top of page
Search

Gangguan Di Bilik Air

Assalamualaikum KC,


Nama saya Aqil. Saya nak kongsikan kisah saya semasa saya berada di kampung saya. Waktu itu terjadi sekitar hampir pukul 10 malam. Saya dengan keluarga hendak berangkat pulang ke KL. Kampung saya terletak di Tanjong Karang, Selangor. Pada masa yang sama, nenek saya pun ikut sekali pulang ke KL. Barangan yang hendak dibawa pun dah siap dan sudah dimasukkan ke dalam kereta. Bapa saya pun dah mula hidupkan enjin kereta, rumah sudah dikunci, hanya tinggal hendak gerak saja.

Tiba-tiba saya terasa hendak terbuang air kecil pula. Tadi tak rasa, dah nak gerak baru rasa nak buang air kecil. Saya pun minta ayah supaya jangan gerak dulu sebab saya nak terkucil dan minta kunci rumah dari nenek saya. Saya pun buka pintu rumah dan masuk tanpa menghidupkan lampu, terus jalan ke bilik air.


Masuk bilik air, saya pun lepaskan hajat saya. Sedang saya lepaskan hajat, tiba-tiba saya terdengar bunyi orang ketuk zink tandas. Tandas kampung saya bukannya jenis dinding batu tapi diperbuat daripada zink. Ia ditutupi dengan bumbung yang juga diperbuat daripada zink. Jadi, saya terdengar zink itu diketuk dua kali. Saya dengar tapi buat bodoh saja. Dipendekkan cerita, saya sedang membuang air kecil, tiba-tiba dari atas bumbung zink itu saya ternampak ada rambut dan tangan orang seperti ditarik. Saya nampak terus terkejut dan beristighfar sambil memakai seluar saya.

Walaupun tak habis lagi membuang, saya keluar daripada bilik air dalam keadaan takut, lari sampai ke luar rumah kampung saya itu sampaikan nenek dengan emak ayah saya yang berada di dalam kereta ikut rasa terkejut. Apabila berada di luar rumah, saya terus kunci pintu rumah, masuk terus ke dalam kereta. Nenek sempat bertanya kenapa saya berlari dan seolah-olah macam terkejut. Saya cuma kata tidak ada apa-apa.

Sedang ayah mula bergerak hendak keluar ke jalan depan rumah kampung, saya sempat menoleh ke belakang. Aalangkah terperanjatnya saya nampak di dalam rumah bahagian tingkap, ada susuk tubuh wanita sedang berdiri! Saya terus pusing pandang ke depan dan beristighfar sehingga sampai di rumah saya di KL.


Itulah merupakan kejadian aneh yang pertama kali terjadi kepada saya. Assalamualaikum dan selamat tengah malam...

164 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page