top of page
Search

Dikejut Dari Mimpi

Salam KC,


Saya Syaf, ingin berkongsi kisah yang ringkas. Kisah saya tidak seram tetapi ia boleh dikatakan misteri. Perkara ini berlaku pada adik saya pada tahun 2017 ketika dia sedang berada dalam musim peperiksaan GCE "O" Levels.


Arwah datuk saya baru saja meninggal dunia beberapa bulan sebelum adik saya menduduki peperiksaan tersebut. Sewaktu arwahnya masih sihat dan bertenaga, dan kami masih berada di sekolah rendah pada waktu itu, arwah sering datang ke rumah saya. Sanggup dia ulang-alik naik bas dari timur ke utara. Kadangkala dia akan tidur di rumah saya untuk menemani saya dan adik.


Waktu itu ibu saya sering bekerja hingga larut malam kerana hendak mencari rezeki lebih untuk keluarga. Ibu saya tidak mampu mengambil pembantu, tambahan pula ibu merupakan seorang ibu tunggal, jadi arwah datuk saya yang sudi menjaga kami buat sementara waktu. Beliaulah yang sering mengejutkan kami untuk bangun pagi, tunaikan solat Subuh atau sarapan dan sebagainya. Itu kalau dia ada, kalau tidak, biasanya ibu yang akan kejut.


Berbalik tentang pengalaman adik saya. Pada hari berkenaan, waktu peperiksaan adik saya bermula pada jam 7.45 pagi. Tetapi apabila saya bangun pagi pada jam 7.30 pagi, saya nampak adik saya baru saja keluar dari rumah dalam keadaan kelam-kabut. Mujurlah sekolah adik saya tidak jauh. Niat di hati, hendak marahkannya bila dia balik dari sekolah pada sebelah tengahari, sebab adik saya suka sangat belajar hingga jam 3 atau 4 pagi barulah dia tidur. Tapi bila dia sampai di rumah, dia kata ada sesuatu yang ingin diceritakan.


Zan: "Kak, tadi pagi kan, Zan mimpi arwah Atok tau..."


Saya: "Mimpi pasal apa?"


Adik: "Zan mimpi, Atok kejut dan bertanya, "Zan tak pergi sekolah hari ini?"


Terus dia terbangun pukul 7.20 pagi. Tak mandi pun. Berus gigi, cuci muka terus pergi ke sekolah....Wajah adik saya jadi sedih kerana katanya rindu pada arwah atok.


Adik: "Dia macam tahu-tahu je aku dah lambat nak pergi sana.. Kalau arwah Atok tak kejut dalam mimpi, Zan tak bangun agaknya..."


Bulu roma saya terus berdiri! Hendak marah adik pun dah tak jadi. Itu saja pengalaman saya.. Terima kasih kerana kongsikan kisah saya di Blog Malam Seram...


Syaf...

253 views0 comments

Recent Posts

See All

コメント

5つ星のうち0と評価されています。
まだ評価がありません

評価を追加
bottom of page