top of page
Search

Diganggu Ketika Teman Serumah Bercuti!

Salam Abang KC,


Saya harap Abang KC dalam keadaan sihat dan sejahtera hendaknya. Nama saya Muhammad Izzat (bukan nama sebenar). Saya adalah peminat setia Malam Seram. Saya seorang warga Malaysia yang menetap di Shah Alam, Selangor. Saya juga salah seorang bekas penuntut di salah sebuah kolej swasta di Kuantan, Pahang. Pengalaman saya berlaku apabila saya berada di semester yang ketiga iaitu pada pertengahan tahun 2017.

Kebiasaannya, para pelajar akan diberikan tempat tinggal yang berasingan mengikut semester ataupun kursus masing-masing. Nak dipendekkan cerita, para pelajar semester ketiga diberikan kebebasan menetap di luar kawasan asrama. Ada yang memilih untuk menetap di rumah sewa, ada yang memilih untuk menetap bersama keluarga dan ada juga pelajar yang telah ditetapkan tempat tinggal mereka iaitu pelajar pengambilan kursus grafik, serta pelajar pengambilan kursus pengurusan pelancongan. Jadi saya adalah salah seorang pelajar grafik yang harus menetap di salah sebuah kawasan perumahan teres dua tingkat yang terletak di bandar Kuantan, Pahang.


Rumah tersebut tidaklah begitu seram kerana kawasannya yang strategik, akan tetapi ianya menjadi terlalu sunyi pada waktu malam. Pada awal kami menginap di sini, tiada lagi kejadian-kejadian aneh yang berlaku pada kami sehinggakan pada satu hari, kalau tidak silap saya, masa itu kami diberikan cuti selama seminggu untuk ulangkaji pelajaran sebelum peperiksaan. Ada rakan-rakan yang sudah pulang ke rumah awal kerana rindu akan keluarga yang menetap jauh di sana dan ada juga rakan-rakan yang merancang untuk pulang bercuti lambat sedikit tetapi tidak begitu ramai, hanya lima atau enam orang sahaja.


Pada malam berkenaan, tiga orang rakan saya telah keluar pergi menonton wayang bersama buah hati masing-masing dan ada juga yang bermalaman di luar. Mereka memang tidak balik pada malam itu. Hanya tinggal saya dan dua orang lagi rakan saya yang masing-masing bangsa Melayu. Rumah yang kami menetap ini mempunyai lima bilik tidur dan tiga bilik air. Saya duduk di bilik bawah bersama seorang rakan saya bernama Wan Khairul (bukan nama sebenar) dan seorang lagi rakan saya bernama Haikal (juga bukan nama sebenar) yang menginap di bilik utama yang berada di tingkat atas.


Kami juga mempunyai seorang rakan berbangsa India yang menetap bersama-sama iaitu Ganesh (bukan nama sebenar). Ganesh seorang yang rajin dan pendiam. Biliknya berada di tingkat bawah iaitu berhadapan dengan bilik saya. Ganesh suka bersendirian sebab itulah bilik dia pun memang dikhaskan seorang sahaja penghuninya. Orang India atau lebih tepat lagi yang beragama Hindu, bila mereka sembahyang, mereka akan menggunakan kemenyan, betul kan? Jadi Ganesh kalau sembahyang, dia memang akan buka tingkap untuk hilangkan bau kemenyan kerana takut akan mengganggu penghuni-penghuni yang berada di dalam rumah tersebut.


Pada masa itu, memang hanya kami bertiga yang berada di dalam rumah itu kerana masing-masing sudahpun pulang bercuti dan ada juga yang bermalaman di luar. Nak dipendekkan cerita pada malam itu, kami bertiga sedang melepak di ruang tamu rumah sambil berborak-borak kosong ditemani cahaya yang menerangi ruang tersebut. Sedang asyik berborak, bergelak tawa, tiba-tiba kedengaran seperti seseorang sedang menendang pintu tandas daripada dalam yang terletak di bahagian dapur rumah tersebut. Selepas itu, bunyi itu pun hilang dan masing-masing terdiam sejenak.


Kami bertiga mengambil keputusan untuk berdiam sahaja tanpa sebarang suara. Selang beberapa minit kemudian, bunyi itu kembali mengganggu kami tetapi kali itu bunyinya agak kuat sedikit seperti yang sebelum itu. Banyak kali juga benda itu menendang pintu tandas tersebut. Masing-masing dah mula cuak. Dengan pantas rakan saya mengudarakan ayat-ayat suci Al-Qur'an di laman YouTube. Selepas itu bunyi itu pun hilang buat seketika. Jam di tangan menunjukkan pukul 2:30 minit pagi. Masing-masing dah mula mengantuk dan kami mengambil keputusan untuk tidur di ruang tamu akibat terlalu takut akan kejadian yang berlaku sebentar tadi.


Belum sempat kami melelapkan mata, bunyi itu kembali mengganggu kami bertiga tetapi bunyi tendangan itu semakin kuat seolah-olah ia marah dengan kami. Selepas ia bermain dengan pintu, ia main kemenyan pula! Semasa itu kami dah tak boleh nak fikir apa dah. Masing-masing dah takut sangat! Pukul dua lebih pagi bau kemenyan meresap ke dalam rumah, meremang bulu roma! Siapalah yang hendak guna atau bakar kemenyan pada waktu selewat itu sebab si Ganesh dah dua hari tinggalkan biliknya.


Sebelum dia meninggalkan bilik, dia akan simpan barang-barang sembahyangnya dalam loker sebab tidak mahu sesiapa pun mengusik tetapi ada juga yang tukang 'usik' kemenyan itu pada malam tersebut. Bau kemenyan itu membuatkan kami bertiga terpaksa keluar dan lepak di tempat letak kereta rumah kami sehinggalah jam menunjukkan pukul 7 pagi. Setelah itu, kami bertiga masuk rumah dan kemas barang-barang kami untuk pulang bercuti pada hari itu juga.


Sekian cerita saya. Assalamualaikum dan selamat bertugas!

217 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page