Salam KC,
Saya Zul, daripada Selangor, Malaysia. Saya hendak berkongsi satu cerita sekitar lapan atau sembilan tahun yang lepas. Ibu saya terkena gangguan, tapi apa yang anehnya semasa ibu saya terkena gangguan. Kadangkala terbongkok-bongkok ataupun duduk bersila sambil mulut terkumat-kamit bagai membaca mantera dalam bahasa Tamil.
Pada mulanya ayah saya hanya ubatkan ibu saya dengan ayat-ayat suci yang dia tahu, tapi tidak berhasil dan benda itu semakin lama semakin teruk. Akhirnya ayah saya mengambil keputusan untuk panggil seorang pakar perubatan. Hari ini ayah saya panggil, esoknya pakar perubatan itu datang ke rumah saya bersama dua orang pembantu beliau.
Bila pakar perubatan tersebut dan pembantu-pembantu beliau sampai di rumah saya, saya yang berada di pintu rumah mahu menjemput mereka masuk ke dalam rumah tiba-tiba terkejut apabila lihat pakar itu terbeliak matanya melihat ke arah pintu pagar rumah saya. Beliau mula membaca ayat-ayat suci sambil menutup mata dan terus meniup ke arah pintu rumah saya. Barulah ketiga-tiganya masuk ke dalam rumah saya.
Pada ketika itu keadaan ibu saya hanya terbaring di ruang tamu sambil menangis tidak berhenti. Ayah saya terus menceritakan pada pakar tersebut apa yang terjadi. Pakar itu tidak menyentuh pun ibu saya, hanya menegur ibu sahaja. Terus ibu saya menjerit dan berlari ke arah sofa ketakutan. Ayah saya dan saya terus menahan ibu saya takut-takut dia akan jadi agresif.
Pakar itu kemudian mengambil kain dan menyuruh ayah dan saya baringkan ibu saya. Pakar itu memegang ibu jari ibu saya beralaskan kain yang dipegang sambil membacakan ayat-ayat suci tertentu. Ibu saya terus bangun dan duduk sambil kaki sebelahnya diangkat seperti seorang samseng duduk sambil muka pandang ke bawah. Makin lama makin kuat mulut ibu saya bercakap-cakap menggunakan bahasa Tamil dan aksi ibu saya persis perempuan dirasuk oleh roh penari, macam itulah gayanya ibu saya masa itu.
Pakar itu hanya tersenyum dan terus memanggil salah seorang pembantunya. Rupanya pembantunya itu memang mahir bab kawal histeria yang melibatkan makhluk halus yang dihantar oleh India. Tak lama kemudian, dia berkata-kata dalam bahasa Tamil untuk bercakap dengan makhluk halus tersebut, terus ibu saya rebah.
Pakar tersebut kata jangan baringkan ibu saya, hanya dudukkan dan tahan belakangnya. Jadi pakar tersebut ambil sebotol air mineral, dibaca dengan ayat-ayat suci dan kemudian menyuruh ayah saya memberi ibu saya minum. Perlahan-lahan ibu saya minum, kelihatan ibu saya mahu muntah, cepat-cepat saya ambil baldi dan letak di depan ibu saya. Ibu saya terus muntah. Terkejut saya apabila melihat, bukannya muntah biasa tapi ada darah dan sedikit gumpalan rambut. Ibu saya terus menerus muntah hingga dia rasa lega dan terus terbaring.
Apabila semuanya selesai, pakar itu mula menceritakan. Rupanya ianya berpunca dari bekas jiran kami berbangsa India yang marahkan ibu saya yang selalu menegur mereka sekeluarga. Bukan apa, mereka selalu mabuk-mabuk dan membuat bising, jadi ibu saya selalu menegur mereka sebab terlalu bising tak kira siang atau malam. Tak sangka pula mereka marahkan ibu saya padahal bukannya marah pun, hanya menegur dengan cara yang tidak kasar.
Pakar itu memberitahu mereka menghantar hantu mereka untuk ganggu ibu saya, tapi nasib baik dapat dicegah awal, jadi tidak begitu susah untuk diubati. Pakar itu pun terus memagar keliling rumah kami untuk menghalang makhluk-makhluk halus itu dari mengganggu kami sekeluarga.
Itu saja perkongsian saya. Terima kasih dan selamat malam...
Comments