top of page
Search

Diganggu Semasa Mengambil Dadah

Nota Penyunting:


Sebelum kisah seterusnya disampaikan dan dikongsi kepada semua, diharapkan ia menjadi satu iktibar dan bukan untuk diikut-ikut atau dicontohi perbuatan si pencerita kisah ini. Kemungkinan pada ketika itu beliau kurang matang dan kurang berpendirian mahupun berpendidikan, baik dari aspek agama mahupun jati diri. Semoga kita dan orang-orang yang kita sayangi tidak terjerumus dalam kancah dadah dan menzalimi bukan saja diri sendiri, malah memudaratkan orang-orang di sekeliling kita. Janganlah kita juga cepat menghukum perbuatannya kerana besar kemungkinan dia telah insaf dengan perbuatan lamanya...


Assalamualaikum KC,


Nama saya Syafik,


Saya penggemar rancangan Malam Seram dari Kelantan. Saya telah mengikuti rancangan KC dari tahun 2010 lagi, dari saya bersekolah rendah lagi. Semasa saya kecil saya menetap di Johor bersama nenek saya. Kisah saya ini bermula apabila saya mengambil dadah semasa dalam peringkat sekolah menengah.


Untuk pengetahuan semua, setiap kaki dadah dan penagih yang mengambil barang ini tidak makan dan tidak tidur untuk beberapa hari, jadi ini melemahkan tubuh badan kita. Begitu juga saya selepas saya mengambil dadah saya tidak makan dan tidur jadi tubuh dan otak saya tidak mendapat rehat secukupnya. Semasa tubuh saya lemah inilah saya selalu mendapat gangguan, kalau kena tindih memang dah cukup terbiasa.


Ada satu gangguan yang paling menyeramkan bagi saya, masa itu sudah dah masuk dua hari saya tidak tidur. Saya terdengar ada orang berlari di atas siling rumah saya. Saya tak endahkan pada awalnya kerana sangkakan mungkin ada tikus yang berlari agaknya. Selepas itu saya layan kepala saya yang ketika itu terasa agak bengal dengan bermain permainan video. Layan punya layan permainan video, tiba-tiba saya terperasan ada yang menjenguk saya dari luar tingkap memandang ke arah saya.


Saya hentikan permainan untuk seketika dan lihat ke arah tingkap, namun tidak nampak apa-apa. Saya pun teruskan bermain dan tiba-tiba saya dikejutkan dengan penampakan makhluk yang berbentuk seperti seekor beruk di luar tingkap! Badannya besar, matanya merah dan berbulu sedang melekat di tingkap saya! Masalahnya kalau betul itu seekor beruk, bagaimana ia berpegang untuk bergayut? Di luar tingkap saya tidak ada sesuatu untuk berpegang atau bergantung!


Saya terus melompat keluar dari bilik dan saya ternampak di ruang bilik tamu ada sosok tubuh seorang perempuan sedang berdiri memandang ke arah saya dengan muka yang memang hodoh sangat. Saya terus pengsan kerana terperanjat dan rasa takut yang teramat sangat. Mungkin juga kerana terlalu penat akibat tidak tidur selama dua hari.


Apabila saya tersedar, saya berada di atas tilam katil di dalam bilik saya. Rupanya abang saya yang angkat saya. Anggota keluarga semua bertanya apa yang terjadi dan saya pun ceritakan apa yang saya alami. Cuma saya tidak memberitahu mereka yang saya mengambil dadah. Selepas itu saya berhenti dari mengambil apa-apa jenis dadah dan Alhamdulillah selepas saya berhenti dari mengambilnya, saya tidak diganggu lagi selepas itu.


Mungkin ada hikmah di sebalik pengalaman seram yang saya alami. Ada baiknya juga jin ini mengganggu saya, kalau tidak, mungkin saya masih lagi terjerumus dalam kancah najis dadah dan terus menerus menjadi seorang penagih. Saya akhiri kisah saya dengan satu pesanan kepada seluruh masyarakat:


"Sekiranya anda mengambil dadah, berhentilah dari sekarang dan fikirlah akan diri kita, fikirlah akan keluarga kita dan fikirlah orang-orang di sekeliling kita...."

229 views4 comments

Recent Posts

See All
bottom of page