Asalammualaikom KC,
Nama saya Iwan. Saya ingin menceritakan kisah seram saya yang berlaku pada saya dan empat orang adik-beradik saya yang lain. Kami duduk bersama atuk dan nenek kami dan tidak bersama ibu bapa kami atas sebab-sebab yang tertentu yang tidak perlu saya beritahu kepada umum. Saya mempunyai seorang abang yang bernama Anif dan dua orang kakak bernama Nur dan Farah serta seorang adik perempuan yang bernama Shafika.
Ceritanya berlaku ketika umur saya 14 tahun. Ketika itu nenek saya meminta tolong dari saya untuk membeli barang di sebuah kedai runcit di sebuah kedai di hujung kampung. Pada waktu saya sedang mencari barang itu saya seperti terlihat ada seorang lelaki seperti memandang saya ketika saya sedang memilih barang. Saya tidak memperdulikan orang tersebut kerana saya hanya fikir yang dia hanya mencari barang sahaja seperti saya.
Pada keesokan harinya, merupakan hari Isnin, kami adik-beradik seperti biasa ke sekolah. Kami ini orang kampung saja jadi kami hanya berjalan kaki dari rumah hingga ke sekolah yang terletak dalam 700 meter dari rumah. Umur kami lima beradik semuanya hanya selang setahun seorang, jadi kami semua masih bersekolah pada waktu itu. Ketika kami pulang dari sekolah atuk tiada di rumah. Kami hanya fikir yang mungkin atuk keluar berjumpa kawan atau beli barangan memasak. Saya pulang dari sekolah bersama Kak Nur.
Bayangkan pada waktu petang yang matahari masih tercacak atas kepala dalam jam 3 seperti itu, saya mendengar seperti ada orang sedang memasak di dapur. Saya sangkakan itu adalah nenek yang sedang menyediakan makanan untuk kami tetapi Kak Nur saya bertanya kepada saya samada abang yang sedang masak di dapur kerana bunyi agak bising. Saya pula hanya berkata mungkin itu adalah nenek kerana abang keluar dengan kawannya.
Muka Kak Nur dah mula pucat pada ketika itu. Kak Nur memberitahu saya nenek keluar dengan atuk. Saya pula berkata tidak mungkin itu Kak Farah kerana dia sedang membuat kerja rumah di dalam biliknya sedangkan adik saya Shafika sedang tidur di depan mata kami. Tiba-tiba Kak Farah menjerit dari dalam bilik menyuruh sesiapa yang berada di dapur agar diam sikit kerana dia sedang membuat kerja sekolahnya.
Kak Nur lantas menelefon abang saya supaya cepat pulang ke rumah. Selepas abang saya mendengar cerita dari Kak Nurm dia bergegas pulang. Setelah abang saya sampai di rumah, bunyi bising di dapur itu masih berbunyi. Abang mengajak saya untuk melihat apa yang ada di dapur itu. Sampai di situ, kami melihat satu dapur bersepah dan berselerak seperti baru lepas satu pergaduhan besar. Selang hanya beberapa minit kemudian atuk dan nenek pulang dari pekan. Kami pun menceritakan apa yang terjadi di dapur pada awalnya. Atuk hanya mengandaikan mungkin itu hanya ilusi kami sahaja.
Beberapa hari setelah kejadian itu, kami sekeluarga ditimpa musibah. Kami kehilangan orang tua yang membesarkan kami iaitu nenek. Nenek memang ada sakit tetapi tidaklah begitu serius, namun nenek meninggal dunia secara mengejut. Di tapak perkuburan, saya ternampak seorang lelaki memandang ke arah kami. Saya memberitahu abang saya bahawa saya macam pernah nampak lelaki itu. Abang hanya menjawab itu mungkin orang kampung kita yang datang memberi penghormatan terakhir kepada nenek. Kerana masih dalam kesedihan dan masih juga belum menerima kenyataan sepenuhnya bahawasanya nenek sudah tiada, kami semua mengambil cuti dari menghadiri sekolah melebihi seminggu lamanya.
