Salam kepada pembaca blog Malam Seram. Saya Nur Rafidah dari Selangor, ingin menceritakan empat kisah seram yang pernah saya alami dulu. Tiga pengalaman yang akan saya ceritakan terjadi pada tahun 2002. Ketika itu saya mempunyai tiga orang anak perempuan yang masih kecil berumur bawah tujuh tahun. Kini saya mempunyai lima orang anak perempuan dan dua orang anak lelaki, semuanya dah besar. Kisah-kisah ini terjadi setelah saya berpindah ke rumah sewa dipanggil flat kelompok camar.
Kisah Pertama
Saya diganggu pada waktu petang hampir ke senja. Pada masa itu saya keseorangan di rumah, suami bekerja dan anak-anak turun ke bawah untuk bermain. Saya sedang bercuti pada hari Ahad. Biasalah kalau dah duduk rumah, kerjanya memang mengemas dari bilik ke dapur dan dapur ke bilik air. Sedang saya membasuh pinggan, membersihkan dapur dan mengelap-ngelap saya terdengar di bilik air ada orang sedang bermain dengan air. Seperti bunyi riuh anak-anak saya bermain air. Lalu saya pun menjerit memarahi anak-anak “Kakak, keluar! Jangan main air, tutup air tu! Kakak!”
Seperti anak saya tidak mengendahkan walaupun banyak kali saya marah, lalu saya berpaling ke belakang untuk menjerit lebih kuat supaya anak-anak saya dengar. Saat saya menoleh ke belakang saya memandang ke bawah dan terpandang ada sepasang kaki yang dibalut dengan kain putih lusuh sedang menuju ke arah bilik air. Pada mulanya saya tidak memikirkan apa-apa, lalu saya berpaling semula ke sinki dapur dan tiba-tiba saya terfikir kaki siapa yang tak berbadan dan kaki siapa yang saya nampak?
Terus bulu roma saya meremang dan saya berhenti dari kerja yang saya buat. Lalu, saya periksa bilik air untuk melihat sama ada anak-anak yang bermain air dan lagi sekali meremang bulu tengkuk saya setelah saya menolak pintu bilik air dan tiada sesiapa di dalamnya. Terus saya teringat yang anak-anak semua tiada di rumah dan bermain di bawah. Saya terus keluar dari dapur menuju ke pintu depan untuk keluar dari rumah lalu memanggil anak-anak supaya pulang kerana hari pun dah hampir senja.
Kisah Kedua
Rumah ini mempunyai tiga buah bilik (bilik depan, bilik tengah dan bilik belakang). Bilik depan saya sediakan untuk anak-anak, bilik tengah dijadikan bilik baju dan bilik belakang dijadikan bilik saya dan suami. Sebelum saya jadikan bilik belakang bilik saya dan suami, saya jadikan bilik untuk sidai baju dan bilik ini setiap kali saya masuk, bulu roma saya akan meremang. Disebabkan itulah saya buat bilik ini sebagai bilik saya dan suami.
Pada minggu pertama berpindah, di bilik ini tiada apa-apa berlaku, pada minggu kedua suami berkerja syif malam, saya tidur menghadap tingkap, katil rapat ke dinding tingkap. Pada malam tersebut anak-anak tidur bersama saya, saya tidur di atas katil dan anak-anak tidur di bawah. Sedang saya tidur, pada jam 2 atau 3 pagi, saya terbangun, kerana saya mendengar orang mengetuk dinding tingkap di tempat saya bersandar, bunyinya kuat yang membuatkan saya tersedar dan tercium bau yang sangat wangi lalu saya duduk untuk mencari sumber punca bauan itu.
Bayangkan simen yang diketuk berbunyi seperti papan yang diketuk, pelik macamana saya boleh dengar. Saya tidur tak matikan lampu, jadi saya dapat melihat anak-anak saya yang tidur nyenyak. Tiba-tiba, bau yang wangi bertukar busuk dan saya rasa meremang dan amat takut. Dalam ketakutan saya berkata dalam hati, “Kau kat luar dan aku kat dalam, aku tak kacau kau, kau jangan kacau anak-anak aku...” dan saya membaca Ayat Kursi dan terus sambung tidur.
(Berakhir bahagian pertama)
Commenti