Assalammualaikum Warahmatullah Abang KC,
Selamat malam juga saya ucapkan kepada pembaca blog Malam Seram. Saya Maman (bukan nama sebenar), berasal dari Batu Ferringhi, Pulau Pinang. Saya hendak kongsikan sebuah kisah yang diceritakan kepada saya oleh arwah ibu. Untuk makluman semua ibu saya telah dijemput ke rahmatullah pada tahun 2014. Cerita yang ingin saya sampaikan sekitar tahun 80an begitu yang pernah diceritakan kepada saya semasa arwah ibu masih ada.
Ceritanya begini. Pada satu malam, ibu saya berjumpa dengan sepupunya (makcik saya). Katanya sepupu ibu saya mengajak ibu saya untuk teman bersama berjumpa teman lelakinya di tepi laut Batu Ferringhi. Biasalah zaman muda-mudi baru kenal cinta pandang pertama.
Dipendekkan cerita, sepupu ibu saya berjumpa di bawah pokok di tepi laut untuk bercengkeramah, manakala ibu saya cuma menemankan sepupunya sahaja. Oleh kerana arwah ibu saya tidak mahu mengganggu sepupunya, dia pun berjalan di persisiran pantai pada malam itu sambil membasahkan kaki dengan air laut di pergigian pantai.
Tiba-tiba, arwah ibu saya menceritakan dia terlihat sesuatu di tengah laut dalam jarak lebih kurang 10 meter darinya. Benda yang dimaksudkan adalah sebuah susuk tubuh berwarna hijau berambut panjang badan bersisik timbul ke permukaan air laut. Dari bentuk badan seperti seorang wanita, tetapi pada ketika benda itu timbul, benda tersebut membelakangi arwah ibu.
Arwah ibu menjadi kaku dan tidak mampu melakukan apa-apa, hanya melihat benda tersebut. Tiba-tiba benda tersebut berpusing dan memalingkan muka ke arah arwah ibu. Apabila ia berpaling melihat arwah ibu, makhluk tersebut jelas kelihatan rambutnya panjang, berbadan hijau dan bersisik tetapi mukanya tidak ada mata, hidung mahupun mulut. Cuma ada muka sahaja!
Dalam masa yang sama arwah ibu tersentak kerana sepupunya dan teman lelakinya menjerit memanggil nama arwah ibu dengan nada cemas. Rupa-rupanya arwah ibu sudah berada di dalam air laut yang sudah berparaskan dada. Arwah ibu seolah-olah terpukau dan terpanggil untuk mengikut benda itu masuk ke dalam laut. Setelah tersedar, arwah ibu cepat-cepat pusing dan lari ke darat dan terus pulang.
Itu sahaja perkongsian saya. Terima kasih dan Selamat Malam Seram!
Comments