top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Dua Kisah tentang Arwah Pakcik & Rumah Yang Disewa...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh KC,


Saya Anna berasal dari Johor Bahru. Pengalaman saya memang terlalu banyak, dari kecil lagi dah selalu nampak mahkluk-makhluk ibarat dah lali. Saya ada dua cerita yang paling seram yang pernah terjadi dan masih menghantui saya hingga ke sekarang. Pertama, kisah mengenai arwah pakcik saya, abang kepada arwah ayah saya. Dia seorang yang mengamalkan ilmu hitam. Tak perlu saya jelaskan ilmu apa yang dia pelajari dengan lebih lanjut. Ceritanya begini.


Setelah dikebumikan, bermacam perkara aneh terjadi. Lebih-lebih lagi pada hari Khamis, malam Jumaat. Pernah waktu malam sedang semua tidur nyenyak, terdengar ketukan kuat di pintu, dan ketukan itu mengelilingi rumah saya, ketukan di setiap tingkap, pintu dengan suara garau sambil memangil nama ayah saya, "Ali... Tolong aku Ali..." Bila diselak langsir, kelihatan jelas pakcik berkafan berdiri tegak meminta tolong seperti jasad tidak diterima bumi dan setelah arwah ayah membacakan sesuatu, hilang terus penampakan itu.


Setiap malam akan datang sehingga ke hari keempat puluh pemergiannya. Pernah sekali waktu tu hanya saya dan ibu di rumah, sedang saya dan ibu bersiap dan ingin keluar ikut pintu dapur, saya terperasan seperti ada yang memandang. Bila saya toleh ke kanan, ada sebuah bilik dan di hujung penjuru bilik itu terlihat makhluk pocong jelas sangat-sangat! Hanya saya yang nampak, arwah pakcik saya berkafan wajah seperti manusia biasa tiada cacat cela tetapi mukanya senyum sinis dan mata terbeliak besar memandang tajam ke arah saya dan kaki tidak jejak lantai!


Saya pun pergi mendapatkan dan terus memberitahu ibu. Ibu yang tidak dapat melihat hanya mampu berkumat-kamit membaca ayat-ayat suci lalu kami segera keluar dari rumah. Hingga kini saya berusia tiga puluh tahun masih dapat lagi membayangkan mukanya, senyumannya, tak dapat saya hilangkan dari memori kerana waktu itu, kali pertama saya melihat makhluk pocong pada umur empat tahun.


Cerita kedua semasa rumah saya menjalani kerj-kerja ubah elok, dulu papan kini batu. Kami sewa sebuah rumah untuk sebulan dua tidak jauh dari rumah saya. Rumah saya di Kampung Melayu dan rumah sewa di Majidee. Waktu menyewa rumah itu, kelihatan seperti biasa. Cuma rumah agak usang. Kami sekeluarga cuba sedapkan hati dan mengingatkan diri bahawa ia hanya sementara.


Tiga hari setelah tinggal di situ, bermulalah kejadian aneh yang berlaku. Anak saya berusia tiga tahun lebih dan boleh bercakap walaupun dalam keadaan pelat. Waktu itu dah nak masuk waktu Maghrib. Pintu rumah belum ditutup, tiba-tiba anak perempuan saya berkata, "Mummy! Kakak panggil, nak main-main!" Bila saya lihat ke luar, tiada kelibat sesiapa pun. Dengan segera saya menutup pintu dan bulu roma mula terasa.


Malam itu pula, sekitar dalam pukul 2 atau 3 pagi, saya pergi ke tandas sambil menghisap rokok dan kononnya ingin melepaskan hajat. Sewaktu sedang menghembus rokok, terasa macam ada yang mengintip di atas kepala dari atas bumbung besi. Tandasnya tiada siling, hanya menggunakan zink besi sebagai bumbung dan ada satu bahagian agak luas dalam 20 sentimeter boleh melihat ke luar. Setahu saya, belakang tandas ada pohon yang agak pendek setinggi 180 sentimeter.


Saya merasakan ada yang mengintai! Saya dongak ke atas dan terlihat kain putih. Lalu saya pun cakap dalam hati, "Isyh jiran ni biar betul, jemur baju atas pokok ni? Kan kotor balik?" Tiba-tiba terdengar ketawa sayu dan bau bunga menusuk ke dalam hidung, baru saya tersentak dan tersedar. Itu bukan jemuran baju! Itu kain Pontianak! Dengan segera saya bersihkan diri jalan sepantas kilat masuk ke dalam bilik.Iibu dan anak saya dah nyenyak tidur.


Nak melangkah keluar dari tandas, berat kaki ni! Macam kaki disimen tapi sampai juga ke bilik. Ingatkan pontianak itu dah beredar. Saya silap! Waktu itu bilik saya gelap, ruang tamu terang, badan saya membelakangkan pintu. Sewaktu saya mengangkat telefon bimbit hendak menekan butang utama, alangkah terkejut saya melihat pontianak itu terapung di pintu bilik saya, berambut panjang, baju kotor dengan tanah liat tapi nasib tak nampak muka!


Saya tutup mata dan baca apa yang saya tahu. Semenjak hari itu, pada setiap waktu Maghrib, satu rumah akan bau bunga, wangi! Kerana rumah sedang menjalani kerja-kerja ubah-elok, terpaksalah tahan saja duduk di situ dan waktu yang sama, saya mencari pakar agar dia dapat membantu kerana saya ada anak kecil, takut apa-apa terjadi. Kata pakar itu, pontianak itu ingin berdamping dan rumah itu bekas seorang bomoh! Rumah si pontianak itu di pokok belakang tandas kerana dia ditanam di situ.


Dulu saya pernah didamping dengan pontianak dan telah dirawat hingga pulih. Walaupun sudah pulih, benda-benda ghaib ini senang masuk dan berdamping kerana ada laluan yang sudah terbuka. Alhamdulillah, setelah mendekatkan diri dengan Allah, mata batin sudah ditutup, walaupun kadang-kadang ternampak juga, taklah seteruk dulu. Ini semua terjadi kerana keturunan. Tidak lama kemudian, rumah saya pun siap kami sekeluarga dan terus berpindah ke rumah saya yang kini.


Alhamdulillah. Sekian...


Terima kasih kc!

Daripada Anna jb

286 views0 comments

Recent Posts

See All

Comentários

Avaliado com 0 de 5 estrelas.
Ainda sem avaliações

Adicione uma avaliação
bottom of page