya bila makhluk itu dilahirkan, dan ia pun memberitahu tarik lahirnya. Mereka bertanya soalan-soalan lain dan akhir sekali mereka bertanya, "KENAPA KAU MATI?" dan jawapan yang diberikan amat menakutkan saya. Ia memberitahu, "AKU DIBUNUH!" Saya rasa tak sedap hati lantas memberitahu Lisa dan Lina, "Sudahlah Lisa, Lina. Berhentilah main. Aku takutlah walaupun bukan aku yang main..." Mereka pun cakap, "Ok, ok kita hantar dia balik..."


Nak dijadikan cerita, bila mereka hendak menyuruh makhluk itu balik, jawapan yang diterima adalah "NO!" Saya pun lalu marah pada mereka, "Kan aku dak cakap! Jangan main permainan ni! Tengok! Dah dia tak nak balik!" Lalu mereka bertanya pada makhluk itu, "Kalau tak nak balik, apa yang kau mahu?" Nak tahu apa dia jawab? "I KILL YOU! I KILL YOU!" Mereka berdua terus melepaskan tangan dan membuang papan tersebut tanpa menghantar makhluk itu balik. Sejak detik itu kami diganggu.


Apabila kami bertiga duduk di dalam bilik, kami akan dengar seperti besi jatuh di luar bilik. Bayangkan jika besi yang kosong jatuh pada mozek. Bunyinya pasti kuat! Ting Ting! Apabila kami buka pintu bilik, tiada sesiapa di luar. Bila masuk waktu Maghrib, benda itu mula mengacau setiap hari. Kawan saya ditarik rambut semasa mandi, ditampar kepalanya. Sampai satu masa, ia mengganggu kami di luar bilik dengan bunyi-bunyian dan salah seorang kawan saya marah dan mencabarnya, "Hoi kalau kamu betul hantu, kamu kacau kami dalam bilik. Marilah buka  dari luar!"


Tiba-tiba terus tombol pintu yang kami kunci dari dalam bergerak dengan sangat laju. Kami lihat tombol pintu dipulas sangat laju. Terdengar seperti ada orang ketawa di luar bilik dan menghentak-hentak pintu kami. Terus terdiam dan menggigil kawan saya. Kami saling berpelukan pada malam itu. Malam itu kami pasang surah pada setiap telefon bimbit yang kami ada. Pada mulanya bacaan ayat-ayat suci kedengaran seperti biasa. Tiba surah keempat, kedengaran seperti bacaannya berulang-ulang seakan-akan ia rosak. Kedengaran bacaan suaranya sekejap kuat, sekejap perlahan dan dengan secara misteri, telefon bimbit kami semua rosak serentak!


Saya akhirnya tidak tahan lagi dan menelefon ayah yang merupakan pakar dalam perubatan Islam. Saya tidak telefon ayah dari awal kerana saya tahu nanti mesti saya akan dimarahi kerana bermain permainan itu. Ternyata betul tanggapan saya, saya dimarahi apabila memberitahu keadaan sebenar, "Berapa banyak kali ayah pesan? Jangan cari hal! Korang main benda tu siapa suruh? Memang cari pasal betul! Bahaya korang tau tak?" Ayah membuat perubatan batin dari jauh. Alhamdulillah akhirnya makhluk itu dapat dihalau.


Terima kasih dari saya Nina Hishiam...

254 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page