top of page
Search

Diperhati Lembaga Hitam

Assalamualaikum,


Saya Nur dari Selangor, Malaysia, ingin menceritakan kisah seram ketika berumur empat belas tahun. Kejadian ini berlaku enam tahun lepas pada akhir bulan November 2015. Pada ketika itu musim hujan (tengkujuh) dan kawasan perumahan saya dinaiki air, jadi terpaksa dipindahkan ke salah sebuah sekolah menengah kebangsaan.


Pada waktu malam sekitar pukul 9 lebih, saya duduk seorang diri di anjung dewan berhadapan dengan pejabat sekolah. Saya duduk melihat kanak-kanak bermain kejar-kejar dengan kucing. Saya tergerak hati untuk memandang pejabat sekolah kerana terasa diperhatikan oleh sesorang. Saat saya memandang pejabat tersebut, saya nampak sosok badan seperti lembaga hitam besar, bermata merah, sedang memerhatikan saya. Saya cepat-cepat beristighfar.


Saya baru saja hendak pergi ke khemah yang menempatkan saya dan keluarga saya tetapi ada kenalan saya dari kumpulan yang bertugas untuk menolong mangsa-mangsa banjir ingin berbual dengan saya. Berbual punya berbual akhirnya kami bersurai kerana kenalan saya itu hendak melakukan tugas. Jadi saya pun pulang ke khemah saya yang menghadap padang sekolah. Khemah saya berada di anjung dewan. Atas permintaan dan rungutan ramai, kami dipindahkan ke kelas untuk lebih selesa.


Sekitar jam 3 pagi, saya terbangun kerana terdengar suara seseorang sedang ketawa nyaring sangat seperti hilaian dan berlari-lari dari hujung bangunan ke bangunan yang lain. Saya bangun untuk keluar dari bilik kelas untuk melihat tetapi tidak dapat nampak apa-apa. Terdetik dalam hati mungkin sukarelawan yang bertugas. Namun bila saya berdiri di koridor luar kelas, yang saya ternampak samar-samar adalah lembaga hitam yang bermata merah itu lagi. Ia berdiri di bahagian tangga di penghujung koridor di mana saya berdiri. Dengan pantas, saya lari masuk ke dalam bilik kelas itu, selubung diri dan paksa diri untuk tidur semula.


Keesokan harinya saya berjumpa dengan sukarelawan yang bertugas dan memberitahu tentang kisah saya terdengar suara seperti hilaian itu. Mereka seperti terkejut dengan soalan saya. Mereka berkata tidak ada sesiapa yang meronda mahupun lalu lalang di bahagian luar kelas dan hanya berada di dalam dewan saja pada malam semalamnya. Saya pun rasakan, manusia siuman mana yang akan terjerit-jerit pada pukul 3 pagi?


Disebabkan kejadian itu, saya mengalami demam panas selama hampir tiga minggu! Pada mulanya sangka yang saya mengalami demam denggi tapi doktor pun tidak dapat mengesahkan. Yang peliknya deman yang saya alami berlaku apabila tiba waktu malam, siangnya saya seperti biasa. Sememangnya pengalaman saya ternampak lembaga hitam bermata merah itu tidak dapat saya lupakan hingga kini.


Terima kasih kerana ketengahkan kisah saya ini...

520 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page