Pada tahun 1994, saya baru berkahwin selama lima bulan apabila kami mendapat berita gembira iaitu saya disahkan mengandung anak pertama. Berita ini disambut gembira bersama keluarga. Saya anak kedua dalam keluarga yang pertama dikahwinkan. Tentunya kandungan ini adalah cucu sulung. Ketika ini saya telah pun berpindah ke rumah sewa di kawasan perkampungan tak jauh dari tempat tinggal arwah mak saya. Di situ bermulanya kisah seram yang menghantui saya dan suami.
Mengikut petua orang tua, kalau dalam keadaan mengandung tidak boleh berpindah rumah, tapi saya berdegil dan menganggap itu semua tahyul. Rumah sewa saya seperti rumah kampung, bawahnya batu, atasnya papan dan dibahagi dua tapi bilik airnya di luar dan bilik tidur hanya satu. Kawasan keliling iaitu jarak antara rumah ke rumah adalah 300m dan sepanjang 300m itu adalah semak samun. Di belakang rumah terdapat hutan kecil yang ditanam pokok pisang dan pokok kelapa.
Sejak berpindah ke rumah itu, saya gembira kerana dapat berdua dengan suami. Pada satu malam adik bongsu saya yang berumur enam tahun pada waktu itu tidur di rumah saya. Adik bongsu saya memang rapat dengan saya dan pada cuti sekolah, saya akan mengambilnya untuk menemani saya. Rumah sewa saya mempunyai banyak tingkap, di bahagian atas tingkap ada satu tingkap yang pecah. Pada malam itu suami saya bekerja syif malam. Saya tidur dengan adik saya dan tiba-tiba adik bongsu mengejut saya dari tidur. Dia berbisik di telinga saya mengatakan ada orang sedang lalu mengelilingi rumah sehinggalah dia berhenti di tepi tingkap ruang tamu yang pecah tadi.
Masa adik mengejutkan saya dan saya terbangun adik menunjukkan jarinya ke arah tingkap yang benda itu sedang menjenguk. Benda itu tinggi seperti hantu galah dan menjenguk kami yang sedang tidur. Ya Allah, hanya Allah yang tahu betapa buruknya wajah makhluk itu, matanya terkeluar dan lidahnya terjelir. Adik saya menutup muka dan saya yang melihatnya tergamam sehinggalah benda itu berlalu pergi. Sejak kejadian itu, saya mengajak suami tidur di dalam bilik tetapi suami saya tak mahu disebabkan tiada kipas dan hanya di ruang tamu ada kipas siling.
Sehinggalah terjadinya satu perkara yang di luar akal. Malam berikutnya saya tidur dan bermimpi saya sedang melahirkan anak. Sedang berdarah-darah tanpa rasa sakit dikelilingi tujuh orang perempuan berpakaian putih yang cantik-cantik dan seorang lelaki memegang tombak dan bermisai tebal. Wanita itu telah mendukung bayi saya dan mengatakan “Saya akan jaga anak awak baik-baik, jangan risau ya...” dan dia mengatakan bahawa suami saya telah mengizinkan anak saya diambil oleh dia lalu menunjukkan ke arah lelaki yang bermisai itu. Dalam mimpi itu saya terpinga-pinga kerana yang dtunjukkan itu bukan suami saya. Secara tiba-tiba mereka hilang seperti asap berkepul-kepul dan saya terjaga dari tidur. Sambil beristighfar saya rasa bingung pada malam itu dan meraba-raba perut memeriksa bayi dalam perut saya yang ketika itu bergerak. Saya beristighfar lagi dan sambung tidur sambil berdoa moga tiada apa-apa yang berlaku pada kandungan saya.
Pada esok paginya, saya rasakan kelainan yang bayi saya tidak bergerak seperti biasa pada waktu pagi dan kebetulan pada hari itu saya ada temujanji bersama pakar perbidanan di hospital besar di Klang. Semasa saya diperiksa untuk melihat kandungan, alangkah terperanjatnya bila doktor mengatakan yang saya tidak mengandung dan di dalam perut saya tidak mempunyai bayi. Hanya Allah yang tahu perasaan ketika itu. Doktor tidak percaya dan telah mengulangi pemeriksaan sebanyak tujuh kali untuk mencari punca dan permasalahan saya lalu saya diberi tahu oleh doktor bahawa rahim saya telah terbuka seolah-olah telah mengeluarkan bayi. Doktor juga pelik dan cuba menenangkan saya yang menangis.
Saya bersedih selama beberapa bulan. Saya memohon doa pada Allah temukan saya dengan anak saya yang diambil untuk mengetahui apa kedaannya walau hanya sekejap. Pada satu malam saya bermimpi didatangi perempuan yang mengambil anak saya dan lelaki bermisai memegang tombak , perempuan itu menggendong bayi yang sedang menangis dan mengatakan “Jangan risau, aku tolong jagakan anak kau ni. Ni anak kau. Aku tolong jaga sahaja...” sehinggalah saya terbangun dari tidur. Bagi saya cukup lega setelah Allah izinkan saya untuk bermimpi seperti itu.
Terima kasih kerana ketengahkan kisah-kisah saya sepanjang beberapa hari ini...
Comments