Assalamualaikum KC dan pembaca blog Malam Seram,
Saya adalah peminat setia rancangan Malam Seram. Setiap malam saya tidak akan ketinggalan menonton rancangan Malam Seram di YouTube. Nama saya Mukhriez. Saya ingin menceritakan pengalaman saya ketika saya bekerja sebagai pekerja penghantar makanan bersama syarikat GrabFood di kawasan Johor Bahru. Perkara berlaku pada dua tahun lalu.
Seperti biasa saya bekerja menunggu pesanan masuk dan menghantar kepada pembeli. Pada satu hari, saya dapat pesanan dari satu pelanggan di daerah Nusajaya. Jam menunjukkan pukul 2:00 pagi. Dalam hati berkata," Pagi-pagi pun ada juga orang pesan makanan.'' Memang beberapa hari sebelum ini saya tidak mendapat banyak pesanan. Inilah pertama kali saya mendapat pesanan paling besar iaitu sebanyak RM45 dalam satu pesanan sahaja.
Dalam perjalanan hendak ke rumah pelanggan ini, saya macam perasan di tepi jalan ada benda putih dan berbungkus. Dalam hati berkata,"Waktu macam ni pulak kau nak muncul!" Saya paksakan diri agar tidak melihat benda itu dan terus saya lajukan sedikit pecutan motor saya.
Tiba-tiba saya mendapat satu panggilan dari nombor yang tidak dikenali, lantas saya menjawabnya. Terkejut saya dibuatnya apabila saya hendak menjawab panggilan tersebut saya dapati ada satu kelibat seperti sedang menuju ke arah saya. Saya memang berhenti di tepi jalan kerana hendak menjawab panggilan tersebut. Tanpa membuang masa, saya pun bergegas ke tempat pelanggan yang membuat pesanan tadi. Selepas menghantar, saya pun balik ke rumah di Bandar Baru Uda.
Apabila saya memasuki rumah, saya lihat ada seseorang duduk di ruang tamu, saya ingatkan itu mak saya. Saya pun bertanya dengan selamba, "Mak kenapa tak tidur lagi, kan dah nak pagi ni..." Mak pun menjawab, "Mak tak boleh tidurlah Long..." Saya berkata kepada Mak lagi, "Takpelah mak, saya masuk bilik dululah.." Mak hanya menjawab, "Emmm..."
Semasa menuju ke bilik, adik saya keluar dari biliknya dan berkata, "Abang baru balik? Mak pesan esok pagi tolong jemput di rumah makcik..." Terpinga-pinga saya bertanya, "Apa mak buat kat rumah makcik?" Adik hanya membuat isyarat tak tahu dengan bahunya dan berkata dia hendak masuk tidur. Saya pandang semula ke tempat duduk di mana saya sangkakan Mak yang duduk awal tadi. Ternyata tiada orang di situ!
Saya berlari masuk ke dalam bilik. Dalam keadaan ketakutan saya duduk di atas katil. Tengok jam sudah masuk pukul 4:15 pagi. Saya pun dah rasa mengantuk lalu saya baring untuk tidur. Semasa hendak tidur, kedengaran di luar tingkap bunyi ketukan. Mula-mula ketukan sekali, kemudian diketuk lagi dan kali kedua ini saya terdengar suara orang berkata, "Assalamu'alaikum... Assalamu'alaikum... Hehehehehehe... Bukalah... Aku nak teman kau ni..." Selepas itu terdengar dengan jelas suara mengilai. Semenjak itulah saya cuma bekerja menghantar makanan pada sebelah siang saja. Itu sahaja dan selamat malam...
Comments