Kisah Ketiga
Pada tahun 2006 saya sudah mempunya lima orang anak perempuan dan seorang lelaki yang baru berumur lima bulan. Pada kejadian ini suami bekerja malam dan anak-anak perempuan saya tidur dengan saya di bilik depan di atas katil dan anak lelaki di dalam buaian. Saya menidurkan anak-anak saya pada pukul 10 malam. Tidak lama selepas itu, anak-anak saya pun tertidur, tetapi saya terbangun kerana saya merasakan anak yang di dalam buaian masih belum tidur lagi kerana masih bergerak-gerak. Lalu, saya bangun untuk melihat anak yang bergerak-gerak di dalam buaian seolah-olah tidak selesa untuk tidur.
Saya memegang dahi anak saya, terasa panas yang amat sangat sambil badannya menggigil. Rupa-rupanya anak saya ini menggigil kerana demam, lalu saya mengarahkan anak sulung aya bangun dan menghidupkan lampu. Alangkah terperanjatnya saya melihat keadaan anak lelaki saya yang kebiru-biruan smbil menutup mata dan menggigil. Saya menyuruh anak sulung saya turun bawah untuk menelefon suami saya menggunakan telefon awam dan memberitahu bahawa anaknya demam.
Pada mulanya anak saya takut untuk turun, maklumlah rumah pangsa. Lalu saya mengetuk pintui jiran di depan rumah saya merupakan seorang ustazah untuk meminjam menggunakan telefon rumah sewaktu saya mengetuk pintu dan memberi salam pada jiran saya. Suasananya amat mencemaskan. Sewaktu jiran membuka pintu dia berteriak “Astaghfirullahal'azim...” dan masuk semula ke dalam rumah. Sangkaan saya mungkin dia masuk semula untuk memakai hijab di kepala kerana sangkakan saya datang dengan suami.
Dalam beberapa saat, dia keluar semula dan menanyakan tentang apa yang terjadi. Lalu diizinkan saya masuk ke rumahnya untuk membuat panggilan telefon kepada suami. Tidak lama kemudian suami pulang ke rumah dan terus membawa anak saya ke klinik berdekatan. Apa yang pelik bagi saya, anak saya tidak menangis. Anak saya diam sampailah jauh daripada kawasan rumah barulah dia mula menangis menjerit-jerit tapi tetap menutup mata hinggalah selesai dirawat, dan akhirnya anak saya diam dan tidur.
Keesokan paginya, waktu saya sedang menyapu rumah saya ternampak jiran saya sedang menyidai baju di luar. Saya pergi mendapatkan jiran saya dan mengucapkan terima kasih namun jiran mengajak masuk ke rumahnya sebentar. Lalu diceritakan pada saya tentang kejadian malam tadi. Rupa-rupanya, sewaktu dia membuka pintu malam tadi dia terlihat di belakang saya ada makhluk hitam bermata satu menjelir lidah memandang ke arah anak saya. Disebabkan itulah dia mengajak saya masuk ke dalam rumahnya sehingga suami saya pulang. Dia berpesan apabila masuk waktu Maghrib agar tutup semua pintu dan tingkap, jangan benarkan anak-anak keluar apabila tiba waktu senja.
Setelah pulang dari rumah jiran, barulah saya teringat sebelum saya menidurkan anak saya pada malam itu, saya telah menyidai kain baju di belakang beranda rumah saya. Waktu itu anak saya yang lelaki merangkak ke arah saya meminta digendong lalu saya mengambil anak saya dan meletakkan di jeriji sambil menyidai baju. Anak saya dari menangis terus terdiam sambil memandang ke arah saya dan ke melihat ke satu sudut sambil mengagah seperti ingin memberitahu sesuatu yang telah dilihat olehnya. Saya berasa pelik lalu meninggalkan kerja dan membawa anak saya masuk ke dalam rumah. Mungkin inilah sebabnya anak saya diganggu.
(Berakhir Bahagian Kedua...)
Comments