top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Diganggu Setelah Mendalami Ilmu Agama...

Selamat malam para pembaca blog Malam Seram,


Nama saya Lim dan berasal dari KL Malaysia. Saya seorang peminat Malam Seram dan sebelum ini, rancangan radio kelolaan DJ KC, walaupun saya bukan orang Melayu. Di sini saya akan berkongsi pengalaman saya kepada semua. Walaupun saya bukan orang Melayu, tetapi di sini isi-isi pengalaman saya akan menggunakan bahasa Melayu sebaik mungkin. Kisah saya ini bukan satu hiburan tetapi pengalaman yang boleh dikatakan membimbangkan saya juga.

Pengalaman saya ini berlaku ketika saya membaca kitab agama Islam untuk mempelajari dan mengenali agama ini, maklumlah saya mempunyai ramai teman-teman yang beragama Islam. Negara yang saya tinggal ini pun merupakan negara Islam. Jadi terdetik untuk mengenali agama yang sering diperbualkan dan diperbincangkan antara teman-teman. Kata orang, lebih baik kita pelajari untuk pengetahuan dari hidup di bawah tempurung. Namun kerana sifat ingin tahu ini, telah menyebabkan saya mendapat kondisi kesihatan yang digelar "Tinnitus" ataupun sering mendengar bisikan suara yang ghaib.


Peristiwa ini berlaku pada tahun 2013. Pada tahun itu, saya memang suka membaca Surah Yasin dan juga suka belajar tulisan Arab atau Jawi. Kemudian saya diganggu oleh benda yang saya tak pasti apa selepas saya membaca kitab orang Islam. Ciri-ciri saya diganggu oleh makhluk itu adalah sering mendengar bisikan suara di telinga, seperti suara bayi ataupun suara toyol. Saya sering ternampak susuk tubuh seperti wanita yang berwarna putih menjenguk saya. Makhluk yang berwarna putih itu kalau ia muncul dengan sengaja selalunya pada waktu siang. Bila tiba waktu malam, makhluk itu muncul dalam mimpi dan ia berwarna hitam pula dan berpakaian seperti berjubah, mukanya juga berwarna hijau. Seram sangat mukanya bila ia muncul dalam mimpi saya.

Kadang-kadang saya boleh terdengar bisikan suara di dalam telinga ataupun di sekeliling saya. Saya pernah bertanya dengan ibu samada dia ada mendengar bunyi itu atau tidak?

Ibu berkata dengan saya, "Mana ada bunyi?" Saya rasa mungkin benda itu datang

untuk mengganggu kehidupan saya. Disebabkan itu, saya tak boleh tidur nyenyak, tak boleh bekerja, bila bekerja tak boleh fokus, seperti ada benda yang mengganggu saya.


Pernah satu malam, apabila ibu bapa saya sedang tidur nyenyak, saya turun tangga untuk ke tandas kerana hendak membuang air kecil. Bila saya jalan lalu di ruang tamu, saya ternampak ada makhluk hitam seperti seorang wanita yang duduk di atas sofa di ruang tamu. Benda itu buat saya meremang sangat-sangat.


Saya tidak pernah beritahu ibu bapa saya kerana takut dimarahi oleh mereka. Makhluk hitam itu sering muncul di dalam mimpi saya. Saya sering bermimpi yang buruk ataupun sering bermimpi yang bukan-bukan. Akhirnya baru saya beritahu ayah saya sebab saya rasa kalau bermimpi tentang benda yang sama dengan banyak kali, ini adalah mimpi yang tidak baik. Sebab saya rasa ini bukan mimpi yang normal, mungkin ada maksud tertentu di sebalik mimpi yang berulang-ulang seperti ini.

Pada tahun 2014, saya pergi berjumpa Tokong untuk minta bantuan dan rawatan. Bagaimana cara menghalau makhluk itu ataupun macamana masalah saya diatasi, di sini saya tak mahu berkongsi sebab ia adalah rahsia. Saya di sini hanya mampu meminta maaf kepada semua kerana tak selesa untuk saya kongsikan. Yang saya boleh berkongsi, pihak Tokong beritahu saya ada makhluk jin yang masuk tubuh saya. Kalau ada makhluk jin masuk tubuh badan, orang itu akan diganggu. Ciri-ciri yang biasa terkena kepada sesiapa yang berada di dalam situasi saya adalah sering mendengar bisikan suara. Makhluk itu cuma buat gangguan agar kita tidak boleh lakukan perkara lazim seperti tidur, bekerja, dan hilang tumpuan.


Bila makhluk itu sudah dihalau keluar dari tubuh badan saya, pihak Tokong beri nasihat kepada saya agar jangan membaca kitab agama lain walaupun untuk secara suka-suka dan bukan untuk mendalami secara serius. Sebab mungkin itulah saya diganggu oleh makhluk jin agama lain katanya. Walaupun benda itu sudah dihalau keluar dari tubuh badan saya, tetapi masalah Tinnitus belum dirawat sembuh. Kadang-kadang pun boleh terdengar bisikan suara. Saya ada pergi ke sebuah klinik di kawasan Ampang untuk merawat tetapi sehingga kini masalah ini belum sembuh sepenuhnya.


Walaupun saya tidak membaca ataupun mengkaji bidang agama Islam dan tulisan Arab / Jawi lagi, tetapi saya masih ingat huruf-hurufnya. Kalau saya nampak tulisan tak kira di masjid ataupun pada papan tanda jalan, saya masih boleh faham apa yang ditulis, tapi saya hanya mendiamkan diri sahaja, tak beritahu orang lain. Saya pernah hendak melupakan huruf-huruf tulisan itu, tetapi tak boleh sebab susah nak lupakan apa yang pernah dihafal ataupun dipelajari dahulu.


Sekian terima kasih kerana ketengahkan pengalaman peribadi saya...

216 views0 comments

Recent Posts

See All

Комментарии

Оценка: 0 из 5 звезд.
Еще нет оценок

Добавить рейтинг
bottom of page