Assalamualaikum,
Nama saya Haziq, menetap di negeri Selangor. Saya ingin menceritakan satu kisah sewaktu saya belajar di salah sebuah universiti di utara tanah air. Tidak perlu saya sebut nama universiti tersebut. Waktu itu merupakan cuti semester jadi hampir kesemua pelajar mengambil kesempatan balik kampung. Saya balik kampung agak lewat kerana kehabisan tiket bas, jadi saya terpaksa balik pada keesokkan hari dengan menaiki keretapi untuk pulang ke Selangor. Hendak tak hendak, saya terpaksa bermalam semalaman di hostel. Untuk pengetahuan semua, hostel ini agak besar dan masih baru. Ia mampu menempatkan hampir 900 orang pelajar. Hostel ini setinggi lima tingkat. Bilik saya pula terletak di tingkat dua. Di belakang hostel pula ada hutan tebal.
Pada waktu petangnya saya melepak di kedai bersama teman sekampus sampai ke pukul 8 malam. Teman saya balik dengan menaiki bas pada pukul 10 malam itu, jadi sebelum dia naik bas saya lepak minum dengannya. Bila saya sampai di hostel, saya dapati hanya terdapat empat buah bilik sahaja yang menyala bermakna saya bukan seorang yang ada di hostel. Saya terus ke bilik saya. Teman-teman sebilik saya yang lain ada tiga orang tapi semua dah pulang ke kampung.
Selesai mandi dan solat dan disebabkan suasana hostel yang sunyi, saya menjadi bosan lalu mengambil keputusan untuk tidur. Saya padamkan lampu bilik dan hidupkan lampu meja belajar. Lebih kurang pada pukul 3 pagi, saya terjaga kerana mahu ke tandas. Saya bangun terus mata saya tertangkap sesuatu di pintu bilik. Nak tahu apa yang saya nampak? Saya nampak sosok tubuh dengan pakaian putih, rambut menutup muka sampai ke lantai dan yang paling seram, kuku di jarinya panjang sangat!
Saya terus tergamam. Hendak menjerit tapi seolah-olah suara tersekat. Saya terus baring berselubung dengan selimut dan membaca Ayatul Kursi sehingga saya tertidur semula. Sedar tak sedar hari telah masuk waktu Subuh dan saya terus bangun mandi dan solat sebelum bersiap-siap untuk pulang dengan menaiki keretapi. Mujur tiada apa-apa gangguan yang saya alami pada pagi itu.
Rupanya gangguan tidak terhenti di situ. Setelah habis cuti semester, saya pulang ke kampus. Saya masih tidak menceritakan kepada sesiapa kejadian yang telah menimpa diri saya. Malam itu saya lepak di bilik kawan saya sambil berbual kosong. Waktu itu pukul 12 tengah malam. Tidak lama kemudian kami pun rasa mengantuk dan hendak masuk tidur. Sebelum saya teruskan, terlupa saya hendak sebutkan yang katil di hostel merupakan katil bertingkat. Kawan saya tidur di tingkat atas dan saya di bawah.
Pada pukul 3 pagi, saya terkejut kerana terdengar ada orang memanggil nama saya. Apabila saya celikkan mata, Ya Allah!!! Sosok yang saya nampak sebelum ini ada betul-betul di depan saya!!! Bayangkan saya tidur dan baring di katil tingkat bawah. Sosok itu seolah-olah terapung di atas saya. Saya menggigil, cuba menjerit dan bergerak tapi suara saya tidak keluar dan badan saya menjadi kaku. Kemudian saya terasa saya seolah-olah ditampar dan terus pengsan.
Bila tiba waktu pagi, kawan saya kejutkan saya dengan kuat, "Haziq! Haziq! Bangun!" Saya tersentak dan bangun terus bertanya, "Kenapa?" Kawan saya hairan lalu bertanya kenapa dengan muka saya, ada kesan cakar. Saya terus bingkas bangun dan tengok di cermin. Jelas di pipi kiri saya merah dan terdapat kesan empat cakaran. Saya mengucap lalu saya ceritakan hal semalam kepada kawan saya. Kawan saya membawa saya berjumpa dengan seorang ustaz untuk berubat. Ustaz itu berkata mungkin saya telah membuat sesuatu yang membuatkan makhluk itu marah pada saya. Ustaz tersebut juga datang ke hostel saya dan menghalau "benda" itu balik ke hutan yang terletak di belakang hostel lalu memagar bilik saya.
Itulah kisah saya... Assalamualaikum...
Comments