Assalammu'alaikum,
Salam perkenalan untuk KC dan kepada semua pembaca blog Malam Seram. Nama saya Iman dan saya berasal dari Melaka, Malaysia dan saya antara peminat Malam Seram, dan sebelum ini, rancangan MJ12 kelolaan KC. Hari ini saya nak kongsikan tentang satu kisah yang saya dan kawan-kawan saya alami di zaman sekolah menengah (tahun 2004). Kami merupakan anggota pasukan bola jaring (Netball) sekolah waktu ketika itu dan latihan kami selalu diadakan pada waktu malam, memandangkan waktu siang jadual kami padat dengan kelas akademik. Latihan kami selalu diadakan di dalam dewan utama sekolah sekitar jam 8.30 malam sehingga 10.30 malam. Sekolah saya merupakan sekolah berasrama perempuan di kawasan selatan Semenanjung Malaysia.
Sejak dari hari pertama saya jejakkan kaki ke sekolah ini, pelbagai kisah cerita seram tentang sekolah tersebut telah diceritakan oleh para senior kepada para junior yang baru masuk. Antaranya adalah cerita mengenai dewan utama sekolah yang dikhabarkan sangat ‘angker’ kerana dibina di atas kawasan perkuburan Jepun lama. Kata senior, sebelum sekolah dibina, kubur tersebut telah dipindahkan ke lokasi lain tetapi tidak semua kubur yang digali di atas sebab-sebab tertentu. Selain itu lokasi jalan lereng bukit yang menghala ke blok asrama juga turut menjadi sebutan para pelajar kerana kebanyakkan kisah histeria yang berlaku di sekolah tersebut berpunca daripada lereng bukit tersebut. Tetapi sejauh mana kebenarannya hanya Allah yang tahu.
Berbalik pada kisah tadi, malam itu sedang kami sibuk melontar bola antara satu sama lain, tiba-tiba lampu-lampu di dalam dewan terpadam dengan sendirinya. Kami terus menghentikan latihan seketika dan terus pergi mencari kotak suis utama untuk menghidupkan semula sumber elektrik di dewan itu. Sangkaan kami hanya gangguan teknikal dan Alhamdulillah percubaan pertama berjaya menghidupkan semula lampu dewan tersebut. Kami terus menyambung latihan semula selepas itu akan tetapi tidak lama. Kira-kira 20 minit kemudian, sekali lagi lampu-lampu dewan terpadam semula dan kami tiba-tiba terdengar bunyi seperti alat-alat muzik dimainkan. Alat-alat muzik ini diletakkan di dalam bilik persalinan belakang dan ia digunakan oleh kumpulan nasyid sekolah kami ketika mereka menjalani latihan di dewan utama ini pada waktu petang. Pada mulanya kami terfikir mungkin ada diantara ahli kumpulan nasyid yang datang ke bilik persalinan tersebut untuk berlatih. Tetapi segalanya menjadi semakin misteri apabila salah seorang dari kawan kami memberitahu ketika dia mengambil kunci dewan pada waktu siang, pihak pentadbir ada memberitahu tiada siapa yang menempah dewan untuk sesi malam tersebut melainkan pasukan kami. Jas : "Eh siapa yang pergi isi borang tempah untuk kegunaan dewan petang tadi?" Nad : "Aku yang pergi tempah tapi kerani kata kita saja yang guna dewan malam ni..." Akhirnya jurulatih menyuruh kami semua mengemas barang-barang dan keluar dari dewan tersebut untuk berkumpul di kawasan parkir. Ketika kami sedang mengemas segala peralatan, tiba-tiba semua gambar-gambar (gambar-gambar kenamaan serta jata setiap negeri) yang tergantung di sekeliling dewan jatuh terhempas ke lantai. Gambar-gambar tersebut jatuh secara bergilir bermula dari kiri dewan berpusing sehingga ke kanan dewan. Ya Allah waktu itu saya tak tahu nak gambarkan macamana. Kami semua terlalu takut sampai ada yang menangis. Salah seorang daripada ahli pasukan kami, Nad terus menjerit “Allahu Akbar” sekuat-kuat hati sebanyak tiga kali dan terus mengarahkan kami keluar dari dewan tersebut dengan segera tanpa membawa alatan. Kami semua terus berkumpul di kawasan luar dewan tersebut dan jurulatih mengarahkan kami untuk duduk dan bertenang sementara menunggu warden datang ke dewan bersama Ustaz yang mengajar di sekolah kami. Kami duduk dalam bentuk bulatan dan jurulatih terus menerus mengarahkan kami berzikir sekuat hati sementara keadaan di dalam dewan menjadi riuh dengan bunyi bola dilantun-lantun dengan kuat menghempas lantai dan dinding.
