top of page
Search

Gangguan "B Kuasa 2"...

Assalamu'alaikum KC dan pembaca blog Malam Seram,


Saya peminat dari Kota Marudu, Sabah. Panggil saja saya Ejan Iwan. Saya nak ceritakan kisah gangguan "B Kuasa 2", atau dikenali sebagai Penanggal. Saya nak bagi informasi sedikit tentang "B Kuasa 2" ini atau nama sebenarnya "Balan-Balan". Mengikut kata orang-orang tua di sini, dilarang menyebut nama sebenarnya sebab ia akan datang kepada orang yang menyebut-nyebut namanya. Salah satu tempat kegemarannya adalah pokok mangga.


Saya sudah dua kali mengalami gangguan "B Kuasa 2" ini. Waktu itu umur saya masih kecil sekitar umur 6 tahun, dan pada masa itu ibu saya mengandungkan adik saya. Gangguan berlaku ketika saya dan ibu sedang menonton televisyen pada jam 11 malam. Tiba-tiba kami terdengar suara yang menyeramkan. Apa yang saya ingat, suara itu berbunyi serentak, seperti tiga orang lelaki ketawa bercampur dengan bunyi ayam hutan berkokok. Bunyi tersebut bergema mengelilingi atas rumah. Saya masih belum tahu apakah benda yang sedang berbunyi itu. Ibu pada masa itu terus mematikan televisyen dan menarik tangan saya masuk ke dalam bilik makcik-makcik saya.


Dalam bilik itu ada tiga orang makcik saya yang berumur dalam lingkungan 20-an tahun. Mereka juga mendengar bunyi yang sama. Salah seorang daripada mereka cuba menjenguk ke luar tingkap, dan ternampak cahaya yang berapi-api sedang terbang mengelilingi pokok mangga yang berdekatan dengan rumah dalam jarak 15 meter. Saya yang masih belum mengerti cuba bertanya apakah benda yang berbunyi di luar rumah. Salah seorang makcik saya menjawab, "Bunyi burung hantu bah itu," dengan tujuan untuk tidak membuat saya berasa takut. Pada malam itu, kesemua kami tidur di dalam satu bilik. Syukur kerana rumah kami dikelilingi pokok-pokok bunga yang berduri, sebab makhluk ini sangat takutkan benda-benda yang tajam, kerana boleh menyebabkan ususnya tersangkut.


Pengalaman kedua, berlaku pada tahun 2018. Benda ini berlaku sekejap saja tapi betul-betul menakutkan. Jam 10 malam, saya seorang diri di dalam bilik, sedang bermain permainan video di komputer riba. Sedang sibuk bermain permainan video, terdengar bunyi ayam hutan berkokok. Saya terkejut dan bercakap dalam hati, "Bila masa pula ada ayam hutan sesat berkokok pada waktu malam sebegini?" Bunyi itu dekat betul dengan tingkap bilik saya. Tingkap saya pula berhadapan dengan kawasan hutan kecil. Masa itu belum terfikir apa-apa, jadi saya sambung bermain permainan video.


Beberapa minit kemudian, adik saya berlari dan mengetuk pintu bilik saya dengan sekuat hati dan berkata, "Abang! Balan-balan!" Mendengar adik saya cakap begitu, tanpa berfikir panjang, saya kelam-kabut berlari keluar dari bilik, biarkan pintu bilik terbuka dan cepat-cepat masuk ke dalam bilik ibu saya di mana adik-adik yang lain dan ibu berkumpul. Agaknya ada dalam 20 minit kami berkurung diri di situ kerana ketakutan.


Selepas keadaan reda, saya balik ke bilik tidur dan terus tidur. Keesokan paginya, pakcik saya yang tinggal berdekatan dengan rumah kami, menceritakan perkara yang terjadi semalam, di mana dia ternampak Balan-Balan terbang atas rumah kami dan terus terbang ke arah pedalaman di mana terdapat rumah penduduk lain. Difahamkan, ada orang mengandung di kawasan itu, mungkin itulah sebabnya benda itu muncul.


Sebenarnya Balan-Balan ini manusia biasa, yang mengamalkan ilmu hitam, atau dari turun temurun. Di Sabah, ada diceritakan bahawa di satu perkampungan yang bernama Kampung Rampayan Laut, 90% rumah penduduknya akan bergelap mulai jam 7 malam. Dikatakan hampir kesemua penduduk di sana akan berkeliaran sebagai Balan-Balan kerana mewarisi ilmu menukar menjadi makhluk itu sejak turun temurun...


Sekian kisah saja. Terima kasih!

3,016 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page