Entah kenapa, tetapi beberapa hari kemudian, Kak Farah mengadu kepada saya yang dia terlihat seorang lelaki sedang berkelakuan pelik sangat sewaktu dalam perjalanan pulang dari sekolah. Saya bertanya apanya yang pelik? Kak Farah mengatakan lelaki itu asyik memerhatikannya sahaja dari tadi tapi tidak memandang orang lain. Tiba-tiba saya teringat sosok lelaki yang saya pernah nampak di kedai dan tanah tempohari dan menceritakan ciri-cirinya seperti rambutnya yang panjang, mukanya seperti sedang marah dan berkedut, selain berpakaian baju hitam dan seluar jeans dan berkeadaan sangat kurus. Bila Kak Farah mengatakan "Ya!", saya terkejut sangat!
Pada minggu berikutnya, kami pergi ke sekolah seperti biasa. Dalam perjalanan ke sekolah, kami semua nampak lelaki tersebut di depan rumah jiran kami. Lelaki itu memandang kami sahaja dan tidak bergerak. Kak Farah memberitahu abang lelaki ini lah yang memandangnya tempohari. Abang berfikir baik dan berkata mungkin Kak Farah terlalu memikirkan sangat kerana dia memang ramai peminat di sekolah. Kami tidak menghiraukan orang tersebut dan terus berjalan ke sekolah.
Pada sebelah malamnya ketika kami semua tidur bersama di dalam satu bilik, kami dikejutkan dengan jeritan Kak Farah. Apabila abang bergegas untuk hidupkan lampu, kami melihat Kak Farah sedang berjalan seperti seekor binatang dan dia seraya berkata dengan suara garau, "Saya mahu perempuan ini... Dia cantik dan sesuai untuk menjadi isteri ku..." sambil menunjuk ke arah Kak Nur. Saya terus ke bilik atuk dan mengejutnya dari tidur.
Atuk masuk ke bilik dan bermulalah sesi berkomunikasi di antaranya dan makhluk yang telah merasuk Kak Farah. Apabila ditanya kenapa dia merasuk Kak Farah, makhluk itu berkata yang dia memang suka padanya dan mahu membawanya pulang bersama. Makhluk itu juga sempat memberi amaran bahawa ia akan membunuh kami sekiranya dia diapa-apakan oleh atuk. Atuk memberitahu Kak Nur untuk menghubungi imam masjid di kampung kami.
Apabila imam datang, dia sambung sesi berbicara dengan makhluk itu dan ia mengatakan yang ia juga suka kepada Kak Nur. Setelah imam membaca beberapa ayat suci yang membuat makhluk itu panas, imam bertanya lagi siapakah tuan makhluk itu? Kerana tidak tahan disiksa dengan ayat-ayat suci, ia memberitahu tuannya merupakan seorang lelaki yang duduk di dalam hutan dan lelaki itu menyukai kedua kakak saya. Ia bersetuju untuk menunjukkan rumah tuannya.
Kami pun menuju ke rumah tuannya diiringi beberapa orang kampung yang lain. Selepas lebih kurang setengah jam kami berjalan ke dalam hutan, kami ternampak ada sebuah rumah yang terang. Kami terjah masuk dan ternampak banyak barang-barang yang digunakan untuk memanggil dan memuja roh-roh gentayangan. Kami nampak lelaki yang dikatakan makhluk itu. Memang lelaki yang sama kami selalu nampak memandang ke arah kami. Setelah itu kami menghubungj polis dan lelaki itu ditangkap. Kakak saya juga berjaya disembuhkan.
Itulah kejadian yang berlaku dalam hidup yang tidak akan saya lupakan. Terima kasih kerana sudi ketengahkan kisah saya....
Comments