top of page
Search

Dirasuk Ketika Datang Bulan

Assalamualaikum KC,


Saya Jane dari Johor Bahru. Kejadian ini berlaku pada tahun 2016, di mana pada waktu itu saya sedang belajar dan mengambil kursus yang saya minati dalam bidang membuat kek dan pastri.


Pada hari kejadian, saya dan beberapa orang pelajar sedang sibuk membuat produk untuk dijual pada hari esoknya. Waktu kami belajar dari 8 pagi hingga 5 petang, tetapi pada hari itu saya dan rakan yang lain terpaksa untuk mempersiapkan produk kami sehingga lewat malam. Secara kebetulan pada hari kejadian itu, badan saya sedang dalam keadaan "kotor" dan faham-fahamlah kalau perempuan dalam keadaan itu mestilah mengalami senggugut yang teruk.


Bila masuk waktu Maghrib, saya memberitahu kawan-kawan yang saya tidak suka suasana pada masa itu kerana saya rasa lain sangat dan badan terasa lemah dan seperti ada yang tidak kena. Beberapa minit kemudian saya pun duduk sekejap di kerusi kerana terlalu letih. Pada masa yang sama, saya terpandang ke arah pintu keluar kelas dan saya ternampak satu lembaga hitam sangat besar dan tinggi!


Sejurus selepas itu, saya tidak ingat apa-apa tetapi sebaik saja saya sedar, kawan-kawan semua memberitahu saya apa yang telah berlaku ke atas diri saya. Semua berkata yang saya duduk dan pandang ke bawah sambil menutup muka saya lalu saya ketawa, mengilai dan menangis dengan tiba-tiba. Mereka semua menjadi panik tetapi nasib baik ada salah seorang dari mereka yang mahir dalam hal kerasukan seperti ini.


Tambah mereka lagi, saya menjadi agresif ketika kawan saya sedang membaca surah-surah suci. Akhirnya, saya rebah ke lantai sambil memekik-mekik dan keadaan menjadi lebih huru-hara dalam jangkamasa satu jam setengah saya berkeadaan begitu. Jujur saya katakan apabila saya tersedar saya rasa kosong tetapi badan sangat lemah dan tidak mampu untuk berkata apa-apa.


Sejak kejadian itu dan sampai sekarang apabila saya datang bulan dan berada di luar ketika waktu malam, saya kerap ternampak benda halus dan jika saya tidak kuat saya akan dirasuk. Kisah saya ini memang tidak berapa seram tapi merupakan pengalaman yang pahit bagi saya.


Terima kasih kerana ketengahkan kisah saya ini...

199 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page