Semakin kuat kami berzikir, semakin kuat bunyi gema bola dilantun. Keadaan itu berlaku selama lebih kurang beberapa minit sebelum dewan tiba-tiba menjadi sunyi sepi ketika warden lelaki dan Ustaz tiba di perkarangan dewan. Jurulatih saya terus menceritakan kejadian-kejadian yang berlaku kepada Ustaz dan Ustaz bersama warden terus masuk ke dalam dewan untuk melihat apa yang terjadi. Selang beberapa minit, Ustaz keluar semula dan terus mengarahkan kami untuk menghentikan sahaja latihan pada malam tersebut, terus pulang ke kawasan asrama dan berkumpul di surau. Kami terus mengikut arahan Ustaz untuk beredar dari kawasan tersebut tetapi sedang kami bersiap-siap untuk pergi, tiba-tiba bola-bola yang ditinggalkan di dalam dewan dibaling ke arah kami di luar dewan tersebut. Kami tak tunggu lama dan terus buka langkah seribu, berlari menuju ke kawasan surau. Tapi keadaan tak berhenti di situ. Sampai sahaja di surau, kami terus berkumpul di dalam dan ditenangkan oleh rakan-rakan lain yang ketika itu berada di situ. Ustaz bersama warden dan jurulatih yang tiba kemudian, terus masuk ke surau untuk melihat keadaan kami. jurulatih terus mengira bilangan ahli pasukan dan kemudian terus membisikkan sesuatu pada ustaz. Tiba-tiba ustaz membacakan sesuatu dan terus bersuara “Yang mana pelajar saya sila bergerak ke kanan saya”. Kami semua pada waktu itu bergerak ke kanan surau kecuali “seorang” pelajar. Kemudian Ustaz terus berkata lagi, “Kalau asal kau di atas, pulang kau ke sana dan jangan kau ganggu anak-anak ini."
Saya sempat melihat “pelajar”tersebut . Mukanya memang seakan pelajar junior kami, pakaiannya sama seperti kami (berpakaian sukan) tetapi dia cuma tunduk ketika berjalan dan terus bergerak ke pintu surau dan keluar. Alhamdulillah tiada kejadian histeria berlaku di kalangan kami. Setelah Ustaz selesai menenangkan kami, kami terus pulang ke bilik dan kami diberi perlepasan latihan selama 3 hari sementara jurulatih kami mencari lokasi yang sesuai untuk menjadi tempat latihan yang baru.
Pagi esoknya kami ditemani Ustaz dan guru yang menguruskan pasukan kami pergi ke dewan tersebut untuk mengambil barang-barang yang ditinggalkan. Alangkah terkejutnya kami apabila melihat keadaan dewan menjadi seperti sediakala. Tiada kesan kaca berderai dan gambar-gambar tergantung dengan elok di dinding dewan manakala barang-barang kami terkumpul kemas di kawasan tengah dewan. Sehingga sekarang saya tertanya-tanya apa yang terjadi sebenarnya pada malam itu. Itu sahaja perkongsian saya untuk kali ini dan mohon maaf sekiranya kisah ini terlalu panjang. Terpulang pada anda untuk percaya atau tidak tapi inilah kejadian yang paling seram yang pernah saya alami.
Terima kasih...
Comentarios