top of page
Search

Dua Kali Demam Kerana Pengalaman Berbeza

Assalammualaikum KC dan pembaca blog Malam Seram,


Nama saya Ramlisam. Dahulu saya seorang mahasiswa peringkat ijazah di salah sebuah institusi pengajian tinggi di sekitar Maluri, sebuah daerah di sekitar Kuala Lumpur, untuk pengetahuan semua yang bukan orang Malaysia.


Pengalaman yang ingin saya kongsikan terjadi semasa saya sedang dalam pengajian sewaktu semester ketiga. Sedikit keterangan untuk kalian, pihak universiti kami tidak dapat menyediakan kemudahan asrama tetap. Jadi terpaksalah kami mencari rumah sewa selepas diberi masa selama dua semester, mencari rumah yang lain dan pada ketika itu saya bersama tujuh orang rakan yang lain bersetuju untuk menyewa sebuah unit kondominium di Kampung Cheras Baru, Ampang.


Sejak mula saya menjejakkan kaki di sana, saya sudah mula rasakan sesuatu yang aneh. Tetapi, saya tetap cuba berfikiran positif, tak nak yang bukan-bukan sebab kasihan rakan saya yang lain. Mungkin belum biasa dengan persekitaran baru. Kawasan kondominium itu terletak di atas bukit. Malam memang sejuk sebab dikelilingi hutan. Siangnya, persekitaran terasa nyaman, akan tetapi bila malam menjelma, seakan-akan kawasan tersebut menampakkan suasana yang sunyi dan seram.

Peristiwa seram pertama yang saya lalui ketika itu, terjadi semasa saya sedang berehat selama lima minit dari melakukan kerja-kerja sekolah. Agak tertekan juga pada ketika itu kerana harus memerah otak. Jadi kebiasaannya saya akan hisap rokok di balkoni rumah, tetapi pada malam itu saya mengambil keputusan untuk hisap rokok di lobi lif di tingkat rumah saya di tingkat tujuh bangunan kondominium. Dah jumpa sudut yang sesuai sambil disambut angin sepoi-sepoi malam, saya pun hidupkan sebatang rokok.


Saya berdiri sambil bersandar pada salah satu tembok berdepankan pintu rumah saya yang tertutup. Rumah di sebelah kiri, kanan dan belakang semua sudah gelap, almaklumlah jam menunjukkan sudah pukul 2 pagi. Sedang saya leka merokok, tiba-tiba ada satu suara sayu seperti seorang perempuan memanggil nama saya, “Ramliii...” Saya toleh di sekeliling saya, namun tiada sesiapa. Mungkin saya tersalah dengar, jadi saya tidak menghiraukan.


Selang beberapa detik kemudian, kedengaran suara yang sama memanggil saya lagi. Kali ini suaranya lebih meleret panjang. Saya mula rasa hairan, kerana seingat saya, saya memang tidak mempunyai rakan perempuan yang menetap di situ. Jiran tetangga yang lain pun tidak pernah bertanyakan nama saya. Jika diamati betul-betul, suara itu datang dari arah belakang tembok yang saya bersandar.

Di belakang tembok tiada lantai atau ruang parapet untuk sesiapa berpijak, malah boleh terus lihat ke arah tempat meletak kereta di bawah. Mana mungkin manusia boleh terapung-apung dari tingkat setinggi tingkat tujuh yang saya berada ketika itu? Saya mula rasa tidak sedap hati dan cuba mempercepatkan setiap hembusan dari rokok saya. Selalunya bila menghisap rokok rasanya macam terlalu cepat kehabisan dan ketagih untuk hisap sebatang lagi. Kali ini rasanya agak lambat hendak menghabiskan.

Sedang saya cuba menghabiskan rokok tersebut, nama saya dipanggil sekali lagi. Saya tersentak seketika kerana kali ini suaranya garau, kasar dan memang sah, “dia” berada di belakang tembok. Saya terus campak rokok dan berlari lintang-pukang masuk ke dalam rumah. Saya terus demam! Rakan-rakan serumah juga takut hendak keluar pada waktu malam selepas insiden itu. Dari peristiwa itu, saya yakin dengan naluri saya yang mengatakan bahawa tempat itu keras.


Pengalaman saya tidak berakhir setakat begitu saja. Pernah satu malam selepas keluar makan dengan temanita saya, saya pulang sekitar jam 12 malam. Saya perasan yang saya telah diekori oleh sesuatu dari belakang sejurus selepas saya meletakkan motosikal saya di tempat meletak kereta. Mata kasar memang tidak nampak, tapi bunyi tapak kaki memang jelas kedengaran. Saya tidak toleh ke belakang dan terus masuk ke dalam lif, memang takut sangat. Meremang bulu roma saya. Rasa seram semacam ketika berada di dalam lif. Saya pun bacalah Ayatul Kursi sementara lif naik.


Sampai di tingkat tujuh, saya berjalan keluar dari lif. Dalam beberapa langkah berjalan, saya cuba beranikan diri untuk lihat ke arah lif sebaik pintu lif perlahan-lahan ditutup. Ya Allah, ada satu makhluk seakan perempuan, rupanya mengerikan sekali! Mukanya pecah, matanya terbeliak, lidahnya terjelir panjang dalam keadaan kepalanya mereng ke kanan mengintai sambil tersenyum ke arah saya. Sekali lagi saya jatuh demam kerana ternampak makhluk itu.


Alhamdulillah, kini saya telahpun tamat pengajian dan dah tidak lagi tinggal di kondominium tersebut. Tidak perlu lagi menempuh benda-benda seperti itu lagi. Itu saja perkongsian saya buat KC dan rakan-rakan pembaca blog Malam Seram.


Terima kasih dan Selamat Malam!

363 views0 comments

Recent Posts

See All

Kommentare

Mit 0 von 5 Sternen bewertet.
Noch keine Ratings

Rating hinzufügen
bottom of page